Showing posts with label peribadi. Show all posts
Showing posts with label peribadi. Show all posts

Wednesday, 30 November 2016

Jenguk Sekejap

Salam dan hai...

Aku berhibernasi daripada blogging selama beberapa bulan ni kerana aku dalam mood tak mahu cerita apa-apa di sini. Lagipun, tak ada apa yang menarik untuk aku ceritakan. Hidup aku monotone. 

Hari ini aku buka balik blog ni ada menulis sesuatu sebab aku rindu. Padahal, tak ada apa sangat nak ditaip di sini. Oh ya, lebih kurang dua minggu lepas hari ulang tahun kelahiran aku. Dalam umur yang sudah dewasa dan sepatutnya kena matang ni, aku sudah tidak mengharapkan hadiah berbentuk material atau kek hari lahir. Tapi kalau ada yang nak belanja makan, kecil tapak tangan, nyiru aku tadahkan! Yang selalu aku harapkan adalah doa-doa daripada orang sekeliling. Aku ni banyak buat silap dan dosa. Manalah tahu doa-doa orang sekeliling untuk aku lebih dimakbulkan. Syukur pada Tuhan :)

Ya, itu sajalah untuk entri kali ni. Bosan, kan? Nak buat macam mana hehehe...

Babai....

Sunday, 12 June 2016

Memberi

Salam dan hai...

Ada sesetengah orang yang memberi dengan harapan dia juga akan dibalas dengan pemberian. Aku rasa perasaan atau pendapat itu tidaklah salah seratus peratus. Nama pun manusia. Manusia ni ada bermacam-macam perangai dan fiil. Dan juga pelbagai kehendak dan keinginan.

Jadi, apabila ada orang yang memberi sesuatu dengan berharap dia juga mendapat sesuatu atas pemberian itu, boleh jadi ia bukanlah sesuatu perkara yang buruk. Ikhlas atau tidak, itu antara dia dan Tuhan. Walaupun, memang diakui memberi dengan harapan memperolehi sesuatu sebagai balasan juga boleh jadi sesuatu yang negatif, tetapi itu kita tolak tepi dulu. 

Lebih-lebih lagi kalau seseorang itu memberi dengan harapan mendapat sesuatu yang lebih baik daripada Tuhan. Siapa lagi yang benar-benar memahami dan mengetahui kehendak kita, selain daripada Allah. Malah, kadangkala apa yang kita kehendaki itu boleh saja diganti dengan sesuatu yang lebih baik daripada Allah. Allah kan Maha Mengetahui.

Sepanjang melalui perjalanan hidup yang penuh dengan pelbagai lelah dan kesenangan, pengharapan aku pada Tuhanku semakin lama semakin tinggi. Lebih-lebih lagi apabila kita sering diuji dengan bermacam-macam perkara, kebergantungan pada Allah lebih tinggi. 

Meminta daripada Allah ini, bukanlah meminta wang semata-mata. Ada banyak benda. Kita memberi wang pada orang lain, kadangkala bukanlah mahu mendapat balasan wang yang lebih banyak daripada Allah. Ada yang memberi semata-mata mahu memperoleh ketenangan hati. 

Nikmat Allah yang mana lagi yang engkau dustakan?

Syukur, alhamdulillah :)

Tuesday, 10 May 2016

Selamat Hari Ulang Tahun Kelahiran

Salam dan hai...


Kalau ikut jam di PC aku ini, lagi 53 minit sebelum tarikh bertukar pada 11 Mei 2016. Jadi, aku mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat ulang tahun kelahiran yang ke-31 buat seseorang yang istimewa dalam hidupku.

Kalaulah dia tahu, aku berkali-kali mengucapkan selamat ulang tahun padanya untuk hari ini saja... hmm... tak mengapa, ucap dalam hati berserta dengan doa. :)

Aku letak sekali lagu Secangkir Kopi Semanis Puan (M. Nasir) sebab lagu ini mengingatkan aku padanya. Dia pernah pasang lagu ini masa dalam kelas. Tiba-tiba pula tu. Tak tahulah dia ingat ke tak. 






Saturday, 19 March 2016

Semoga Sampai ke Syurga

Salam dan hai...

Aku baru pulang dari sebuha majlis kenduri perkahwinan tadi. Aku memang sengaja bertolak lambat. Jam 2.40 petang macam tu baru bertolak dari rumah. Selalunya kalau ada mana-mana kenduri kahwin, aku akan bertolak awal. Kadang-kadang jam 11 pagi sudah keluar rumah sebab takut sesat. Dan kalau sesat pula memang akan lewat satu jam.

Aku keluar lambat sebabnya aku  tak nak ternanti-nanti menunggu ketibaan pengantin yang merangkap rakan sekelas aku di UKM dulu. Nanti tak ada tempat duduk pula sambil nak menunggu. Takkanlah aku akan pentingkan diri duduk-duduk tanpa rasa bersalah walau selesai makan, sedangkan ada yang lain menanti tempat dudukku.

Aku sampai ke dewan majlis lagi 45 minit sebelum majlis tamat. Memang ramai dah nak balik. Lepas aku sahkan itu memang pengantinnya, aku pergi menjamu selera dulu. Senang juga menjamu selera waktu tak ramai orang. Tak payah beratur dan berebut meja. Aku makan sambil kedua-dua mempelai menghiasi pandanganku di atas pelamin. 

Selesai makan, aku duduk-duduk sebentar. Sambil buka cerita pada mak macam mana aku kenal si pengantin. Pengantin perempuan ni rakan sekelas aku di UKM, tapi tak semua kelas dia sama denganku. Disebabkan dia pelajar separuh masa, bekerja sambil belajar, umur pun lebih kurang aje (dia tua setahun daripadaku), jadi banyak benda aku boleh kongsi sekali. Terutama bab kerja sambil belajar tu.  

Aku tak tahulah jika itu buat aku jadi rakan sekelas dia paling rapat dalam banyak-banyak rakan lain di UKM. Aku senang kawan dengan dia sebab dia lemah-lembut terutamanya. Walaupun aku perempuan, aku suka tengok perempuan cakap lemah-lembut sebab aku sendiri belum mampu jadi macam tu. Aku mengaku cara aku dibesarkan mempengaruhi perwatakan aku. Mak dan ayah aku bukan dalam kalangan orang yang lemah-lembut. Kami kadang-kadang agak kasar antara kami. Cakap pun kadang-kadang macam jerit, padahal kita orang okey aje. 

Selain itu, seperti yang aku katakan, kami berkongsi masalah yang sama - kerja sambil belajar walaupun aku sempat kerja sambil belajar selama 2 semester saja sebelum terpaksa berhenti.

Ketiga, selepas aku graduasi, ada sekali-sekala kami berhubung. Dia cerita fasal masalah tesis dia dan aku cuba tolong apa yang mampu. 

Dari jauh tadi masa aku dekat meja makan, dia melambai-lambai pada aku. Aku lambai-lambai juga walaupun aku risau kut-kut dia lambai kat orang lain. Dua kali dia lambai suruh datang pada dia kat pelamin.

Apabila kami berjumpa tadi, aku nampak muka dia gembira sangat. Tak sangka aku pun boleh terharu dapat jumpa dia. Dia siap suruh aku doakan perjalanan tesis dia dan teringin nak jumpa lagi lepas ni. Harap-harap hubungan aku dengan dia bukan setakat di fakulti saja. 

Cerita fasal kenduri kahwin ni biasa-biasa saja. Tapi entah seminggu dua lepas dapat kad dia, hati aku kuat nak pergi hadiri majlis dia, alhamdulillah Allah makbulkan. Aku tak terkilan. :)

Sunday, 21 February 2016

Dua situasi dan Dua Orang yang Berbeza

Salam dan hai...

Kejadian ini berlaku semalam, 20 Februari 2016 kira-kira 6.45 petang macam tu. Aku, mak dan adikku ke pasar malam berdekatan dengan kawasan perumahan kami. 

Sewaktu kami mahu membeli ikan bilis, di belakang kami ada seorang perempuan dan anak kecil duduk di atas jalan tar sambil meminta sedekah. Aku memandangnya sekilas sebab selalunya aku memang tak berapa gemar melihat keadaan begitu. Maafkan sikap aku itu, tetapi itulah yang aku selalu rasa.

Nak dijadikan cerita, tiba-tiba mata aku tertancap sesuatu di tangan wanita itu. Berkepuk-kepuk duit satu ringgit di tangannya yang aku pasti baru dikeluarkan dari beg tangannya. Aku lihat juga seorang lelaki yang meminta wanita itu untuk menukar wang kertas RM 50 dengan duit satu ringgitnya yang berkepuk-kepuk tu. 

Aku beritahu adik aku fasal tu. Adik aku pandang kemudian berkata padaku, yang dia nak buat dua kerja. Satu kerja tetap, satu lagi minta sedekah kat pasar malam. 

Kemudian, kami berjalan-jalan sambil cuci mata dan beli sedikit makanan. Tiba-tiba aku menepuk bahu adikku. 

"Itu bukan lelaki gelandangan tu ke?" tanyaku apabila terpandang seorang lelaki berbaju hitam, berseluar jean dan berambut keriting panjang sedang menjinjit beberapa ketul keropok lekor dalam plastik.

Adik aku mengiakan. Kemudian aku berkata lagi (lebih kurang); "Maknanya dia ada duitlah, bukan tak ada duit." 

Aku percaya kemungkinan besar dia memang membeli keropok lekor tu, bukan meminta. Sebabnya, dua hari sebelum tu kami sarapan di sebuah restoran berdekatan rumah kami. Lelaki gelandangan dengan warna baju yang sama itu turut makan nasi di sebelah meja kami. Kemudian, dia mahu membayar tetapi ditolak lembut oleh juruwang restoran. Aku nampak dari dompetnya, dia keluarkan duit satu ringgit untuk sepinggan nasi dan segelas teh 'o' ais. Tentulah tidak cukup wang itu, tetapi dia berusaha untuk membayar dengan apa yang ada.

Lalu aku beritahu adik aku yang itulah gelandangan bermaruah. Huhu...

Aku selalu nampak lelaki itu akan duduk di dobi layan diri dan kaki lima kedai runcit seorang diri. Dia tak kacau orang lain. Dia seolah-olah dalam dunia dia, melayan diri sendiri. Aku selalu berasakan yang dia mungkin ada masalah besar dalam hidupnya atau mengalami satu kekecewaan yang amat sangat sehingga dia jadi begitu. Entahlah, teringin pula nak temu ramah dia...

Kesimpulannya, ada dua situasi berbeza dengan orang yang berbeza. Kisah seorang perempuan peminta sedekah dan seorang lelaki gelandangan. Kalau kau tanya aku, aku dari dulu admire dengan si gelandangan itu. Itu hanyalah pandangan daripada mata aku yang memerhati...

Saturday, 13 February 2016

Tamak

Salam dan hai...

Tahu tak, apa masalah aku sekarang ni? Eh, masalah aku yang satu ni dah ada lama dulu, tapi baru sekarang aku sedar. 

Aku ada satu masalah iaitu sikap tamak. Tamak nak semua benda. Bukan tamak duit atau harta.
Aku tamak nak buat itu ini tanpa aku sedar yang aku sebenarnya tak mampu (atau belum mampu) untuk melakukannya. Pendek kata, kena buat satu-satu dulu.

Dulu, aku memang set dalam minda aku yang aku tak boleh buat banyak-banyak kerja dalam satu-satu masa. Tapi, aku cuba ubah pemikiran ini dengan bekerja sambil belajar. Aku dapat bertahan selama dua semester. Memang penat yang amat, tapi aku tak tahulah kenapa aku tak merungut. Sebabnya, itu memang pilihan aku. Lagi dua semester, aku berhenti kerja dan sambung belajar sepenuh masa. Aku berhenti kerja bukan sebab tak mampu buat dua kerja dalam satu masa, tetapi sebab hmm... hal-hal yang tidak dapat dielakkan. Biarlah aku dan orang-orang dalaman sahaja yang tahu apa masalahnya.

Aku sekarang lebih selesa dengan keadaan aku sekarang. Cuma kena bekerja dan doa lebih kuat lagi!

Sekarang ini pun aku buat dua kerja dalam satu masa, dan aku rasa okey saja walau kadang-kadang penatlah juga. 

Perihal membaca. Aku jadi tamak untuk membaca banyak perkara dalam satu-satu masa. Tengah-tengah elok buat kerja, tiba-tiba aku nak baca artikel jurnal yang aku muat turun (secara sah!) tempoh hari. Aku pun bukalah artikel tersebut dan highlight mana-mana poin yang menarik. Eh, eh... rasa nak baca artikel dari Wikipedia yang aku simpan hari tulah. Buka pula Wikipedia, baca yang itu pula. Kemudian, ada senarai filem yang menarik nak tonton, layan pula sinopsis semua. Baru separuh baca sinopsis, aku buka laman Goodreads untuk cari buku-buku yang ada kaitan dengan segala artikel yang aku baca tadi.

Apabila tonton filem pula, kadang-kadang aku boleh pause filem tu dan cari kisah hidup pelakon-pelakon dalam filem tu. Tak pun, cari filem-filem lain daripada pengarah yang sedang aku tonton filemnya. Hmmm...

Dan sekarang ni, aku sedang menulis entri ini di tengah-tengah perjalanan kerjaku. Lepas ni sambung buat kerja semula. 

Aku tak tahu sikap aku ini ada tak kaitan dengan mana-mana gangguan mental? Patutkah aku pergi cari sekarang maklumat tentang sikap tamak aku ini atau teruskan saja dengan kerjaku yang tergendala ini?

Tuesday, 22 December 2015

Surat untuk Kekasih (4) merangkap cerita tentang hikmah.

Sepatutnya tiada surat lagi untuk kekasih tetapi aku rasa ia tidak patut dihentikan.

Cuma... sejak akhir-akhir ini aku tertanya-tanya adakah selama ini kita pernah terjumpa, terserempak, bertegur sapa? Aku ada perasaan aneh tentang hal ini.

***

Aku percaya ada hikmah di setiap apa yang belaku. Sungguh, ini ayat klise seantero dunia, tapi aku tak akan saja-saja suka pakai kalau aku tak pernah melaluinya.

Hikmah paling ketara yang aku betul-betul nampak sepanjang kehidupan aku ialah apabila aku jatuh sakit dan patah hati yang teramat beberapa tahun lepas sebelum sambung belajar ijazah sarjana. Manusia yang aku yakin sangat-sangat itulah manusia yang paling sesuai untuk belahan jiwaku, akan menikah dengan yang lain.

Aku tahu aku terlambat tetapi aku tetap luahkan apa yang aku rasa padanya. Bukan untuk minta simpati atau tiba-tiba tukar keputusan tak jadi kahwin. Sebab aku tahu ini bukan sinetron atau drama Hindustan. Aku cuma nak beritahu segala-gala-galanya... Dan memang sungguhlah beban aku serta-merta hilang. Tapi aku masih lagi bersedih dan sedih walaupun ada kelegaan sedikit.

Tapi ada satu hal yang lucu. Keesokan paginya selepas sesi pengakuan berani mati itu, aku terima sekeping nota misteri berwarna ungu di atas meja. Rupa-rupanya... ada yang simpan hati dalam diam. Maaf beribu-ribu kemaafan sebab aku tak dapat terima. Cerita di sebalik nota ungu itu memang panjang tetapi biarlah aku simpan sahaja.

***

Banyak perkara yang bermain-main di fikiran aku. Mujur selain daripada keluarga, aku ada seorang sahabat baik sebilik sebantal yang rajin dengar cerita aku. Kadang-kadang bukanlah kita tak nak cerita hal-hal macam ni pada keluarga, tapi kawan yang lebih kurang sebaya lebih faham sebab mereka selalunya melalui zaman yang sama macam kita. Jadi pandangan tentang hidup itu selalunya boleh 'klik' dengan kita.


Maka, aku ambil keputusan untuk tangguh belajar satu semester, pergi melancong atas pelawaan adikku yang tak berapa kesah dengan hal patah hati aku sebab dulu masa zaman sekolah, dia pun pernah kecewa teruk dan aku pun bukan kesah sangat hal patah hati dia. Tapi budak ni senang move on. Huh!

Hari demi hari, aku mencari-cari apa sebabnya aku jatuh sebegini teruk. Dan aku masih tetap bersedih. Lalu, akhirnya aku menemukan dengan hikmah yang aku cari-cari selama ini.

Aku mulai dengan cuba bertanya dengan diriku sendiri mengapa aku terlalu-terlalu-terlalu bersedih dengan hal ini. Rupa-rupanya, setelah diselidiki sehingga ke akar baru aku sedar yang manusia itu aku letakkan sebagai seorang lelaki yang terbaik, yang paling tepat untuk jadi belahan hidupku. Aku tak nampak langsung lelaki lain sebab aku rasa tak ada lelaki lain yang lebih layak untuk sehidup semati denganku. Hmmm... so pathetic!

***

Dan sekarang, aku masih lagi berkawan dengan dia. Tak serapat dulu, tapi kalau aku boleh ajak dia, isterinya dan anaknya datang beraya , kira okeylah tu. 

Sebenarnya, selepas semuanya ini berlaku, aku panjatkan kesyukuran kerana aku tak kahwin dengan dia! Ayat itu yang dulu tak pernah terlintas langsung dalam kepala aku, kini aku boleh menyatakannya dengan rasa tanpa ragu-ragu. Sedikit-sedikit aku ditunjukkan yang sebenarnya aku dan dia tak sesuai, tak sepadan. Elok jadi kawan saja. 

Aku pegang kata-kata dia selepas sesi pengakuan itu; "Hidup mesti terus."

Aku teruskan hidup dengan baik walaupun sekali-sekala dan selalu juga tersadung sana sini. Biasalah nama pun kehidupan.

Cuma, kadang-kadang aku terasa hati dengan para lelaki sekeliling aku yang selalunya hanya akan memilih wanita yang sedia siap, baik, dan sempurna. Mungkin tak semua, tapi kebanyakan yang aku jumpa begitulah. Hmmm... tak apalah. 


Bak kata sahabat baikku; "Tak payahlah mencari lagi. Dia akan datang sendiri."

Aku faham sebab dia menuturkan kata-kata itu kerana aku tahu hal hidupnya dan dia tahu hal hidupku. Ini bukanlah fasal berusaha atau tidak berusaha. Jadi, jujurnya selepas hal ini, aku sebenarnya dalam mod merajuk dengan lelaki. Tak fasal-fasal, kan? Tapi aku rasa mungkin Tuhan mahu berikan aku ruang sebaik-baiknya untuk diri aku sendiri. 

Tapi, dalam pada itu, hikmah lainnya yang aku nampak, rupa-rupanya ramai lelaki yang baik. Aku saja yang tak perasan.


Banyak sangat perkara yang berlaku di sepanjang perjalanan hidupku. Ini antara satu pengalaman yang akan membuatkan aku lebih kuat lagi. Insya-Allah. 



***

Jadi, surat untuk kekasih...

Aku yang selalu menghadiahkan al-Fatihah kepadamu tanpa mengetahui siapa pun anda. Tidak kira sama ada kita berjodoh di dunia ini atau tidak, aku akan terima seadanya. Kerana mati itu satu kepastian.

Tuhan itu kan Maha Penyayang. Dia tahu apa yang terbaik. 

Al-Fatihah. 

Sunday, 13 December 2015

Perihal Masa

Salam dan hai...


Kalau ditanya tentang ketepatan masa bagi masyarakat Malaysia ini, secara amnya memang ramai yang ambil mudah tentang hal ini. Daripada rakyat marhaen hinggalah ke para menteri. Masa yang dijanjikan selalu saja tidak ditepati.

Aku adalah antara manusia yang dididik oleh emakku sendiri untuk menepati masa. Kalau aku ingin menggambarkan tentang emakku, dia seorang wanita yang sangat berdisiplin dan teliti. Sewaktu kami adik-beradik masih kecil, emakku memang ambil tahu dan kadang-kadang hafal jadual sekolah aku. Dia yang akan mengingatkan kami itu, ini. Sehinggalah dewasa, apabila kami tinggal jauh daripada ibu bapa, emakku masih akan menelefon mengingatkan tentang waktu peperiksaan, waktu kerja, dan macam-macam lagilah. Nampak macam kami ini sangat bergantung pada emakku, tapi itulah cara dia membela kami.

Dan, emakku sangat pantang kalau kami tidak menepati masa. Kalau janji nak bertolak pukul 8 pagi. Maknanya, pukul 8 pagi dah ada dalam kereta bersedia untuk bertolak. Maka, kami adik-beradik secara tidak langsung menjadi orang yang menepati masa sepanjang masa. 

Namun, apabila kau berurusan dengan rakyat Malaysia, hal-hal menepati masa ini seolah-olah kurang relevan dalam hidup. Banyak perkara yang buat aku naik angin adalah berkenaan dengan menepati masa. Baik daripada kawan-kawan, saudara mara dan majikan sendiri pun kadang-kadan tak menepati masa. Aku pula memang jenis yang pegang pada prinsip elok datang awal sikit daripada datang lambat. Tapi, kebanyakan orang sekeliling aku pula rasanya tak kesahlah datang jam berapa, janji hadir nampak batang hidung.

Baru-baru ini aku dan kawan-kawan janji nak berjumpa. Memandangkan semuanya tak tahu nak buat keputusan bila nak berjumpa, jadi akulah yang tetapkan waktu dan masa. Itu belum tempat banyak kali nak bertukar. Akhirnya, tak jadi jumpa sebab ada hal. Tiga kali aku aturkan masa dan hari, tiga kali tak jadi. Dan, terus-terang aku katakan aku merajuk dan marah.

Benda-benda macam ni terlalu banyak berlaku di sekeliling aku membuatkan aku jadi rimas. Kemudian, ada pula kawan yang tak jadi nak jumpa tetapi tak beritahu aku awal-awal. Sehinggalah aku mesej dia, barulah nak beritahu.

Kawan tetap kawan. Tapi aku manusia, ada perasaan marah dan kecil hati.

Tolonglah... tolonglah sesiapa yang ambil sambil lewa hal masa ini ubahlah sikap. Terus-terang ia sangat menjengkelkan. Ia jadi biasa sebab kita sendiri pun kadang-kadang tak ambil peduli orang datang lambat. Kalau dia boleh lambat, kenapa aku tak boleh lambat, kan?

Tak payah nak pung pang marah orang itu tak adil, orang ini zalim dan sebagainya kalau masa sendiri dan orang lain pun kita tak reti hargai. 

Tolong buang mentaliti sampah tu. Terima kasih. 





Saturday, 21 November 2015

Surat untuk Kekasih (3)

Kehadapan kekasih,

Sepatutnya tiada surat lagi untuk kekasih. Saya sendiri sudah berjanji pada diri untuk hentikanlah saja mengirim surat yang tidak terkirim ini kepada anda. Malah, saya juga cuba untuk mengotakan janji saya untuk tidak lagi cuba-cuba untuk mempedulikan anda.

Pada mulanya saya hampir berjaya. Saya mulai merasakan bahawa perasaan merindui dan mengasihi anda hanyalah perasaan ilusi saya sahaja. Hanya sementara dan kemudian berlalulah ia dibawa angin. Hilang tanpa jejak. Barangkali adalah sekali-sekala nama anda terpacul di fikiran, tetapi tidak lebih daripada itu. Ia kemudian terpadam sendiri dan saya dapat meneruskan kehidupan saya seperti biasa.

Namun, saya silap rupa-rupanya. Anda tidak pernah keluar pun dari hati saya. Kadangkala nama anda saya sebut tanpa sedar di mana-mana. Ia adalah satu perasaan yang tidak enak. Ia satu perasaan yang saya kira tidak bagus. Tidak bagus untuk hati saya. 

Kali ini saya berjanji akan mencuba dengan lebih bersungguh-sungguh untuk tidak mempedulikan anda. Namun, izinkan saya sekiranya rasa rindu itu benar-benar hadir, izinkan saya mengirim doa kepada anda. 

Doa saya semoga anda menempuhi hidup ini dengan penuh ketabahan dan penuh rasa kasih dan sayang. Semoga kita berdua sentiasa berada di jalan-Nya

Amin...


Sunday, 8 November 2015

Majlis Konvokesyen UKM ke-43 dan Ijazah Sarjana

Salam dan hai...

Alhamdulillah, awal November 2015 aku berjaya graduasi untuk mendapatkan Ijazah Sarjana. Maka, secara rasmi aku berjaya menamatkan pengajianku selama dua tahun. 

Lepas graduasi ni, memang ramai yang suruh aku sambung terus PhD. Bukan tanya aku, ya. Diulangi, SURUH sambung terus. Yang anehnya, bukan ibu bapa atau adik aku yang beria-ia suruh. Padahal mereka bertigalah yang paling rapat dan paling selalu tengok susah payah aku belajar terutama sekali emakku. Yang beria-ia ni selalunya yang jauh-jauh terutama sekali mak-mak saudara. Ada tu, yang marah-marah kalau aku tak sambung.

Mulut memang cakap senang. Sambung ajelah... kata mereka.
Tapi, aku pernah berjanji dengan diriku sendiri bahawa mungkin aku tak akan sambung ke pengajian yang lebih tinggi lagi. Sebab apa? Sebab Ijazah Sarjana kursus yang aku ambil ini memang antara kursus yang aku teringin nak belajar. Alhamdulillah tercapai. Kedua, pengajianku sehingga peringkat Ijazah Sarjana ini merupakan antara senarai yang aku ingin lakukan sebelum aku mati. Maknanya, menyambung pengajian sehingga ke peringkat PhD. tiada dalam senaraiku buat  masa ini. Tapi, kalau ada rezeki dan berkemampuan, mungkin aku akan sambung. Ketiga, ada lagi panjang senaraiku yang masih belum dilunaskan. Aku mahu selesaikan yang itu dulu. Tapi, orang sekeliling tidak faham kerana mereka sendiri pun tidak tahu kewujudan senarai hidupku ini. 

Aku pula tak terasa mahu untuk mendedahkan senarai-senarai yang ingin aku capai kepada orang lain. Biarlah aku dan Tuhan saja yang tahu. Bagiku ia bersifat sangat peribadi selain daripada beberapa senarai yang mungkin dianggap sangat mustahil. Pasti orang sekeliling akan ikut gelak dengan senarai aku tu. Tapi, aku peduli apa. Ini impian aku. Aku rasa aku berhak untuk impi apa-apa sahaja asalkan tak langgar norma dan batas agama dan budayaku.

Bercerita tentang perjalananku menyambung ke peringkat Sarjana, ia bukan satu perjalanan yang mudah. Pertama kali isi borang untuk sambung, aku gagal. Walaupun tidak dinyatakan apa sebab-sebabnya, tapi aku tahu. Pada masa itu aku belum bekerja dan ibu bapa aku juga tidak bekerja untuk menjadi penjaminku. Itu salah satu sebab utama rasanya. Kali kedua, selepas dua tahun bekerja, aku mencuba nasib lagi. Alhamdulillah, aku berjaya. Namun, belum lagi mula kuliah, aku terpaksa tangguh satu semester atas sebab-sebab peribadi yang tidak dapat dielakkan. Kemudian, selama dua semester kemudiannya, aku bekerja sambil belajar, tetapi tak bertahan lama. Terlalu banyak percanggahan antara kerja dan belajar menyebabkan aku terpaksa memilih antara satu. Maka, aku pilih untuk berhenti kerja dan sambung belajar. Ada dua perasaan kontra yang bermain-main dalam diriku pada waktu itu. Lega dan risau. Aku lega kerana dapat menumpukan sepenuh perhatian pada kuliahku dan lega kerana dapat keluar dari rumah sewaku yang rakan-rakanku sudah tidak mesra lagi padaku. Aku rasa terpinggir sangat masa tu. 

Pada masa yang sama, aku rasa risau kerana aku menanggung sepenuhnya yuran pengajianku. Aku memang ada menyimpan sebahagian daripada gajiku untuk membayar yuran pengajian sehingga akhir belajar. Tapi, lama-kelamaan duit simpanan aku akan habis juga. Aku cuma tawakal dan berdoa pada Allah sahaja pada masa tu. Dalam sebulan dua sebelum aku berhenti kerja, aku hantar berpuluh-puluh resume untuk kerja bebas memandangkan pekerjaan aku ini boleh dilakukan secara bebas (freelance).

Allah Maha Pemurah. Aku dapat beberapa tawaran kerja bebas walaupun kadang-kadang sangkut juga perbelanjaanku. Sehingga sekarang aku masih lagi bekerja secara bebas walaupun semakin kurang tawaran. 

Ya, aku boleh mohon MyBrain15 untuk taja yuran aku. Pada mulanya aku tak mahu mohon. Biar aku bayar sendiri. Itu niat aku masa masuk belajar dulu. Emak aku suruh mohon juga tetapi aku gagal dapat kerana beberapa perkara yang silap. Selepas daripada itu, aku malas nak mohon apa-apa lagi. Senang lagi guna duit sendiri.

Pengalaman aku sepanjang belajar di UKM, secara keseluruhan aku seronok dan penat! Aku seronok belajar benda baharu, dapat belajar dengan pensyarah yang hebat-hebat, dapat penyelia yang sangat membantu dan dapat buat tesis dengan tajuk yang aku pilih sendiri. 

Yang penatnya pula ialah dulu aku bekerja sambil belajar. Siang hari, otak aku dah penat bekerja. Jadi aku terpaksa tidur beberapa jam sebelum mula buat tugasan. Kelas aku pula bertindih dengan waktu kerja. Kena pula ganti waktu kerja dengan hari minggu. Dan, hal rakan-rakan rumah sewa yang tiba-tiba macam tak suka aku. Salah aku, mungkin? Tapi sebelum aku pindah, kami sudah bermaaf-maafan. 

Jujurnya, aku rindu suasana belajar di situ. Aku dapat banyak ilmu. Itu tujuan aku. Untuk cari ilmu sebanyak mungkin. Bukan fasal dapat kerja bagus-bagus sangat. Jadi, aku memang agak rimas apabila orang-orang sekeliling tekan aku dengan hal-hal kerja. Aku minta maaf kalau ia kedengaran idealistik. Aku pegang kata-kata penyelia aku bahawa universiti diwujudkan untuk melahirkan manusia yang berilmu bukan untuk lahirkan pekerja. Lebih kurang begitulah kata-katanya. 

Bekas majikan aku juga nasihati aku supaya tidak terburu-buru atau terlalu ikut kata orang kalau tak bersedia untuk sambung PhD. Aku pegang kata-katanya kerana dia ada pengalaman tersebut.

Kepada yang nak sambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, aku ucapkan selamat belajar. Memang seronok apabila terima surat tawaran dari universiti. Namun keseronokan itu membawa sekali dengan seribu satu tanggungjawab. Apa-apa hal pun, niat kita sangatlah penting. 

Untuk aku yang suka belajar ni, sambung belajar memang sesuatu yang menyeronokkan. 












Friday, 30 October 2015

Perihal Rezeki

Salam dan hai...



Berikan definisi rezeki? Apa makna rezeki?
Kalau ditanya pada aku dulu, sewaktu zaman remaja dan awal 20-an, makna rezeki pada aku agak sempit. Wang yang banyak yang boleh memudahkan aku berbelanja apa saja. Bunyinya seperti materialistik sikit, kan? Tapi, aku tak salahkan diri aku seratus peratus kalau ak
u berfikiran sebegitu. Aku ada alasan tersendiri.

Pertama, aku datang bukan daripada keluarga yang senang. Sejak sekolah rendah lagi aku dikelilingi oleh rakan-rakan yang serba mewah. Jadi, aku ada angan-angan yang tinggi untuk jadi kaya walaupun aku tak adalah asyik merungut pada ibu bapa aku kalau kami hidup susah sikit. Mujur aku ada ibu yang sentiasa memberi nasihat dan sokongan. Hidup susah mengajar aku lebih bertingkah laku matang. Tapi, aku juga manusia biasa. Kadang-kadang aku sedih dan marah dengan hidup aku yang serba kekurangan. Aku selalu mengadu pada diri sendiri, kenapa dalam ramai-ramai orang, aku yang selalu jadi pilihan Tuhan untuk menghadapi semua ini? Kenapa keluarga aku? Kenapa tak orang lain?

Pertanyaan-pertanyaan itu dijawab oleh Tuhanku seiring dengan umur dan pengalamanku. Semakin lama aku berjalan dan bernafas di muka bumi Tuhan ini, semakin aku mengerti makna rezeki. Rezeki Tuhan itu luas maknanya. Bukan semata-mata yang kita dapat pegang dan rasa dengan tangan. 

Aku masih lagi bergelut mencari rezeki, atau secara kasarnya masih lagi terkial-kial mencari duit untuk teruskan kehidupan. Ya, duit memang penting, tapi ada satu lagi perkara tentang rezeki yang buat aku sedar duit bukan segala-galanya.


Mungkin perasaan aku atau Tuhan memang sengaja letakkan aku di tempat ini untuk aku belajar sesuatu. Apa yang aku mulai perasan sejak akhir-akhir ini, rezeki datang dalam bentuk bantuan. Bukan aku yang dibantu, tetapi sebaliknya. Aku yang membantu orang lain. 

Pada mulanya aku tak faham, tak mahu ambil faham, marah dan berkira apabila susah saja, ramai pula yang tiba-tiba datang pada aku. Daripada mengadu hal-hal remeh, hal peribadi, pinjam duit, hal belajar dan kerja. Aku pula sebenarnya memang suka membantu orang, tetapi kalau kerap kali minta bantuan, aku mulai jadi rimas. Dan bermulalah monolog dalaman yang merungut mengatakan aku jarang-jarang sekali menerima bantuan orang lain. Malah, kadang-kadang tidak diendahkan pun.


Tapi lama-kelamaan aku mulai faham. Itu rupa-rupanya bahagian aku. Rezeki membantu orang lain itu adalah rezeki aku yang diberi oleh Tuhanku. Dan aku mengetahuinya ini pun bukan sudah lama. Baru lagi... baru sangat. Selama berpuluh tahun aku hidup dalam dunia ini, baru sekarang aku sedar. Mujur aku sedar...

Jadi, apa aku buat sekarang ni? Masih merungut dan kompelin? Err... aku cuba berfikiran optimis dan positif. Aku masih lagi manusia yang penuh khilaf. Kadang-kadang rasa kecil hati bermain-main juga di hati. Namun, kalau hendak dikira rezeki yang Tuhan sendiri bagi pada aku, memang tak terhitung. Kadang-kadang, tanpa sebarang tanda, ada saja rezeki terpijak yang aku tidak sangka. 


Tuhanku Yang Maha Penyayang dan Pengasih. Jujur, aku rasa malu pada-Mu!

Kesimpulannya, setiap daripada kita punya bahagian rezeki masing-masing. Sama ada kita sedar atau tidak. Sama ada kita bersyukur atau tidak. Kita mahu pandang dari sudut mana? Negatif atau positif? Tepuk dada tanyalah selera masing-masing.


Wednesday, 14 October 2015

Nikmat Paling Padat

Salam dan hai...


Persoalan yang tercetus malam ini... 
Apakah nikmat paling padat yang pernah kau dapat sepanjang kehidupan kau?
Nikmat duit, tidur lena, makanan mewah atau pasangan yang menyenangkan?

Memang itu semua nikmat padat. Tapi lain orang lain nikmatnya.

Mengira nikmat yang diberi memang tak pernah habis. Ada juga yang merungut, katanya tak cukup apa yang dia dapat dengan kehidupan. Akulah salah seorang antaranya.

Dulu, aku sering juga merungut fasal makanan yang aku tak selera nak makan (maklumlah selera besar). Kalau susah sikit, aku merungut. Padahal kami sekeluarga dah berbelas tahun hidup susah dan berjimat cermat. Itu pun aku masih merungut. Kemudian, kadang-kadang aku tangisi hidup aku yang sering tidak dapat apa yang aku mahu. Padahal, kalau orang lain tu senang-senang saja dapat. Ini bukan saja-saja kata. Boleh dikatakan, tak kira apa yang aku nak sangat contoh, dari segi pelajaran, pekerjaan, kawan-kawan, teman hidup, kewangan, memang aku agak susah sikit untuk mencapai sesuatu. Maknanya, kena kerja kuat daripada orang lain ataupun memang ia bukan rezeki aku. Itulah yang selalu ulang-ulang pada mak aku... semua benda yang aku buat atau nak mesti rezeki kurang menyebelahi aku. Kalau ada rezeki, memang aku susah sikit nak percaya. Maklumlah jarang-jarang dapat.

Dan, inilah yang aku nak cerita. Kalau menurut puisi A. Samad Said yang berjudul Nikmat.

Segala yang dihasrat
tapi tak didapat
adalah nikmat 
yang paling padat.

Nah! Ringkas saja, tapi memang padat. Pada mulanya, aku tak berapa faham dengan isi puisi ini sehinggalah kefahaman ini akhirnya diilhamkan oleh Allah melalui pengalaman hidup aku sendiri.

Memang pada mulanya, aku sering hidup dalam kekecewaan, rasa terpinggir, dan kesedihan. Namun, apabila seorang hamba Allah yang ilmunya tinggi memberitahu aku bahawa aku kena banyak-banyak bersabar kerana itu adalah kekuatan aku. Kalau aku tak sabar, habislah aku. Aku gagal. Mungkin maksudnya gagal dalam hidup? Dalam ujian kehidupan?

Aku ambil nasihat tu betul-betul. Aku cuba sabar walau selalu juga merungut. Tapi, dari tahun ke tahun apabila aku meningkat dewasa, pengalaman dan ilmu yang dipinjamkan Allah memang banyak mengajarku. Aku cuba bersabar hatta untuk perkara-perkara kecil walaupun selalu juga terlepas. Aku cuba untuk banyakkan diam daripada merungut dan bercakap yang bukan-bukan, walaupun tak dinafikan aku kadang-kadang khilaf dan lupa. Selalu juga main cakap yang bukan-bukan, marah-marah tak tentu fasal. Tapi syukur, Allah sedarkan aku secepat mungkin dan aku istighfar. Aku masih lagi belajar. Masih lagi penuh dosa dan silap.

Berkenaan dengan puisi A. Samad Said tersebut dan kehidupanku, aku mula mencerna makna puisi tersebut. Benarlah kata beliau, apabila aku mulai tidak memperolehi apa yang aku inginkan, Allah sentiasa memberi nikmat padaku untuk muhasabah dan cuba mengingati-Nya kembali. Maklumlah, manusia mudah alpa dengan kesenangan dan kehendak masing-masing.

Dan, percayalah padaku, tawakal, sabar dan usaha sangat memainkan peranan dalam kehidupan. Sekurang-kurangnya dalam kehidupanku. Satu per satu Allah mula tunjukkan apabila kita benar-benar berpegang teguh pada-Nya. Sehingga kadang-kadang bagai tak percaya semua ini berlaku padaku. Aku selalu berkata pada diri sendiri, kehidupan ini adalah sesuatu yang magis dan ajaib. Tuhan mampu lakukan apa saja tanpa kita duga. Itulah magisnya!

Maka nikmat Tuhanmu yang manakah kamu dustakan? (Surah ar-Rahman). 


Wednesday, 26 August 2015

Rindu

Salam dan hai...

Tak kusangka rindu yang membuak-buak mampu membuatkan seseorang itu mengalami kemurungan dan kesepian yang memilukan.

Sejak akhir-akhir ini aku mengalami satu perasaan rindu yang aneh. Secara literalnya, bukan pada seseorang atau individu. Tapi pada kenangan.

Percayalah, aku sekarang dalam perjalanan menghadapi kemurungan dan kesepian yang memilukan. Aku dalam usaha menyibukkan diriku dengan pelbagai perkara.

Dan, ini bukan semata-mata tentang rindu, pilu dan murung. Ia melibatkan tentang perkara yang jauh lebih aneh dan misteri. Sahihlah yang perasaan manusia memang sendiri mampu membuat manusia itu keliru.

Ini hanyalah luahan perasaan spontan. Sememangnya ada kena-mengena antara yang hidup ketika ini. Dan, jika ada yang tidak mengerti apa yang kukarang di sini, aku faham. Bukan semua perkara perlu kefahaman sama rata. Malah, tingkat rindu masing-masing pun berbeza-beza.

Aku mengharap kenangan yang kurindui ini hadir dalam mimpi-mimpiku, lalu membasuh segala kerinduan.

Malangnya, ketika ia hadir lewat mimpi-mimpiku, ia lagi menambah rasa rinduku.


Nah, baru kesedar, kerana rindulah, perkara yang sekecil-kecilnya menjadi sangat bererti!

Nota: Setiap kali aku menyebut perkataan 'rindu' dalam hatiku, lagu ini pasti muncul dalam kepala. Sebuah lagu dengan lirik yang penuh kenangan.



Tuesday, 19 May 2015

Surat untuk Kekasih (2)


Kehadapan kekasih,

Benarkah apabila kita berasa rindu dan keseorangan, kita akan mudah menangis atas hal-hal yang remeh pun?

Kalau begitulah keadaannya, maka sayalah orang yang paling mudah menangis ketika ini. Membaca buku boleh sebak, membaca status orang lain boleh mengalir air mata, malah menonton dan membaca hal-hal yang gembira pun boleh buat saya terharu dan menangis. 

Mujur tiada yang melihat.

Saudara, 

Saya cuma rindu. 
Maafkan saya.

Wednesday, 13 May 2015

Surat untuk Kekasih (1)


Kehadapan kekasih,

Maaf atas keterlanjuran saya memanggil tuan dengan gelaran 'kekasih' memandangkan saudara sendiri pun mungkin bena tak bena terhadap saya.


Tujuan utama saya mengarang surat ini adalah ingin mengucapkan selamat ulang tahun buat saudara. Saya tahu ucapan ini sudah terlewat tiga hari, tetapi bukanlah kerana saya terlupa. Tarikh kelahiran saudara sememangnya saya nanti-nantikan. Telah saya tunggu tarikh itu untuk memberi ucap selamat kepada saudara, tetapi sekadar terluah dalam hati saya saja. Saya tidak mampu meluahkan kata-kata tersebut terus kepada saudara. Saya tak mampu, tapi saya gembira membaca ucap selamat yang banyak daripada kenalan-kenalan saudara di laman media sosial. Ada yang buat saya tersenyum lucu. Saya juga suka membaca komen-komen balas saudara. Penuh sopan dan adakalanya juga lucu, sama seperti ucapan-ucapannya. 


Saudara yang terkasih,


Tahniah saya ucapkan atas ulang tahun kelahiran saudara. Untuk kelahiran tahun ini, saya taburkan doa-doa yang lebih banyak daripada biasa buat saudara. Tahun lepas saya tidak berkesempatan berbuat begitu memandangkan saya tidak tahu tarikh lahir saudara. 


Saya doakan semoga saudara sentiasa dalam lindungan dan rahmat-Nya.

Semoga rasa gusar, gundah dan apa jua kesedihan saudara hadapi yang mungkin ada ketika ini digantikan dengan rasa-rasa yang penuh ketenangan, syukur dan kegembiraan. 
Semoga saudara sentiasa didampingi oleh orang-orang yang baik dan menyenangkan.
Semoga apa yang saudara impikan, cari dan usahakan akhirnya dapat saudara perolehi dengan izin Tuhan tentunya. Jika tidak pun, pasti ada yang lebih baik sedang menanti.

Akhir kalam, saya kirimkan salam rindu saya buat saudara. 


13 Mei 2015. 

11.29 PM
Shah Alam





Monday, 29 September 2014

Impian Dulu vs Impian Sekarang

Salam dan hai...

Apa impian kau? Adakah impian kau yang dulu dan sekarang masih sama, atau sudah 360 darjah bertukar?

Kalau tanya aku, banyak yang dah bertukar. Zaman dulu, terutama zaman sekolah aku memang pasang banyak impian dan angan-angan. Hampir kesemuanya tak masuk akal. Tapi, sebab itu yang boleh buat aku gembira, jadi aku teruskan angan-angan aku itu. Dalam diam, aku akan mereka-reka impian aku sendiri. Mungkin sebab itu aku menulis. Sebab kuat berangan-angan. Hahaha...

Apabila aku meningkat dewasa, terutama apabila dah bekerja, pandangan aku lebih realistik. Maka, impian dan angan-angan aku pun lebih berpijak di bumi yang nyata. Kalau dulu aku berangan-angan nak kahwin dengan anak raja, atau nak jadi penyanyi terkenal (suara aku tak sedap pun) atau nak ada rumah banglo tiga tingkat siap dengan kolam renang... sekarang mungkin aku kena fikir seribu kali.

Ada beberapa impian dan cita-cita yang dah tercapai dan apabila dikenang-kenang semula memang agak mengejutkan. Aku bersyukur dengan semua nikmat yang diberi. Cuma, aku masih tak dapat lari daripada bercita-cita dan mempunyai beberapa impian yang agak mustahil (bukan tak masuk akal). Kalau diizinkan Tuhan, impian-impian tersebut akan tercapai. 

Apabila dah dewasa ni, secara tak langsung kau bukan saja akan fikir tentang diri sendiri semata-mata. Kau akan fikir tentang orang lain terutama yang dekat dan di sekeliling kita. Contoh, selain nak hidup senang, kau pun mahu keluarga kau tumpang hidup senang juga. 

Dan, apa yang paling ketara impian sebenar aku bukan untuk fizikal semata-mata. Lebih daripada itu. Pengalaman-pengalaman hidup aku yang lalu memang banyak membuka mata. Sehingga pada satu tahap, apa yang betul-betul aku mahu adalah rasa tenang. Aku mahu rasa tenang dan penuh mengharap pada Tuhan walau susah mana pun aku pada waktu itu. Itu impian utama aku. Aku masih lagi belajar dan akan terus belajar. Aku manusia dan banyak dosa. Kadang-kadang aku malu pada diri sendiri dan orang lain. Dengan Tuhan lagilah aku rasa malu. 

Aku masih lagi belajar...

Sunday, 14 September 2014

Kelegaan yang Sebenar

Salam dan hai...

Apakah kelegaan yang sebenar?

Apabila kau dah berusaha dan berdoa... tapi masih belum temukan jawapan yang sebenar atau masih ternanti-nanti... itulah kelegaan yang sebenar pada aku. 

Melaikan kau hanya berdoa tanpa melakukan apa-apa, silalah rasa susah hati berpanjangan.

Aku serahkan segala-galanya pada yang lebih berkuasa. Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik.

Tapi, kita manusia biasa dan kadangkala tertanya-tanya juga apa sebenarnya Tuhan mendengar doa kita? Adakah Tuhan sedang menjawab doa-doa kita?

Yang aku tahu Tuhan Maha Mendengar.





Thursday, 7 August 2014

Anjing dan Kucing Jalanan: Sebuah Ilham untuk Kehidupan


Salam dan hai...!

Sambil berjoging pagi tadi di taman berdekatan, aku terjumpa dengan seekor kucing jantan berwarna oren. Badannya besar dan bulunya sedikit kasar. Maklumlah, kucing jalanan saja. Tak macam kucing aku yang bersyampukan syampu lidah buaya. Haruslah berbulu lembut bak sutera.

Kucing tersebut ada luka kering di telinga kanannya dan ada beberapa kesan cakar di mukanya. Mungkin bergaduh berebutkan kawasan atau betina. Aku dan adikku berhenti sebentar untuk ke tandas. Sementara menunggu adikku yang masih lagi di dalam tandas, aku keluar duduk-duduk ambil angin di luar. Tiba-tiba kucing jantan itu berlari-lari anak sambil berbunyi manja. Sayangnya aku tak ada makanan nak diberi dan aku fikir betapa kesiannya si kucing kerana harapan untuk makanan pastinya menghampakan. 

Tapi, si kucing datang dan melompat ke atas ribaku. Kemudian menggesel-gesel padaku. Tak semena-mena si kucing itu baring di ribaanku. Terus aku terfikir, memang kucing ni kurang kasih sayang gamaknya.

Sebenarnya, aku rajin juga tengok kucing dan anjing jalanan di sekitar kawasan. Ada yang takut-takut, ada yang sangat manja. Satu perkara yang aku pelajari daripada mereka adalah semangat juang untuk terus hidup. Pernah ada 3 ekor anak kucing yang kelaparan minta makanan daripada aku. Jadi, adik aku belikan makanan kucing dan beria-ia makan. Lepas tu sambung main. Hidup ini mudah, bagi mereka.

Ada juga seekor anjing jalanan yang aku nampak betapa sedihnya wajahnya terpaksa duduk bawah pokok sebab hujan. Tapi, lepas hujan anjing tu akan teruskan hidup.

Kucing dan anjing jalanan, walau bagaimana susah pun hidup mereka, tetap berjuang untuk hidup. Kurap, kaki patah, kurus kering... mereka akan terus hidup sehinggalah nyawa ditarik.

Memang mereka haiwan, tak perlu fikir masalah dunia. Tapi, itu yang aku belajar daripada mereka. Hidup mesti terus walau bagaimana susah pun kita. Aku pun masih belajar lagi untuk hidup dengan penuh kesyukuran. :)




Sunday, 6 July 2014

Lampu Bilik Rosak




Salam dan hai...

Aku menaip entri dalam keadaan gelap. Lampu bilik tak boleh pasang dah. Sebenarnya lampu bilik aku ni memang bermasalah sejak azali lagi. Geram pun ada. Marah pun ada. Tapi, itu mungkin dulu. Lama-kelamaan aku dah jadi tak kisah dengan masalah lampu bilik ni. Banyak lagi cara yang boleh aku guna untuk selesaikan masalah lampu bilik ni. 

Dulu aku geram sebab kalau lampu bilik aku rosak, aku memang tak boleh membaca sedangkan penyelesaian memang ada depan mata. Aku boleh baca kat ruang tamu atau bilik adik aku. Nah, sekarang aku baca sambil baring dalam gelap lagi. Aku guna lampu suluh telefon bimbit aku sendiri. Aku rasa lebih romantik dan privasi. 

Ya, aku memang nak cerita fasal lampu bilik hari ni. 

Kalau nak bercerita tentang aku dan lampu bilik aku, memang macam-macam perasaan aku rasa. Dah jadi semacam satu hubungan aneh antara aku dan lampu bilik. Barangkali sebab aku memang jenis yang suka duduk bilik. Bilik tidur aku adalah dunia kecil aku. Kalau orang lain tengok memang tak best dan bosan, tapi aku tak. Kebanyakan masa menulis aku di dalam bilik ni la. Malah, ada satu cerpen yang aku dedikasikan khas untuk bilik aku. Judulnya, Pengembaraan Ke Bilik Tengah Kepunyaan Maisarah. Ia memang sebuah cerita fiksyen dengan sedikit tokok tambah, tapi berdasarkan kesah sebenar iaitu kesah bilik aku sendiri yang terletak di tengah-tengah antara dua bilik yang lain di rumah aku. Nanti-nanti, aku mungkin akan kongsikan cerpen tu di sini. 

Kalau penulis lain harus pergi mengembara keliling dunia, panjat gunung atau bertapa di gua nenek kebayan untuk dapatkan ilham menulis atau feel satu-satu watak, aku hanya perlu ke bilik aku saja untuk dapatkan ilham. Kat tempat lain memang aku tak boleh nak menulis melainkan ilham tu cuma berlegar-legar dalam kepala sahaja. Alhamdulillah, Allah pinjamkan aku ilham-Nya untuk menulis dan menulis juga menjadi salah satu sumber rezeki aku. 

Berbalik pada lampu bilik tidur tadi, banyak perkara yang aku belajar. Paling utama belajar sabar. Aku mula belajar sabar tentang masalah lampu bilik tidur ni apabila aku mula sedar yang tidak ada apa yang berlaku tanpa izin Allah. Bukan tak berusaha nak baiki, tapi kalau dah baiki pun sentiasa rosak maknanya usaha aku yang terakhir adalah doa dan sabar. Ya, apabila kita sabar yang sebenar-benarnya dengan dugaan hidup (walaupun tentang hal sekecil lampu bilik yang rosak), nikmatnya kau boleh rasa terus pada masa itu juga. Nikmat tenang dan lega sebabnya kau tahu semuanya itu bawah pengawasan Allah. Bukan di tangan kau.

Aku mengaku, kadang-kadang aku pun tak cukup sabar nak menghadapi cabaran hidup yang gila ni. Sungguh, dunia ni memang gila dan aneh. Kadangkala mengelirukan aku. Tapi, untuk orang yang percaya pada Tuhan, selalu ada jalan pulang yang pada akhirnya melegakan perasaan. Dan, kadang-kadang kita terlupa kita ni hamba-Nya saja. 

Semoga dunia berserta akhirat kita sentiasa diberkati. Hidup mesti terus :)


Wednesday, 2 July 2014

Rezeki, Kehidupan & Doa


Salam dan hai...

Dah masuk 4 Ramadan. Syukur alhamdulillah, masih sempat menunaikan puasa tahun ni :)

Banyak perkara yang berlaku sepanjang 4 hari Ramadan ni. Ada yang mengejutkan, menggembirakan dan sedih sikit. Tapi aku tak nak cerita semua tu. 

***

Ada perkara yang kalau kita betul-betul berserah, kita akan rasa senang hati. Tenang dan tenteram. Aku beritahu ni sebab benda ni baru berlaku pada aku beberapa hari lepas.

Duit tinggal RM 15 aje dalam dompet dan masa tu aku perlukan duit lebih untuk satu hal. Jadi, aku fikir, memandangkan hari itu memang gaji aku cuma aku tak sempat keluarkan duit aje. Kalau ada mesin ATM adalah. Kalau tak ada pun tak apa. Pakai ajelah duit yang ada dulu walaupun aku tahu tak cukup.

Aku ceritakan hal tu pada kawan aku. Saja-saja cerita. Tak ada makna apa-apa pun. Tapi, tiba-tiba dia tanya aku sama ada aku nak pinjam RM 100 tak. Aku tak terfikir pun tentang tu. Idea yang bernas! Haha... tapi aku cakap aku cuma nak pinjam RM 30 aje, dan ia berakhir dengan dia pinjamkan aku RM 50. Nampak sangat RM 30 tu sikit sangat. Sebenarnya aku segan nak pinjam duit orang. Uhuk... uhuk!

***

Sejak akhir-akhir ni aku memang ikat perut sikit. Maklumlah, banyak sangat pancaroba dalam dunia ni buatkan aku terpaksa guna banyak duit. Jadi, aku selalu tak makan malam. Sarapan pun kadang-kadang aje. Aku cuma tiap-tiap hari akan makan tengah hari. Satu pagi tu aku dengan kawan aku ni pergilah bersarapan. Memang duit aku taklah banyak sangat masa tu dalam dompet. Tapi, aku ni jenis yang tak berkira sikit fasal makan walaupun aku dalam musim ikat perut. Aku selalu fikir, rezeki tu insya-Allah ada. Nak dijadikan cerita, kawan aku ni tiba-tiba bayarkan sarapan aku. Dia memang selalu belanja makan tapi macam aku kata tadi, aku segan orang belanja makan atau bagi duit dekat aku. Aku tak biasa. Dulu, dia rajin belanja aku makan sebab dia suka belanja orang tengah belajar macam aku ni (memandangkan aku sambung belajar).

***
Apa sebenarnya yang aku nak cerita ni?
Aku tengah pujuk hati aku sendiri. Tak lama lagi aku akan berhenti kerja atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan. Aku buntu macam mana aku nak sara hidup aku. Bayar hutang PTPTN, bayar insurans, duit petrol, tol dan lain-lain. 
Tapi dalam hati, aku cuba untuk positif. Aku berusaha untuk cari sumber lain walaupun nampak samar-samar lagi. Sama macam apa yang berlaku 1 Ramadan lepas. Ada satu perkara yang tak disangka-sangka berlaku dalam hidup aku, yang aku fikir dah macam tak ada harapan tapi aku tetap berdoa juga.

Jadi, nak tak nak aku kena teruskan hidup. Kalau tak mahu hidup, jangan jadi jadi manusia...