Friday, 23 October 2015

Menonton The Orphanage (2007)

Salam dan hai...


Rasanya sudah lama aku tidak menonton sebuah filem seram. Aku bukanlah penggemar filem seram dan aku tidaklah seratus peratus membenci filem-filem seram.

Ada beberapa buah filem yang aku gemar dan The Orphanage (2007) adalah salah satu di antaranya. Malah, tak salah kalau aku katakan yang filem ini bukanlah sebuah filem hantu. Ia sebuah filem tentang pertolongan. Aku rasa filem seram dengan tema meminta tolong pada yang hidup selalunya tak dapat dipisahkan.

Ia mengisahkan tentang Laura, seorang anak yatim piatu kembali semula tinggal di rumah anak yatimnya semasa kecil bersama si suami, Carlos dan anak angkat mereka, Simon yang juga anak yatim piatu.

 Anak Laura, Simon hilang setelah berlaku sedikit salah faham di antara mereka berdua. Hal ini kerana Simon memberitahu ibu bapanya yang dia dapat melihat kawan-kawannya seramai enam orang. Laura dan Carlos pula menyangka itu hanyalah rakan-rakan khayalan anaknya saja.

Kehilangan Simon telah membawa Laura dan Carlos akan satu misteri di rumah mereka itu. Carlos yang tidak mempercayai sebarang hal tahyul memujuk Laura keluar beberapa hari dari rumah itu yang akhirnya hanya Carlos seorang saja yang bercuti. Laura pula mula mempercayai bahawa rakan-rakan khayalan anaknya itu bukan khayalan.

Filem ini sebenarnya bagi aku seram dalam kesedihan. Selalunya filem yang melibatkan ibu, bapa, budak kecil atau haiwan pasti mengundang kesedihan. Filem ini kisah bercerita tentang satu hubungan zaman-berzaman iaitu hubungan ibu dan anak. Ia juga bercerita tentang kisah persahabatan yang mengundang kecelakaan.

Aku rasa, babak paling seram dalam filem ni adalah sewaktu Laura kembali meniru semula aksi permainan zaman kanak-kanaknya iaitu bermain sorok-sorok untuk panggil semula 'rakan-rakan khayalan' anaknya dalam usaha mencari petanda kehilangan anaknya itu. Walau tak ada muka hantu yang koyak rabak dalam filem ini, tetap ia menyeramkan.

Pengakhiran cerita ini membawa satu kesayuan yang teramat dalam diri aku. Ia berakhir antara dua perasaan, sedih dan gembira. Sebagai penonton, kau pilihlah yang mana satu kau mahu akhirinya.

Wednesday, 14 October 2015

Nikmat Paling Padat

Salam dan hai...


Persoalan yang tercetus malam ini... 
Apakah nikmat paling padat yang pernah kau dapat sepanjang kehidupan kau?
Nikmat duit, tidur lena, makanan mewah atau pasangan yang menyenangkan?

Memang itu semua nikmat padat. Tapi lain orang lain nikmatnya.

Mengira nikmat yang diberi memang tak pernah habis. Ada juga yang merungut, katanya tak cukup apa yang dia dapat dengan kehidupan. Akulah salah seorang antaranya.

Dulu, aku sering juga merungut fasal makanan yang aku tak selera nak makan (maklumlah selera besar). Kalau susah sikit, aku merungut. Padahal kami sekeluarga dah berbelas tahun hidup susah dan berjimat cermat. Itu pun aku masih merungut. Kemudian, kadang-kadang aku tangisi hidup aku yang sering tidak dapat apa yang aku mahu. Padahal, kalau orang lain tu senang-senang saja dapat. Ini bukan saja-saja kata. Boleh dikatakan, tak kira apa yang aku nak sangat contoh, dari segi pelajaran, pekerjaan, kawan-kawan, teman hidup, kewangan, memang aku agak susah sikit untuk mencapai sesuatu. Maknanya, kena kerja kuat daripada orang lain ataupun memang ia bukan rezeki aku. Itulah yang selalu ulang-ulang pada mak aku... semua benda yang aku buat atau nak mesti rezeki kurang menyebelahi aku. Kalau ada rezeki, memang aku susah sikit nak percaya. Maklumlah jarang-jarang dapat.

Dan, inilah yang aku nak cerita. Kalau menurut puisi A. Samad Said yang berjudul Nikmat.

Segala yang dihasrat
tapi tak didapat
adalah nikmat 
yang paling padat.

Nah! Ringkas saja, tapi memang padat. Pada mulanya, aku tak berapa faham dengan isi puisi ini sehinggalah kefahaman ini akhirnya diilhamkan oleh Allah melalui pengalaman hidup aku sendiri.

Memang pada mulanya, aku sering hidup dalam kekecewaan, rasa terpinggir, dan kesedihan. Namun, apabila seorang hamba Allah yang ilmunya tinggi memberitahu aku bahawa aku kena banyak-banyak bersabar kerana itu adalah kekuatan aku. Kalau aku tak sabar, habislah aku. Aku gagal. Mungkin maksudnya gagal dalam hidup? Dalam ujian kehidupan?

Aku ambil nasihat tu betul-betul. Aku cuba sabar walau selalu juga merungut. Tapi, dari tahun ke tahun apabila aku meningkat dewasa, pengalaman dan ilmu yang dipinjamkan Allah memang banyak mengajarku. Aku cuba bersabar hatta untuk perkara-perkara kecil walaupun selalu juga terlepas. Aku cuba untuk banyakkan diam daripada merungut dan bercakap yang bukan-bukan, walaupun tak dinafikan aku kadang-kadang khilaf dan lupa. Selalu juga main cakap yang bukan-bukan, marah-marah tak tentu fasal. Tapi syukur, Allah sedarkan aku secepat mungkin dan aku istighfar. Aku masih lagi belajar. Masih lagi penuh dosa dan silap.

Berkenaan dengan puisi A. Samad Said tersebut dan kehidupanku, aku mula mencerna makna puisi tersebut. Benarlah kata beliau, apabila aku mulai tidak memperolehi apa yang aku inginkan, Allah sentiasa memberi nikmat padaku untuk muhasabah dan cuba mengingati-Nya kembali. Maklumlah, manusia mudah alpa dengan kesenangan dan kehendak masing-masing.

Dan, percayalah padaku, tawakal, sabar dan usaha sangat memainkan peranan dalam kehidupan. Sekurang-kurangnya dalam kehidupanku. Satu per satu Allah mula tunjukkan apabila kita benar-benar berpegang teguh pada-Nya. Sehingga kadang-kadang bagai tak percaya semua ini berlaku padaku. Aku selalu berkata pada diri sendiri, kehidupan ini adalah sesuatu yang magis dan ajaib. Tuhan mampu lakukan apa saja tanpa kita duga. Itulah magisnya!

Maka nikmat Tuhanmu yang manakah kamu dustakan? (Surah ar-Rahman). 


Thursday, 1 October 2015

Menonton Drishyam (2013)

Salam dan hai...


Hari ini aku nak bercerita tentang sebuah filem dari India berbahasa Malayalam yang sangat menarik. Drishyam dalam Bahasa Inggeris bermaksud Visual/ The Sight. Pada mulanya, aku tertanya-tanya mengapa filem ini diberikan judul sebegitu rupa, sehinggalah akhirnya satu per satu misteri cerita ini terbongkar. Sebenarnya, di awal permulaan ceritanya lagi pengarah sudah tunjukkan watak utamanya iaitu Georgekutty (dilakonkan oleh Mohanlal) mula menggambarkan sesuatu dalam fikirannya. 

Secara ringkas, filem ini menceritakan tentang kehidupan sebuah keluarga bahagia yang terdiri daripada si bapa iaitu Georgekutty, si ibu, Rani (lakonan Meena), kakak sulung, Anju dan adik bongsu iaitu Anu. Mereka tinggal di sebuah perkampungan sunyi di Rajakkad. Georgekutty merupakan anak yatim piatu dan bersekolah setakat darjah empat sahaja. Dia menjalakan perniagaan kabel TV di kampung ini. Maka, pekerjaannya banyak berkisar dengan filem dan drama yang ditonton melalui kabel TV tersebut. Isterinya pula suri rumah tangga sepenuh masa, manakala anak sulung dan bongsunya masing-masing bersekolah menengah dan rendah. Kejadian tidak terduga berlaku apabila isteri dan anak sulungnya secara tidak sengaja terbunuh seorang remaja lelaki bernama Varun yang cuba untuk memperkosa dan mengugut Anju. Hendak dijadikan cerita, Varun merupakan anak tunggal kepada seorang pegawai polis pangkat tinggi bernama Geetha Prabhakar. Maka, melalui peristiwa itulah kehidupan keluarga mereka mula berubah dan Geetha bersama pembantu-pembantunya cuba mengorek misteri kehilangan anaknya itu.

Filem ini bermula dengan agak perlahan di mana penonton akan disajikan dengan kehidupan keluarga bahagia Georgekutty. Seperti dalam novel, pengarah memperkenalkan watak-watak dan perwatakan mereka setiap satu supaya penonton tidak 'lost' untuk babak seterusnya yang lebih mencabar dan saspens. Kesemua babak permulaan ceritanya walaupun tiada konflik, tetap penting sebagai klu kepada misteri-misteri yang akan berlaku kepada keluarga Georgekutty. 

Aku tak mahu cerita lanjut tentang isi filem ini kerana ia merupakan sebuah filem saspens dan misteri. Sebenarnya, penonton sudah tahu awal-awal tentang kehilangan Varun tetapi apa yang membuatkan filem ini sedikit lain daripada filem misteri yang lain adalah bagaimana Georgekutty dan keluarganya cuba menyelamatkan diri Varun daripada terus dituduh kepada kehilangan Varun. Bagi aku filem ini mengangkat tema kekeluargaan yang tinggi di mana seorang ayah dan ketua keluarga berusaha bermati-matian melindungi keluarganya daripada ancaman. Tiada aksi pergaduhan, hanya perlu kebijaksanaan, ketelitian dan mata hati untuk melindungi keluarga. Sebab itulah filem ini diberi judul Drishyam. Dan, jangan cuba pandang rendah pada lelaki yang bersekolah setakat darjah empat sahaja.

Filem ini telah difilemkan semula sebanyak tiga kali. Salah satunya difilemkan di Bollywood  berbahasa Hindi dengan judul yang sama pada tahun 2015. Para pelakonnya pula terdiri daripada Ajay Devgan dan Tabu. 


Janganlah anda tertipu apabila melihat poster filem ini yang penuh ketenangan. Dan apabila anda sudah menontonnya, barulah anda akan mengangguk tersenyum melihat poster ini yang rupanya mempunyai kaitan yang kuat dengan jalan ceritanya. 

Drishyam, sebuah filem misteri/keluarga. 


  

Wednesday, 16 September 2015

Menonton Rent-a-Cat (2012)

"Kadangkala, ada orang yang kita tinggalkan dengan ucapan; "Jumpa lagi', tapi sebernanya kita tidak akan berjumpa dengannya lagi." (Sayako).

Rent-a-Cat mengisahkan tentang seorang gadis muda bernama Sayako yang disukai oleh kucing. Malah, dia dikatakan sering diikuti dan menarik perhatian kucing-kucing di sekitarnya. Menurutnya, tarikan itu mungkin diwarisi oleh mendiang neneknya yang juga gemar dan digemari oleh kucing-kucing.


Sayako digambarkan sebagai seorang gadis yang hidup dalam kesunyian. Tiada rakan-rakan dan hanya tinggal dengan kucing-kucingnya sahaja semenjak kematian neneknya. Lalu, dia mula meletakkan matlamat dalam hidupnya dengan menulis dan menampal matlamat tersebut di dinding rumahnya. Matlamat utamanya adalah untuk berumah tangga pada tahun itu juga tanpa melihat pada paras rupa si lelaki.

Sayako juga menyewakan kucing-kucingnya kepada sesiapa yang kesunyian. Menonton watak Sayako, aku teringat tentang watak Amelie dalam filem Amelie (2001) dari Perancis.

Seperti Amelie, Sayako cuba membantu para pelanggannya yang kesunyian sedangkan diri sendiri masih mencari-cari sesuatu (atau seseorang) untuk mengisi kekosongan hatinya. Walaupun, secara luaran Sayako kelihatan seperti seorang yang ceria (berdasarkan warna-warni pakaiannya) atau seorang gadis yang aneh (menyewa kucing-kucing untuk manusia kesunyian dan dengan harga yang sangat murah).

Ia sebuah kisah yang ringkas, tetapi ada terselit satu kesenangan sewaktu menonton filem ini. Mungkin bagi sesetengah orang, filem ini agak membosankan kerana ia bergerak agak perlahan. Namun, jalan cerita yang bergerak perlahan itulah bagi aku menggambarkan kesunyian yang dialami oleh Sayako. 

Sayako adalah pantulan kepada manusia yang kesunyian dalam dunia yang sangat bising ini. Sayako itu mungkin kau. Sayako itu mungkin aku.

Pendek kata, filem ini adalah tentang kucing, kesunyian... kesunyian... kesunyian... kerinduan
dan mengisi hati yang kosong.




Thursday, 10 September 2015

Membaca 9 dari Nadira oleh Leila S. Chudori

Salam dan hai...


Pernahkah kau rasakan kehilangan seseorang sehingga menyebabkan kau mengalami kemurungan yang dahsyat? 

Sembilan buah cerita pendek dari Indonesia ini mengisahkan tentang seorang wanita bernama Nadira yang menghadapi sehari-hari kehidupannya setelah kematian mengejut ibunya akibat bunuh diri.

Kematian ibunya benar-benar memberi tamparan hebat buat Nadira. Di pejabat, Nadira jarang bergaul dengan orang lain dan lebih gemar membuat hal sendiri. Setelah ketiadaan
ibunya, Nadira lebih selesa duduk terperuk di bawah meja kerjanya atau jika tidak pun, sering meminta kerja lebih daripada majikannya.

Cerpen-cerpen ini bukan hanya berkisar tentang Nadira semata-mata. Ia melangkaui kisah cinta ibu bapanya, kisah cinta kakak dan abangnya serta kisah cintanya sendiri. Sebelum dan selepas kematian ibunya.

Bagi aku setakat ini, buku ini merupakan antara naskhah Indonesia terbaik yang pernah aku baca. Malah, ia juga mendapat beberapa pengiktirafan sastera. Pengarang bijak mengeluarkan dan menyampaikan emosi Nadira melalui cerpen-cerpennya. Bukan senang seorang pengarang mahu mempersembahkan emosi melalui aksara dan perkataan. Membaca cerpen-cerpen ini sekali gus mengikat aku untuk turut rasa kemurungan, tekanan dan kesedihan tak terucap yang dialami oleh Nadira.

Seperti yang aku tanyakan di awal entri ini... Pernahkah kau rasakan kehilangan seseorang sehingga kau mengalami kemurungan yang dahsyat?

Ya, aku pernah. Bukan kematian. Tetapi kehilangan orang dari hidupku lalu berhijrah meninggalkan tanpa dia sedari aku merana seorang diri.

Lalu, aku teringat lagu Ramli Sarip, Negeri Cinta~

Thursday, 3 September 2015

Kata Kunci: Sabar dan Syukur

Salam dan Hai...


Sebenarnya sudah beberapa hari aku berfikir tentang ini. Mungkin kerana sejak akhir-akhir ini aku mengalami satu ujian yang agak berat dalam hidup. Ujian untuk terus survive. Ia seakan-akan satu putaran dalam hidupku. Teringat pula pemikiran Nietzsche tentang eternal recurrence. Kehidupan ini adalah tentang pengulangan semula. 

"This life as you now live it and have lived it, you will have to live once more and innumerable times more; and there will be nothing new in it, but every pain and every joy and every thought and sigh and everything unutterably small or great in your life will have to return to you, all in the same succession and sequence." - The Gay Science oleh Nietzsche.

Terpulang pada seseorang sama ada mahu mempercayai atau tidak. Bagi aku pula, kadang-kadang Tuhan hantarkan ujian berulang kali padaku sebagai satu peringatan. Mungkin ada yang perlu diperbetulkan sana sini. Atau mungkin juga Tuhan mahu aku sabar. Sabarlah...


Apa yang aku cuba nak beritahu adalah tentang syukur dan syukur ini ada kaitan rapat dengan sabar. Perkataan 'syukur' itu sendiri memang sudah sinonim dengan aku. Lebih-lebih lagi apabila dilahirkan sebagai seorang Islam. Namun, sejauh manakah rasa syukur itu benar-benar meresap dalam diri?

Aku mengakui, waktu aku berada dalam keadaan susahlah, macam-macam perkara bermain dalam fikiran aku. Adakah Tuhan sedang menghukumku atas dosa-dosa dan kesalahan yang lepas? Atau adakah ini tanda dan bukti sayang-Nya kepadaku? Namun, dari sehari ke sehari, aku mulai belajar sesuatu.

Apa-apa yang aku dapat sama ada rasa susah, sedih, murung, gembira, perlu diiringi rasa syukur yang tak berbelah bahagi kepada Tuhanku, Allah yang Maha Agung. Saat aku tak mampu berbuat apa-apa selepas habis berusaha, bersyukurlah. Itu yang aku sedang lakukan sekarang dan aku mengharapkan rasa syukur ini berterusan sampai bila-bila.

Tapi, bukan senang untuk aku untuk terus istiqamah dengan perasaan syukur ni. Banyak sangat dugaan memandangkan aku ni seorang yang tak tetap moodnya. Kadang-kadang kalau rasa susah sikit hidup, semua orang aku nak marah. Sebab itulah aku kata syukur dan sabar ini berkaitan antara satu sama lain. Kalau aku mampu sabar bermakna aku mampu bersyukur.

Dan, percayalah... sabar dan syukur ni sebenarnya mampu membuat kita jadi lebih tenang dan tak panik. Sebab apa aku berani kata macam ni, sebab aku dah mengalaminya sendiri. Aku seorang yang cepat panik dan gelabah tak tentu hala. Malah untuk perkara-perkara yang aku tak mampu kawal pun, aku akan jadi panik. Natijahnya, aku akan cepat marah. Tapi, bila aku mula berjinak-jinak untuk kawal marah aku dan cuba bersabar (mungkin faktor kedewasaan mengajar aku lebih matang), aku mulai rasa tenang. Bila rasa tenang tu hadir, secara automatik rasa syukur pun akan datang perlahan-lahan.

Antara sebab lain aku mula memikirkan tentang sabar dan syukur ni selain daripada salah satu cara untuk aku survive dalam kehidupan yang mendesak ni, sebab lainnya adalah aku dah penat jadi diri aku yang moody, suka mengeluh dan merungut tiba-tiba. Aku dah bosan!! 

Baru-baru ni aku berkesempatan untuk sedekah makanan untuk gelandangan di sekitar Kuala Lumpur. Aku tak perlu lihat jauh-jauh untuk cari pengajaran. Cuma aku rasa bersyukur sangat aku dapat tidur dengan selesa walau duduk dalam bilik yang panas (bilik tak ada penghawa dingin), walau bilik aku agak kecil. Berbanding mereka yang tidur atas kaki lima dan berbau hancing.

Semoga rasa sabar dan syukur ini akan berkekalan sampai bila-bila. Percayalah, apabila kau mula berusaha untuk jadi manusia yang lebih baik, Tuhan yang Maha Penyayang akan tunjukkan jalannya :)

Nota: Ini hanyalah pendapat peribadi penulis. 

Wednesday, 2 September 2015

Menonton Piku (2015)

Salam dan hai...

Semalam aku selesai menonton sebuah naskhah dari Bollywood yang berjudul Piku. Piku mengisahkan tentang seorang wanita bujang berumur 30 tahun iaitu Piku (Deepika Padukone) yang tinggal bersama bapanya yang berumur 70 tahun, Bhaskor Banerjee (Amitabh Bachchan). Piku digambarkan sebagai seorang wanita moden (dia bekerja sebagai arikitek), bebas, serta tidak terikat dengan komitmen perhubungan serius. Namun, secara tidak langsung  penonton dibawa menelusuri konflik emosi yang melanda dirinya. 

Sebagai contoh, Piku sering ke tempat kerja menaiki teksi. Namun, pada masa yang sama, pemandu-pemandu teksi yang pernah menjadi pemandunya selalunya serik atau takut untuk menghantar dan menjemputnya disebabkan oleh sikapnya yang menjengkelkan, garang dan 'bossy'. 

Sehinggalah tuan punya syarikat teksi iaitu Rana Chaudhary (Irrfan Khan) terpaksa menghantar Piku dan bapanya ke Kalkutta, kampung halaman mereka. Di situ, kehidupan Piku dan bapanya benar-benar 'dibongkarkan' di hadapan orang asing - Rana.

Bapa Piku pula seorang lelaki yang aneh. Dia bersikap seperti kebanyakan orang tua yang menjengkelkan. Sering membuatkan anaknya tidak senang duduk dan sangat ambil berat (baca: risau) tentang masalah kesihatannya terutama masalah sembelitnya.

Namun, di sebalik sikap stereotaipnya, bapa Piku tidak seperti bapa-bapa yang lain yang risau jika anak gadisnya tidak berkahwin. Malah, dia melarang (atau tak menggalakkan anaknya berkahwin). Katanya, seseorang yang berkahwin dengan wanita atas sebab seks dan menjadikan wanita sebagai pengurus rumah tangga, adalah seorang yang rendah IQ-nya. Malah, apabila Piku mula berjinak-jinak untuk memulakan hubungan dengan lelaki, bapanya segera memberitahu yang Piku adalah seorang, "financially, emotionally and sexually independent, non-virgin woman"

Hubungan Piku dan bapanya merupakan satu hubungan yang aneh gabungan antara moden dan tradisional. Piku seorang wanita moden, tapi pada masa sama masih lagi bersikap tradisional. Dia masih lagi tinggal dengan bapanya, menguruskan hal ehwal bapanya dan mendengar kata bapanya walaupun cuba melawan. Manakala, Bhaskor (bapa Piku) digambarkan seorang bapa stereotaip dan mengamalkan ideologi partriarki seperti Piku dan orang-orang sekelilingnya harus mendengar katanya, tapi pada masa sama tidak menganggap wanita sebagai objek seks dan hamba abdi semata-mata.

Peranan Rana juga tidak patut dikesampingkan. Dia dilihat sebagai seorang lelaki yang cuba untuk memahami keluarga Piku. Walaupun pada mulanya dia agak 'takut' dengan Piku, tetapi perjalanan selama 46 jam bersama Piku dan Bhaskor ke Kalkutta membuatkan dia sedikit selesa. Malah, sebagai orang luar, Rana melihat hubungan Piku-Bhaskor lebih menyeluruh dan kerana itulah dia dapat menegur sikap Bhaskor yang pentingkan diri itu.

Hubungan Rana-Piku juga walaupun tidak menonjolkan perasaan cinta secara terang-terangan, tetapi gerak tubuh dan bahasa kiasan yang 'subtle' sekali-sekala memberitahu bahawa mereka menyembunyikan perasaan masing-masing.

Secara keseluruhannya, filem Piku merupakan sebuah filem yang straight-forward, maknanya tidak ada adegan atau babak yang benar-benar mengejutkan tetapi ia sebuah naskhah yang aku senangi. Menonton filem ini secara tak langsung membuat aku terfikir tentang hubungan kita sebagai anak atau ayah. Lebih-lebih lagi anak perempuan. Piku memberitahu penonton, sepelik, seaneh dan betapa tak sependapat pun antara kita dan bapa, tetap kedua-duanya memerlukan satu sama lain.

Nota: Antara sebab lain aku menonton filem ini adalah kerana Deepika Padukone dan Irrfan Khan!