Friday, 10 July 2015

Membaca The Kite Runner oleh Khaled Hosseini

Salam...

Aku sudah selesai membaca novel ini beberapa minggu lepas. Novel ini telah lama dibeli oleh aku. Adalah dalam setahun macam tu, tapi baru-baru ni saja mood untuk membaca novel ini tiba-tiba datang. Selain daripada aku memang dah lama teringin untuk memiliki novel ini, ada juga sebab lain yang menguatkan perasaan aku mendapatkan dan membaca novel ini. Tapi, biarlah aku rahsiakan sebab yang lagi satu tu. Tak penting punnnn...


Usai membaca The Kite Runner, aku mengambil masa untuk menenangkan diri. Kesah kehidupan kanak-kanak di Afghanistan ini walaupun ia merupakan sebuah fiksyen tapi sejarah dan latar ceritanya tetap berdasarkan kesah sebenar.

Aku takkan ceritakan tentang sinopsis cerita ini. Anda boleh baca sendiri di mana-mana. Cumanya, apa yang aku nak ceritakan tentang eksploitasi kanak-kanak di sana terutama sekali daripada etnik Hazara. Etnik ini dibenci dan dipinggirkan oleh masyarakat di Afghanistan atas sebab meraka mengamalkan ajaran Syiah. Lebih-lebih lagi apabila Afghanistan diperintah oleh Taliban.

Mengikut bacaan aku, di Afghanistan ada satu budaya yang dikenali bacha bazi (dancing boys) masih diamalkan di negara itu walaupun menyalahi undang-undang syariah dan sivil di sana. Penari-penari kanak-kanak ini akan dijadikan eksploitasi seksual oleh golongan atasan dan dibeli oleh mereka sebagai simbol status. Jijik kan?

Ada satu dokumentari tentang budaya ini yang bertajuk The Dancing Boys of Afghanistan (2010). Kau boleh tonton sendiri (aku pun tak sanggup tonton lagi).


Bacaan lanjut: Bacha bazi 


Aku sediakan video yang aku ambil di Youtube yang permulaan video tu diambil daripada filem The Kite Runner. Tabik aku pada sang pengarangnya yang berani memaparkan sisi jelik budaya Bacha bazi ini. Harapan aku agar layang-layang dapat dimainkan kembali dengan penuh girang oleh anak-anak Afghanistan.

Novel ini tentang pengorbanan seorang sahabat, seorang ayah dan seorang manusia demi kasih sayang.




Tuesday, 19 May 2015

Surat untuk Kekasih (2)


Kehadapan kekasih,

Benarkah apabila kita berasa rindu dan keseorangan, kita akan mudah menangis atas hal-hal yang remeh pun?

Kalau begitulah keadaannya, maka sayalah orang yang paling mudah menangis ketika ini. Membaca buku boleh sebak, membaca status orang lain boleh mengalir air mata, malah menonton dan membaca hal-hal yang gembira pun boleh buat saya terharu dan menangis. 

Mujur tiada yang melihat.

Saudara, 

Saya cuma rindu. 
Maafkan saya.

Wednesday, 13 May 2015

Surat untuk Kekasih (1)


Kehadapan kekasih,

Maaf atas keterlanjuran saya memanggil tuan dengan gelaran 'kekasih' memandangkan saudara sendiri pun mungkin bena tak bena terhadap saya.


Tujuan utama saya mengarang surat ini adalah ingin mengucapkan selamat ulang tahun buat saudara. Saya tahu ucapan ini sudah terlewat tiga hari, tetapi bukanlah kerana saya terlupa. Tarikh kelahiran saudara sememangnya saya nanti-nantikan. Telah saya tunggu tarikh itu untuk memberi ucap selamat kepada saudara, tetapi sekadar terluah dalam hati saya saja. Saya tidak mampu meluahkan kata-kata tersebut terus kepada saudara. Saya tak mampu, tapi saya gembira membaca ucap selamat yang banyak daripada kenalan-kenalan saudara di laman media sosial. Ada yang buat saya tersenyum lucu. Saya juga suka membaca komen-komen balas saudara. Penuh sopan dan adakalanya juga lucu, sama seperti ucapan-ucapannya. 


Saudara yang terkasih,


Tahniah saya ucapkan atas ulang tahun kelahiran saudara. Untuk kelahiran tahun ini, saya taburkan doa-doa yang lebih banyak daripada biasa buat saudara. Tahun lepas saya tidak berkesempatan berbuat begitu memandangkan saya tidak tahu tarikh lahir saudara. 


Saya doakan semoga saudara sentiasa dalam lindungan dan rahmat-Nya.

Semoga rasa gusar, gundah dan apa jua kesedihan saudara hadapi yang mungkin ada ketika ini digantikan dengan rasa-rasa yang penuh ketenangan, syukur dan kegembiraan. 
Semoga saudara sentiasa didampingi oleh orang-orang yang baik dan menyenangkan.
Semoga apa yang saudara impikan, cari dan usahakan akhirnya dapat saudara perolehi dengan izin Tuhan tentunya. Jika tidak pun, pasti ada yang lebih baik sedang menanti.

Akhir kalam, saya kirimkan salam rindu saya buat saudara. 


13 Mei 2015. 

11.29 PM
Shah Alam





Sunday, 22 March 2015

Hujan rahmat

Salam

Ini kisah beberapa hari lepas. Hendak dijadikan cerita, musim panas di Malaysia ni memang selalu buat aku resah sebab aku memang kurang gemar dengan keadaan panas. Beberapa hari sebelum tu aku berusaha menyiapkan bab 1 tesis sarjana aku. Pada hari Khamis, aku berjumpa dengan penyelia. Untuk pengetahuan, beliau antara pensyarah yang aku hormati dan senangi. Bukan jenis pensyarah yang selalu merendah-rendahkan pelajar. Kalau tak tahu, dia ajar. Senang cerita. 

Yang paling aku senang hati, apabila setiap kali tamat waktu berjumpa dengan dia, aku akan berkata, "Dr. minggu depan saya jumpa Dr. lagi, ya?"

"Hmm... jumpa. Kalau tak faham je jumpa. Jumpa sampai faham."

Jadi, aku selalu pulang dengan gembira. 

Okey, berbalik kepada kisah tadi. Bukan masalah tesis yang aku risaukan sangat. Dalam dunia ni ada beberapa perkara yang buat kita susah hati tapi kita sendiri tak pasti sebab apa. Aku sering terjebak dalam masalah itu. Dan, parahnya ia membuat aku sedih dan sukar nak fokus pada kerja-karja utama aku. 

Nak dijadikan cerita, kereta aku mengalami masalah penghawa dingin semasa dalam perjalanan ke fakulti yang ambil masa hampir sejam. Panas membahang jangan ceritalah. Alhamdulillah perjumpaan dengan penyeliaku berjalan dengan baik. Tiba-tiba, sewaktu mahu keluar dari bangunan fakulti, hujan tiba-tiba turun dengan lebat. Aku yang tak bersedia dengan payung hanya mampu berdiri dan menunggu hujan berhenti. Dalam hati aku tak merungut, malah gembira. Dah lama tak rasa angin dingin dan tempias hujan. Entah kenapa rasa serabut dan susah hati yang entah dari mana datang, bagai hilang perlahan-lahan. Benarlah hujan yang turun boleh jadi hujan rahmat. 

Dan, apa yang mengejutkan apabila satu mesej muncul. Dari sahabat lama. Perhubungan kami renggang sedikit akibat masalah komunikasi. Mesej kemaafan yang hadir itu bagaikan menjadi kemuncak hari bahagia aku hari ini. Kami sama-sama salah. Dan kami sama-sama memohon kemaafan. Semoga hidup kami diberkati dunia akhirat. Amin.

Untuk kesekian kali, aku mengakui betapa Allah menyayangiku. Sekarang baru aku benar-benar lihat kuasa doa dan tawakal. Banyak perkara ajaib berlaku padaku, tapi biarlah aku simpan untuk diriku sendiri.

Saturday, 13 December 2014

Kita Memang Sedia Tahu

Salam dan hai...

Pernah kau mengalami satu keadaan, di mana kita seakan-akan sudah tahu apa yang ada dalam hati masing-masing?

Contohnya, kau pertama kali bertemu dengan seseorang dan kau berdua tahu apa yang kau berdua rasa tentang diri masing-masing. 

Adakah itu dinamakan tarikan kimia? Aku rasa ia sangat menarik untuk diborakkan sambil minum kopi. Betapa magisnya dunia perasaan dan jiwa manusia sehinggakan aku dan kau boleh tahu perasaan masing-masing. Ia tidak berlaku dalam filem atau novel semata-mata. Malah, dunia realiti sendiri telah membuktikan. 



Monday, 29 September 2014

Impian Dulu vs Impian Sekarang

Salam dan hai...

Apa impian kau? Adakah impian kau yang dulu dan sekarang masih sama, atau sudah 360 darjah bertukar?

Kalau tanya aku, banyak yang dah bertukar. Zaman dulu, terutama zaman sekolah aku memang pasang banyak impian dan angan-angan. Hampir kesemuanya tak masuk akal. Tapi, sebab itu yang boleh buat aku gembira, jadi aku teruskan angan-angan aku itu. Dalam diam, aku akan mereka-reka impian aku sendiri. Mungkin sebab itu aku menulis. Sebab kuat berangan-angan. Hahaha...

Apabila aku meningkat dewasa, terutama apabila dah bekerja, pandangan aku lebih realistik. Maka, impian dan angan-angan aku pun lebih berpijak di bumi yang nyata. Kalau dulu aku berangan-angan nak kahwin dengan anak raja, atau nak jadi penyanyi terkenal (suara aku tak sedap pun) atau nak ada rumah banglo tiga tingkat siap dengan kolam renang... sekarang mungkin aku kena fikir seribu kali.

Ada beberapa impian dan cita-cita yang dah tercapai dan apabila dikenang-kenang semula memang agak mengejutkan. Aku bersyukur dengan semua nikmat yang diberi. Cuma, aku masih tak dapat lari daripada bercita-cita dan mempunyai beberapa impian yang agak mustahil (bukan tak masuk akal). Kalau diizinkan Tuhan, impian-impian tersebut akan tercapai. 

Apabila dah dewasa ni, secara tak langsung kau bukan saja akan fikir tentang diri sendiri semata-mata. Kau akan fikir tentang orang lain terutama yang dekat dan di sekeliling kita. Contoh, selain nak hidup senang, kau pun mahu keluarga kau tumpang hidup senang juga. 

Dan, apa yang paling ketara impian sebenar aku bukan untuk fizikal semata-mata. Lebih daripada itu. Pengalaman-pengalaman hidup aku yang lalu memang banyak membuka mata. Sehingga pada satu tahap, apa yang betul-betul aku mahu adalah rasa tenang. Aku mahu rasa tenang dan penuh mengharap pada Tuhan walau susah mana pun aku pada waktu itu. Itu impian utama aku. Aku masih lagi belajar dan akan terus belajar. Aku manusia dan banyak dosa. Kadang-kadang aku malu pada diri sendiri dan orang lain. Dengan Tuhan lagilah aku rasa malu. 

Aku masih lagi belajar...

Sunday, 14 September 2014

Kelegaan yang Sebenar

Salam dan hai...

Apakah kelegaan yang sebenar?

Apabila kau dah berusaha dan berdoa... tapi masih belum temukan jawapan yang sebenar atau masih ternanti-nanti... itulah kelegaan yang sebenar pada aku. 

Melaikan kau hanya berdoa tanpa melakukan apa-apa, silalah rasa susah hati berpanjangan.

Aku serahkan segala-galanya pada yang lebih berkuasa. Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik.

Tapi, kita manusia biasa dan kadangkala tertanya-tanya juga apa sebenarnya Tuhan mendengar doa kita? Adakah Tuhan sedang menjawab doa-doa kita?

Yang aku tahu Tuhan Maha Mendengar.