Sunday 31 January 2016

Menonton Bedevilled (2010)

Salam dan hai...


Bedevilled atau judul asalnya Kim Bok-nam Salinsageonui Jeonmal;. "The Whole Story of the Kim Bok-nam Murder Case"  sebuah filem horror-thriller dari Korea Selatan. Ia mengisahkan tentang seorang wanita bandar dari Seoul, Hae-Won yang terpaksa ambil cuti kerana tekanan kerja yang dihadapinya. Dia pulang ke kampung halamannya di Pulau Moodoo, sebuah pulau yang terpencil. Di sana, dia disambut oleh rakan sepermainannya sewaktu kecil, Bok-Nam. Tanpa Hae-Won mengetahui kepulangannya itu kemudian membawanya kepada kisah hitam hidup Bok-Nam.

Filem ini bukanlah sebuah filem yang horror. Cuma barangkali babak-babak berdarahnya itu yang agak menggerunkan. 

Dalam sebuah kampung terpencil, dapat dilihat dunia patriarki yang melampau wujud serta peranan gender yang dibezakan dengan jurang yang besar. 

Anak perempuan Bok-Nam tidak dibenarkan ke sekolah atas alasan takut melarikan diri. Manakala, golongan wanita tua menganggap lelaki sebagai satu centre of the universe, di mana lelaki adalah segala-galanya. Tanpa kudrat lelaki, kehidupan mereka tidak dapat diuruskan dengan baik. Pendek kata, kalau mengikut peranan gender tradisional bagi kebanyakan tempat di seluruh dunia, lelaki dipaparkan sebagai seorang yang kuat, kasar, lasak, boleh melakukan kerja-kerja berat dan maskulin. Sedangkan, hakikatnya, kudrat wanita iaitu watak Bok-Nam yang sebenarnya diperah habis-habisan. Suami Bok-Nam mengambil semua duit upah Bok-Nam.

Wanita di dalam filem ini (Baca: Bok-Nam) perlu tunduk pada kehendak lelaki kerana mengikut sistem partriaki, lelaki lebih berkuasa dan lelaki menentukan segala hal. Maka, tidak hairanlah filem ini juga menonjolkan bagaimana wanita menjadi hamba seks serta perlu menurut sahaja nafsu serakah lelaki tanpa mengira siapa dia.

Lihatlah bagaimana anak perempuan Bok-Nam 'didoktrin' oleh bapa tirinya (suami Bok-Nam) tentang makna kasih sayang bapa. Perlu jadi cantik, pakai mekap dan ada buah dada yang besar. Barulah disayangi oleh bapanya.

Namun, apabila anak perempuan Bok-Nam mati, Bok-Nam bagaikan tersedar untuk bertindak balas atas kematian anaknya. Kesedihan dan tekanan melampau yang sekian lama dipendam akhirnya meletup besar. Lebih-lebih lagi apabila dia melihat kawannya, Hae-Won  tidak mempedulikan kesengsaraannya. Hae-Won bersama-sama orang kampung seolah-olah tidak mahu masuk campur dan tidak mahu jaga tepi kain Bok-Nam.

Namun, sepulangnya dari Pulau Moodoo itu penonton dapat melihat betapa kisah Bok-Nam merubah Hae-Won. Dia membaca surat-surat Bok-Nam yang pernah dibuangnya dulu. Dalam surat itu Bok-Nam mahu meminta tolong daripadanya. Dia juga membantu polis sebagai saksi atas satu kes pembunuhan seorang wanita. 

Pulan Moodoo yang terpencil dan menyerupai bentuk wanita terbaring itu adalah simbolik kepada suara hati Bok-Nam yang tidak didengari dan hanya dipendam dalam hati. 

Sebuah filem yang telah membuat aku menangis teresak-esak. Kagum dengan kesemua pelakonnya terutama watak Bok-Nam dan nenek-nenek tua yang menjengkelkan itu.

Monday 18 January 2016

Menonton Maqbool (2003)

Salam dan hai...


Semalam aku menonton filem ini. Secara jujur aku mengakui bahawa aku menonton filem ini atas sebab watak utamanya, Miyan Maqbool dilakonkan oleh Irrfan Khan. Lagi pula, Tabu juga turut berlakon dalam filem ini. Irrfan Khan dan Tabu sememangnya dua orang pelakon Bollywood yang tidak terikat dengan watak-watak klise filem-filem ala masala di Bollywood.

Filem ini adalah adaptasi (loosely based) daripada naskhah tragedi William Shakespear, Macbeth. Ia mengisahkan tentang Maqbool yang menjadi orang kanan untuk satu organisasi jenayah terancang yang diketuai oleh Abba Ji. Abba Ji pula mempunyai seorang perempuan simpanan iaitu, Nimmi (Tabu). Nimmi dan Maqbool sama-sama menyukai antara satu sama lain tetapi tidak dapat dizahirkan secara terang-terangan. Maka, bermulalah komplot untuk membunuh Abba Ji.

Aku tak tahu nak ulas apa tentang filem ini, tetapi yang pasti aku sangat menyukai filem ini. Bukan kerana ada Irrfan Khan dan Tabu semata-mata (mereka berdua memang hebat!), tetapi jalan cerita dan watak-watak yang dimainkan baik watak utama atau sampingan, semuanya hebat!

Aku suka watak Nimmi yang cuba menggoda Maqbool secara halus walaupun cuba tidak diendahkan oleh Maqbool. Tabu berjaya membawa watak Nimmi sebagai seorang wanita yang naif walaupun dia sebenarnya dalang utama yang membuatkan Maqbool membunuh Abba Ji.

Selain itu, riak wajah Maqbool apabila Nimmi memberitahunya yang dia mengandung juga benar-benar membuat aku ternganga sendiri. Wajah sinis yang tak tergambarkan. Maqbool bertanya sama ada kandungan itu benar-benar anaknya atau anak Abba Ji.

Dua orang polis korup lakonan Om Puri dan Naseeruddin Shah juga amat baik sekali aku rasakan. Selain sebagai dua orang yang bertanggungjawab membantu melicinkan perjalanan jenayah Abba Ji, mereka juga (terutama Om Puri) adalah peramal masa depan Maqbool apabila salah seorang daripadanya pandai meramal masa depan Maqbool dan Abba Ji.

Aku tidak pernah menonton mana-mana naskhah adaptasi Macbeth ini. Filem ini adalah yang pertama dan aku menyukainya. Tidak hairanlah filem ini sampai masuk ke dalam mimpiku!

Monday 4 January 2016

Perjalanan Menonton 1000 Buah Filem

Salam dan hai...

Siang tadi terbaca status salah seorang kenalan di FB. Statusnya panjang, tapi yang aku nak highlight di sini adalah ayat terakhir yang berbunyi lebih kurang begini: "Tak percaya filem hanya sebagai hiburan semata-mata. Wacana keilmuan dan wacana seni harus berjalan seiringan."

That's it! Itulah yang aku maksudkan juga. Aku tak masuk kuliah teori filem, falsafah seni, sinema Malaysia, seni visual, penulisan skrin, animasi, penulisan puisi, lirik, gaya bahasa dan lain-lain sewaktu di ijazah sarjana muda sekadar saja-saja. Aku belajar, cedok ilmu, kongsi ilmu dalam setiap kelas yang aku ambil. Aku seronok dan aku kagum dengan dunia seni yang wujud ini.

Kalaulah... kalaulah orang luar tahu betapa besarnya pengaruh filem dalam kehidupan manusia, tentu mereka akan memadang filem bukan sekadar hiburan atau alat lagha semata-mata. Ia lebih daripada itu. Filem adalah peniruan daripada realiti. Filem berupaya menyampaikan propaganda yang kuat. Filem sebagai pemaparan keadaan sosial masyarakat. Filem sebagai satu bentuk untuk menyampaikan elemen spiritual.

Ada banyak lagi tentang filem.

Jujur aku beritahu yang ilmu aku tentang dunia filem sangat cetek sehinggakan aku kadang-kadang rasa segan nak beritahu yang aku belajar tentang filem secara formal di kelas. Tapi, aku belajar setiap hari. Ya, setiap hari secara tidak formal. Daripada bacaan, tontonan, diskusi di media sosial atau secara langsung.

Aku bukanlah penonton tegar filem. Malah, aku mula mengenali filem-filem luar Hollywood, Bollywood dan tempatan setelah masuk kuliah. Dari situ aku mula diperkenalkan dengan filem-filem Eropah, Asia, Amerika Selatan, dan aku masih lagi jauh ketinggalan tentang filem. Orang lain sudah sampai ke bulan. Aku baru terkial-kial nak bina roket.

Aku sebenarnya rindu zaman belajar dulu. Tiap-tiap malam aku akan ke studio fakulti untuk tonton filem yang ditayangkan walaupun kadang-kadang hanya aku seorang yang hadir. Pensyarah aku kata dia tetap akan tayang. Susah kut nak tonton filem-filem yang jarang orang tonton di Malaysia. Lebih-lebih lagi filem-filem yang pernah kena banned. Aku rindu setiap hari Rabu, tonton filem di studio sambil dengar diskusi dengan ahli panel. Aku rindu semua tu.

Kalau aku ada kelapangan, tentu aku akan ke fakulti lagi untuk menonton filem setiap malam. Terbuka untuk semua pun kadang-kadang tak dapat sambutan.

Dan sekarang aku dalam usaha untuk menonton seberapa banyak filem daripada buku yang aku dah beli bertahun dulu: Guide to The Best 1000 Movies Ever Made. 

Mungkin tak dapat tonton semua, tapi dapat tonton filem-filem yang penting dalam perkembangan dunia filem pun aku okey dah.