Wednesday, 30 November 2016

Jenguk Sekejap

Salam dan hai...

Aku berhibernasi daripada blogging selama beberapa bulan ni kerana aku dalam mood tak mahu cerita apa-apa di sini. Lagipun, tak ada apa yang menarik untuk aku ceritakan. Hidup aku monotone. 

Hari ini aku buka balik blog ni ada menulis sesuatu sebab aku rindu. Padahal, tak ada apa sangat nak ditaip di sini. Oh ya, lebih kurang dua minggu lepas hari ulang tahun kelahiran aku. Dalam umur yang sudah dewasa dan sepatutnya kena matang ni, aku sudah tidak mengharapkan hadiah berbentuk material atau kek hari lahir. Tapi kalau ada yang nak belanja makan, kecil tapak tangan, nyiru aku tadahkan! Yang selalu aku harapkan adalah doa-doa daripada orang sekeliling. Aku ni banyak buat silap dan dosa. Manalah tahu doa-doa orang sekeliling untuk aku lebih dimakbulkan. Syukur pada Tuhan :)

Ya, itu sajalah untuk entri kali ni. Bosan, kan? Nak buat macam mana hehehe...

Babai....

Wednesday, 31 August 2016

Menonton One Hour Photo (2002)

Salam dan hai...



Malam kemerdekaan semalam, aku dan adik menonton sebuah filem arahan Mark Romanek yang berjudul One Hour Photo (2002).

Kisahnya adalah tentang seorang lelaki kesunyiaan separuh umur (Sy) yang bekerja di sebuah kedai foto di dalam pasar raya. Dia sangat mengagumi kehidupan sebuah keluarga yang bahagia di matanya. Seorang ayah (Will), ibu (Nina) dan anak lelaki (Jake).

Malah, setiap kali si ibu menghantar gambar untuk dicuci, Sy akan mencuci satu lagi salinan untuk dirinya. Semua gambar mereka sekeluarga ditampal di sebuah dinding besar di apartmennya. 

Ya Tuhanku, bagus betul lakonan Robin Williams dalam cerita ini! Memang padanlah menang anugerah Pelakon Lelaki Terbaik di Saturn Awards.

Menonton watak Sy, aku dapat merasakan dengan sepenuh-penuh perasaan betapa sunyi dan terpinggirnya Sy rasakan. Dia keseorangan dan dia hanya mampu melihat dari jauh kebahagiaan orang lain. Wajahnya tampak tersenyum tetapi jauh di sudut hati dia sangat-sangat berduka kerana keseorangan. Watak Jake, si anak lelaki sendiri memberitahu ibunya dia dapat merasakan yang Sy kesunyiaan.

Dan aku faham benar mengapa Sy sanggup balas dendam dan teramat marah apabila dia dapat tahu Wiil curang pada Nina. Sy merasakan Will teramatlah beruntung mempunyai sebuah keluarga yang sempurna. Sy sendiri berangan-angan untuk masuk ke dalam keluarga itu dan menjadi sebahagian daripadanya.

Warna putih dan 'keteraturan' yang melatari kehidupan Sy seolah-olah memberitahu secara tidak langsung betapa kehidupan lelaki separuh umur itu yang sangat plain, kosong dan tidak menyeronokkan.

Walaupun penonton merasakan cara balas dendam Sy pada Will adalah sesuatu yang sangat-sangat memalukan, tetapi sebenarnya pada akhir-akhir cerita nanti penonton akan sedar bahawa Sy sebenarnya tidaklah sekejam itu. 

Dia cuma seorang lelaki kesunyian. Dia sunyi dan kesunyian itu membunuh.

Ah, aku jatuh kasihan yang teramat sangat pada Sy lebih-lebih lagi pada babak akhir cerita. 

Menonton Memories of Murder (2003)

Salam dan hai...




Semalam aku baru saja selesai menonton sebah filem dari Korea Selatan arahan Bong Joon-ho. Filem ini berjudul Memories of Murder (2003). Ia diinsipirasikan daripada sebuah kes benar tahun 1980-an Korea Selatan berkenaan dengan pembunuhan bersiri.

Kisah ini bermula pada tahun 1986 di mana berlakunya beberapa pembunuhan bersiri di sebuah kawasan kampung. Seorang detektif (Park) dan pembantunya yang tak profesional langsung ditugaskan menyiasat kes tersebut. Tetapi disebabkan sikap tidak profesional mereka, sampai ke sudah kes itu tidak selesai malah menjadi lebih teru. Sehinggalah, hadir seorang detektif dari Seoul (Seo) untuk membantu mereka. 

Kehadiran Seo yang profesional menjadikan jalan cerita ini lebih menarik kerana bermulalah misi mencari pembunuh bersiri yang sebenar. Walaupun begitu, aku suka dan geram juga melihat betapa Park dan pembantunya sesuka hati menuduh beberapa orang suspek begitu sahaja. Bukan setakat menuduh, malah membelasah beria-ia.

Penonton dibawa dari satu peringkat ke peringkat untuk mencari bukti dan jejak sang pembunuh sehinggakan mereka dapat rasakan mereka sudah semakin hampir dengan pembunuh. Namun, pembunuhan tetap berlaku, dan aku sebagai penonton semakin lama semakin tertekan sama seperti watak-watak detektif dalam filem ini. 

Cuba bayangkan, kau sebagai seorang detektif telah berusaha bermacam-macam cara dan telah berjaya jumpa dengan pelbagai klu yang boleh membawa kepada penemuan pembunuh bersiri itu, tetapi tetap gagal.

Aku sendiri tertanya-tanya kenapa dia membunuh? Bagaimana rupa pembunuh? Di mana tempat tinggal pembunuh? Siapa keluarga pembunuh? 

Dan, barangkali pembunuhnya adalah orang yang kita tak sedari pernah bertembung dengannya berkali-kali dulu. Berpakaian biasa, berpewatakan biasa, dan segala-galanya tentang sang pembunuh adalah biasa-biasa saja. 

Pengakhiran ceritanya itu sebenarnya telah menjawab segala pertanyaan aku. Tontonlah filem ini.

Thursday, 25 August 2016

Reading The Thousand Splendid Suns (Khaled Hosseini)

Salam and hi...


As told by Nana (the character in the novel which was Mariam's mother); "Learn this now and learn this well, my daughter: Like a compass needle that points north, a man's accusing finger always finds a woman. Always. You remember that, Mariam."

The warning itself was a hint to the direction of the story. Mariam was forced to married with an old man, Rasheed, in fact she thought her father, Jalil Khan could protect her.

Laila, the fifteen old girl was also forced to marry Rasheed with an excuse it'll bring a problem if there's an unmarried woman in their house.


Khaled Hosseini potrayed the environment of Afghanistan under Taliban control was a hell-like condition for women. No hospitals for women (if there was any, it was in a very bad condition), women were not allowed to do makeup, no school for women, no jewelries for women. Everything involved women were not allowed.

However Khaled Hosseini were excellent in portraying another side women that are strong in terms of emotion, mental and physical. It seen in Mariam and Laila. Both women were created to tell readers how the power to live is so strong even though they had to live in the chaos and unfair world.



I quote an excerpt from 'Acknowledgment' that was written by the author in the book:


Queen Soraya, wife of King Amanullah said: "Do not think, however, that our nation needs only men to serve it. Women should also take their part, as women did in the early years of Islam. The valuable services rendered by women are recounted throughout history. And from their examples, we learn that we must all contribute toward a development of our nation."


King Amanullah ruled Afghanistan during 1920's. He tried to liberate Afghanistan. He banned the wearing of burqa in public. He built the first hospital for women and the first school for girls. He brought teacher over from Europe and sent women to Europe to get an education. Amanullah tried to ban forced marriage, raise the minimum marrying age for girls to sixteen and ban the practice of bride price. Unfortunately there was a rebellion and died as and old man in exile.




Wednesday, 17 August 2016

Manusia yang Pandai Berkata-kata

Salam dan hai...

Tadi aku terbaca satu status di Facebook yang benar-benar tepat dengan pengalaman aku sendiri. Statusnya ringkas sahaja dan menggunakan sebaris ayat pendek. Ia berbunyi lebih kurang begini:

Ada beza antara bercakap dan berkomunikasi.

Kan? Nampak tak tu? Membaca status tersebut membuatkan aku tersenyum sinis sambil membayangkan wajah seseorang.

Aku tulis berkenaan hal ini sebab ia dilalui oleh aku sendiri. Walaupun aku ini masih lagi belum jumpa ramai jenis manusia, kawan pun tak ramai... tapi ada beberapa manusia yang aku boleh kategorikan apabila menyentuh soal komunikasi ini. 

Dipendekkan cerita, lebih kurang enam tujuh tahun yang lalu aku bertemu, berkenalan dengan seseorang ini. Dia jauh lebih berusia daripada aku, dan tentunya ada banyak pengalaman. Maka, daripada pengalaman itu, dia memang seorang yang banyak bercakap jugalah untuk seorang lelaki. Memandangkan aku ini jauh lebih muda daripada dia, maka cara bercakap dia tu mestilah ada sentuh pengalaman zaman muda dia, ideologi, ketidakpuashatian terhadap itu ini. 

Pada awal-awal perkenalan aku dengan dia, memang aku akui aku suka berbual dengan dia. Banyak cerita kerana dia juga seorang pembaca. 

Namun, tahun-tahun yang mendatang aku mulai rasa lain. Mula-mula aku tak mahu percaya sikap angkuh, cakap besar dan cakap tak serupa bikin dia tu daripada rakan-rakan. Lama-kelamaan aku rasai sikap dia itu. Lebih-lebih lagi bab cakap tak serupa bikin. Pendek kata, apa yang orang lain buat semua tak kena pada mata dia (terutama pada orang-orang muda), tetapi apabila dia buat, pandai pula senyap-senyap.

Aku selalu rasa yang dia ada masalah dengan orang-orang muda macam kami ni. Macam kami ini orang tak ada hala tuju hidup gitu. Tapi, aku dan kenalan yang bekerja dengan dia sajalah yang tahu perangai sebenar dia. Di media sosial dan orang luar dia memang cakap berdegar-degar. Semua orang puji dia. Aku dan rakan-rakan hanya mampu menggeleng dan tersenyum sinis.

Nak salahkan orang luar pun tak boleh dan dia kena bersyukur kerana Tuhan sudah tutup aib dia.

Huh... nampaknya ini dah jadi entri luahan perasaan ni.

Dan satu lagi, baru aku sedar kenapa walaupun dia borak pelbagai isu dan topik (memang kedengaran menarik), tetapi aku kalau boleh nak lari daripada berbual dengan dia. Malah, rakan-rakan aku pun begitu. 

Rupa-rupanya ia berkenaan masalah komunikasi. Mungkin tanpa dia sedari selama ini dia mengamalkan konsep komunikasi satu hala. Pengalaman aku; dia akan bercakap tanpa henti dan aku tak tahu tang mana nak mencelah. Kalau aku dapat mencelah, keluarkan pendapat dan pandangan jelas di riak wajahnya yang dia tak ambil peduli. Kemudian, terus dengan cerita dia. Entah apa-apa! Aku benci keadaan macam tu. Memualkan!

Itu belum kira dia bercerita dalam keadaan orang lain tengah sibuk bekerja. Senang cerita, dia tak ada timbang rasa. Demi kerana dia seorang tua, kami terpaksa tadah telinga mendengar ceritanya.


Lain pula dengan seorang kawan aku. Dia memang seorang yang peramah juga tetapi kami dan rakan-rakan lain ada komunikasi dua hala dengan dia. Cakap berjam-jam pun tak terasa lama. Sebab kami saling bertukar pendapat dan mendengar.


Sebagai seorang yang introvert, aku mengakui yang kadang-kadang aku sendiri belum lepas ilmu komunikasi yang baik. Aku masih belajar tentang semua ini. Tapi, aku juga tahu hendak membezakan sama ada seseorang itu selesa atau tidak dengan perbualan kita. Riak wajah, pandangan mata, bahasa tubuh dan nada suara boleh menunjukkan semua itu.


Sah... ini entri luahan perasaan.



Tuesday, 12 July 2016

Cerita Ramadan 2016

Salam dan hai...

Sudah hari raya Aidilfitri yang ketujuh. Alhamdulillah. Sepanjang bulan Ramadan yang lepas tak banyak perkara yang lain atau terlalu istimewa yang berlaku. Tapi, Ramadan itu sendiri adalah satu bulan yang paling istimewa dan aku nanti-nantikan. Aku memerlukan Ramadan untuk membuat refleksi pada diriku semula.

Ramadan kali ini aku persembahkan dengan doa-doa yang banyak, lebih banyak dari yang lepas-lepas. Penuh sungguh-sungguh dan harapan. Aku cuba untuk lebih sabar, alhamdulillah walau tidak seratus peratus tetapi masih dapat dikawal. Memandangkan aku sendiri dikelilingi oleh orang-orang yang kurang sabar, jadi nak tak nak diri aku sendiri harus melawan perkara-perkara yang menimbulkan kemarahan.

Ada satu kata-kata yang aku ingat dan cuba jadikan panduan; "Diri kita sendirilah yang memilih untuk marah atau tidak." Makanya, kita boleh pilih mahu lepaskan kemarahan atau buat tak tahu saja. 

Susah, tapi berbaloi.

Ramadan kali ini juga aku, mak dan adik melawat sebuah keluarga besar di flat PPR pinggir kota. Mereka adalah salah sebuah keluarga yang mengalami kemiskinan bandar. Memang miskin bandar ini sesuatu yang menyeksakan kerana dalam keadaan terpaksa kau terpaksa bergantung segala-galanya dengan duit hatta nak beli telur sebiji pun. Lainlah kalau kau duduk di kampung dan ada tanah sendiri, sekurang-kurangnya keperluan asas seperti makanan dan minuman tak terjejas sebab boleh bercucuk tanam dan menternak haiwan.

Baik, berbalik kepada cerita keluarga tersebut, kami bertiga datang untuk menyampaikan zakat kepada mereka. Seronoknya mereka bukan kepalang terutama si kakak yang berumur 22 tahun yang kini jadi tulang belakang menyara keluarga. Pendapatan mereka RM 35 sehari. Kisah mereka sangat menyedihkan kerana mereka sekeluarga ditindas oleh pihak berkuasa kerana kesalahan berniaga tanpa lesen. Sedangkan pekerja-pekerja asing dilepaskan begitu saja.

Aku tak mahu cerita lebih-lebih masalah keluarga mereka kerana ia agak peribadi tetapi kami pulang dengan keadaan yang penuh dengan persoalan. Apa yang mereka lakukan dengan duit tersebut? Bolehkah mereka menggunakan duit tersebut dengan sebaiknya? Bagaimana dengan adik-adik yang diberhentikan sekolah kerana bimbang kesihatan ibu yang semakin tak menentu jika adik-adik tiada depan mata? Bagaimana kesihatan si ayah yang sangat kronik? Bagaimana sumber pendapatan mereka? Bagaimana dengan penindasan terhadap mereka? Terbelakah?

Aku doa agar segala persoalanku ini ditunjukkan jalan keluar. Aku buntu kerana aku sendiri tidak mampu berbuat apa-apa kerana aku sendiri tidak punyai pengaruh, kuasa atau apa-apa untuk membantu.

Lebih kurang dua minggu kemudian, kami melawat semula keluarga tersebut. Alhamdulillah, khabar mereka lebih baik dari dulu. Adik-adiknya mula didaftarkan ke sekolah. Pendapatan mereka semakin baik kemungkinan besar mereka menggunakan duit zakat tersebut untuk dibuat modal berniaga. Adik-adik ada baju baharu. Mereka nampak gembira. Betapa leganya aku ketika itu.

***

Bulan Ramadan adalah bulan aku melipat gandakan doa-doaku. Memang, doa-doaku masih belum tertunai tetapi awal-awal lagi Tuhan sudah beri ketenangan dalam setiap ujian dan kesusahan hidupku ini. 

Aku bertawakal dan bergantung penuh kepada Tuhanku Yang Maha Mengetahui, Maha Memahami dan Maha Mengasihi.





Sunday, 12 June 2016

Memberi

Salam dan hai...

Ada sesetengah orang yang memberi dengan harapan dia juga akan dibalas dengan pemberian. Aku rasa perasaan atau pendapat itu tidaklah salah seratus peratus. Nama pun manusia. Manusia ni ada bermacam-macam perangai dan fiil. Dan juga pelbagai kehendak dan keinginan.

Jadi, apabila ada orang yang memberi sesuatu dengan berharap dia juga mendapat sesuatu atas pemberian itu, boleh jadi ia bukanlah sesuatu perkara yang buruk. Ikhlas atau tidak, itu antara dia dan Tuhan. Walaupun, memang diakui memberi dengan harapan memperolehi sesuatu sebagai balasan juga boleh jadi sesuatu yang negatif, tetapi itu kita tolak tepi dulu. 

Lebih-lebih lagi kalau seseorang itu memberi dengan harapan mendapat sesuatu yang lebih baik daripada Tuhan. Siapa lagi yang benar-benar memahami dan mengetahui kehendak kita, selain daripada Allah. Malah, kadangkala apa yang kita kehendaki itu boleh saja diganti dengan sesuatu yang lebih baik daripada Allah. Allah kan Maha Mengetahui.

Sepanjang melalui perjalanan hidup yang penuh dengan pelbagai lelah dan kesenangan, pengharapan aku pada Tuhanku semakin lama semakin tinggi. Lebih-lebih lagi apabila kita sering diuji dengan bermacam-macam perkara, kebergantungan pada Allah lebih tinggi. 

Meminta daripada Allah ini, bukanlah meminta wang semata-mata. Ada banyak benda. Kita memberi wang pada orang lain, kadangkala bukanlah mahu mendapat balasan wang yang lebih banyak daripada Allah. Ada yang memberi semata-mata mahu memperoleh ketenangan hati. 

Nikmat Allah yang mana lagi yang engkau dustakan?

Syukur, alhamdulillah :)