Monday 29 September 2014

Impian Dulu vs Impian Sekarang

Salam dan hai...

Apa impian kau? Adakah impian kau yang dulu dan sekarang masih sama, atau sudah 360 darjah bertukar?

Kalau tanya aku, banyak yang dah bertukar. Zaman dulu, terutama zaman sekolah aku memang pasang banyak impian dan angan-angan. Hampir kesemuanya tak masuk akal. Tapi, sebab itu yang boleh buat aku gembira, jadi aku teruskan angan-angan aku itu. Dalam diam, aku akan mereka-reka impian aku sendiri. Mungkin sebab itu aku menulis. Sebab kuat berangan-angan. Hahaha...

Apabila aku meningkat dewasa, terutama apabila dah bekerja, pandangan aku lebih realistik. Maka, impian dan angan-angan aku pun lebih berpijak di bumi yang nyata. Kalau dulu aku berangan-angan nak kahwin dengan anak raja, atau nak jadi penyanyi terkenal (suara aku tak sedap pun) atau nak ada rumah banglo tiga tingkat siap dengan kolam renang... sekarang mungkin aku kena fikir seribu kali.

Ada beberapa impian dan cita-cita yang dah tercapai dan apabila dikenang-kenang semula memang agak mengejutkan. Aku bersyukur dengan semua nikmat yang diberi. Cuma, aku masih tak dapat lari daripada bercita-cita dan mempunyai beberapa impian yang agak mustahil (bukan tak masuk akal). Kalau diizinkan Tuhan, impian-impian tersebut akan tercapai. 

Apabila dah dewasa ni, secara tak langsung kau bukan saja akan fikir tentang diri sendiri semata-mata. Kau akan fikir tentang orang lain terutama yang dekat dan di sekeliling kita. Contoh, selain nak hidup senang, kau pun mahu keluarga kau tumpang hidup senang juga. 

Dan, apa yang paling ketara impian sebenar aku bukan untuk fizikal semata-mata. Lebih daripada itu. Pengalaman-pengalaman hidup aku yang lalu memang banyak membuka mata. Sehingga pada satu tahap, apa yang betul-betul aku mahu adalah rasa tenang. Aku mahu rasa tenang dan penuh mengharap pada Tuhan walau susah mana pun aku pada waktu itu. Itu impian utama aku. Aku masih lagi belajar dan akan terus belajar. Aku manusia dan banyak dosa. Kadang-kadang aku malu pada diri sendiri dan orang lain. Dengan Tuhan lagilah aku rasa malu. 

Aku masih lagi belajar...

Sunday 14 September 2014

Kelegaan yang Sebenar

Salam dan hai...

Apakah kelegaan yang sebenar?

Apabila kau dah berusaha dan berdoa... tapi masih belum temukan jawapan yang sebenar atau masih ternanti-nanti... itulah kelegaan yang sebenar pada aku. 

Melaikan kau hanya berdoa tanpa melakukan apa-apa, silalah rasa susah hati berpanjangan.

Aku serahkan segala-galanya pada yang lebih berkuasa. Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik.

Tapi, kita manusia biasa dan kadangkala tertanya-tanya juga apa sebenarnya Tuhan mendengar doa kita? Adakah Tuhan sedang menjawab doa-doa kita?

Yang aku tahu Tuhan Maha Mendengar.





Saturday 6 September 2014

Humans of New York (2)

Salam dan hai...

Aku suka baca entri-entri post daripada Brandon (admin Facebook Humans of New York). Jadi, aku akan letakkan di sini beberapa entri yang menarik untuk dikongsi.





"Detik-detik paling menggembirakanku adalah apabila melihat ibuku gembira."

"Apa perkara yang membuatnya paling gembira?"

"Semasa aku kecil, beberapa orang doktor dari Jerman memberitahu kami bahawa aku boleh melakukan pembedahan di Itali, dan kedua-dua kakiku dapat berfungsi semula. Ibuku sangat gembira sehingga menangis. Tapi aku tak ada wang untuk ke sana."

(Erbil, Iraq)

Terjemahan daripada sumber: Facebook Humans of New York






"Aku Photoshop kepalaku pada tubuh yang sihat, untuk mengetahui bagaimana aku kelihatan."

(Erbil, Iraq)



Terjemahan daripada sumber: Facebook Humans of New York




Humans of New York (1)

Salam dan hai...

Aku suka baca entri-entri post daripada Brandon (admin Facebook Humans of New York). Jadi, aku akan letakkan di sini beberapa entri yang menarik untuk dikongsi.






"Kami telah bertunang selama enam bulan, tapi ibu bapanya telah mengahwinkannya dengan lelaki yang lebih kaya."

"Apa perkara terakhir yang anda katakan padanya?"

"Saya beritahu padanya,'Aku telah buat segala-galanya apa yang termampu. Aku doakan kau bahagia dengan hidupmu.'"

(Petra, Jordan). 


Terjemahan daripada sumber: Facebook Humans of New York



Wednesday 3 September 2014

Mata


Kalaulah mata Mustika yang bundar itu sepet sedikit, tentu kehidupannya tidak berakhir sebegini rupa.

Di hadapannya kini sekujur tubuh kaku Mustika yang sudah tertidur keletihan. Maafkanlah dia kerana tidak mampu menjaga Mustika sebaik mungkin. Seribu tahun kemaafan pun tidak dapat mengubah apa yang sudah terjadi. Dia memandang sayu wanita yang pernah dia ikrarkan janji untuk sehidup semati itu.

***

“Ini Mustika. Wanita paling cantik di daerah ni. Tiada wanita yang dapat menandingi mata bundar Mustika. Indah bagai mutiara.” Dia memperkenalkan Mustika pada Rahimi, kenalannya dari Kuala Lumpur.

Rahimi dikenalinya daripada sahabat baiknya sendiri. Sebelum ini dia tidak pernah pun bertemu wajah dengan Rahimi, hanya melalui telefon saja mereka berkenalan. Rahimi perlu bermalam beberapa hari di daerahnya atas urusan kerja. Itu yang diberitahu oleh sahabat baiknya dan dia menerima dengan tangan terbuka kehadiran lelaki itu ke rumahnya.

Rahimi tidak senyum, tidak berkata apa-apa malah tiada respons langsung. Apa yang dia nampak Rahimi asyik merenung mata Mustika. Bundar dan cantik bagai mutiara itu.
“Rahimi tetamu kita. Kau dan aku haruslah melayannya sebaik mungkin.” Dia memberitahu Mustika yang berada di sebelahnya yang sudah bersiap-siap untuk beradu. Mustika mengangguk perlahan.

***

Kalaulah mata Mustika yang bundar itu sepet sedikit, tentulah Mustika tidak menderita seperti sekarang.

Rahimi yang menginap di rumah mereka rupa-rupanya ada misi penting yang ingin dijalankan. Dia perlu mengotakan janji isterinya yang berada di Kuala Lumpur ketika ini. Dan janji tersebut sekarang ini berada di hadapan matanya.

“Suamiku sudah ke tempat kerja. Sarapanlah dulu sebelum keluar,” pelawa Mustika teragak-agak. Dia berharap Rahimi menolak pelawaannya dan terus keluar meninggalkan rumah tersebut. Dia rasa tidak selesa dengan kehadiran Rahimi.

Namun, Rahimi tidak menerima pelawaan tersebut atau menolaknya. Malah, lelaki itu tidak memberi sebarang respons. Sebaliknya dia ralit melihat gerak-geri Mustika. Melihat sepasang mata bundar Mustika membuatkan dada Rahim berdebar-debar. Dahinya berkerut dan mulutnya terkumat-kamit seolah-olah sedang berbicara dengan diri sendiri.

Mustika yang perasan dirinya sedang diperhatikan segera ke luar berpura-pura menyidai baju di ampaian.

***

“Aku terpaksa lakukan semua ini demi dia.” Rahimi cuba menerangkan apa yang telah berlaku pada Mustika.

“Tapi kau tak boleh ambil mata Mustika tanpa kebenaran aku. Aku suami dia!” Dia menjerit sekuat hati bagai orang kurang siuman.

“Maaf, aku lebih mencintai isteriku. Aku lakukan semua ini demi dia. Esok hari ulang tahun kelahirannya. Aku sudah berjanji dan aku akan kotakan janjiku. Aku rasa Mustika lebih cantik menggunakan mata isteriku berbanding matanya yang bundar itu.” Rahimi terus berlalu meninggalkan rumah itu. Dia tekad untuk tidak akan kembali lagi ke sini. Misinya sudah selesai.

Di suatu sudut, Mustika menangis teresak-esak dengan mata baharunya itu. Darah mengalir tidak henti-henti bersama-sama air matanya.

Dia memandang Mustika dengan pandangan yang bingung. Sedihnya bukan kepalang melihat Mustika yang akhirnya tertidur keletihan. Mustika yang dia kenal dan cinta adalah Mustika yang bermata bundar dan bersinar bak mutiara. Bukan Mustika yang berair mata darah.

Hatinya berbelah bahagi sekarang.

Bukankah dia sudah berjanji untuk sehidup semati dengan Mustika?