Thursday 7 August 2014

Anjing dan Kucing Jalanan: Sebuah Ilham untuk Kehidupan


Salam dan hai...!

Sambil berjoging pagi tadi di taman berdekatan, aku terjumpa dengan seekor kucing jantan berwarna oren. Badannya besar dan bulunya sedikit kasar. Maklumlah, kucing jalanan saja. Tak macam kucing aku yang bersyampukan syampu lidah buaya. Haruslah berbulu lembut bak sutera.

Kucing tersebut ada luka kering di telinga kanannya dan ada beberapa kesan cakar di mukanya. Mungkin bergaduh berebutkan kawasan atau betina. Aku dan adikku berhenti sebentar untuk ke tandas. Sementara menunggu adikku yang masih lagi di dalam tandas, aku keluar duduk-duduk ambil angin di luar. Tiba-tiba kucing jantan itu berlari-lari anak sambil berbunyi manja. Sayangnya aku tak ada makanan nak diberi dan aku fikir betapa kesiannya si kucing kerana harapan untuk makanan pastinya menghampakan. 

Tapi, si kucing datang dan melompat ke atas ribaku. Kemudian menggesel-gesel padaku. Tak semena-mena si kucing itu baring di ribaanku. Terus aku terfikir, memang kucing ni kurang kasih sayang gamaknya.

Sebenarnya, aku rajin juga tengok kucing dan anjing jalanan di sekitar kawasan. Ada yang takut-takut, ada yang sangat manja. Satu perkara yang aku pelajari daripada mereka adalah semangat juang untuk terus hidup. Pernah ada 3 ekor anak kucing yang kelaparan minta makanan daripada aku. Jadi, adik aku belikan makanan kucing dan beria-ia makan. Lepas tu sambung main. Hidup ini mudah, bagi mereka.

Ada juga seekor anjing jalanan yang aku nampak betapa sedihnya wajahnya terpaksa duduk bawah pokok sebab hujan. Tapi, lepas hujan anjing tu akan teruskan hidup.

Kucing dan anjing jalanan, walau bagaimana susah pun hidup mereka, tetap berjuang untuk hidup. Kurap, kaki patah, kurus kering... mereka akan terus hidup sehinggalah nyawa ditarik.

Memang mereka haiwan, tak perlu fikir masalah dunia. Tapi, itu yang aku belajar daripada mereka. Hidup mesti terus walau bagaimana susah pun kita. Aku pun masih belajar lagi untuk hidup dengan penuh kesyukuran. :)