Friday 3 February 2017

5 Sebab Kenapa Orang Asia Obsesi dengan Kulit Cerah.

Salam dan hai...

Post aku kali ini agak panjang daripada biasa. Perkara ni sebenarnya dah lama berlegar dalam kepala dan fikiran aku. Hal orang-orang Asia, termasuk Malaysia ni yang suka sangat dengan orang kulit cerah. Benda alah ni bukan terjadi di luar lingkungan keluarga aku, malah ada beberapa ahli keluarga aku sendiri yang mengagung-agungkan sesiapa yang berkulit cerah. 

Paling ketara sewaktu kami berkumpul beberapa tahun lepas. Mak saudara aku (well educated doctor) dengan selambanya beria nak cerahkan kulit dengan alasan kulit cerah = cantik. Malah, kau akan biasa dengan kenyataan ini, kan "Alah, awak tu kulit cerah... pakai apa pun nampak cantik." 

Perkara-perkara ini sebenarnya membuatkan aku sedikit marah. Kenapa cantik nak kena dikaitkan dengan kulit putih/pucat/cerah. Kalau gelap/hitam legam tak cantik ke? Dan itulah yang berlaku di negara kesayangan aku ni. Aku dengar sendiri dari mulut-mulut orang sekeliling aku dari makcik-makcik, lelaki dan kawan-kawan sendiri yang terus cup orang kulit gelap tu buruk. Kah!

Dan semakin lama aku semakin nak tahu, kenapa kita ni asyik banggakan kulit yang cerah-cerah ni? Padahal, kalau orang-orang Eropah, mat-mat salih ni punyalah beria kata orang-orang kulit gelap/tan ni eksotik. Jadi, perkara ini membuatkan aku cari sebab kenapa orang Malaysia suka sangat dengan kulit cerah. Bukan semua, tapi itulah yang selalu aku dengar. Rupa-rupanya, bukan Malaysia saja yang terkena obsesi kulit cerah ni, beberapa negara Asia yang lain pun sama, malah lebih teruk.

Jadi, di sini berdasarkan sedikit kajian aku, aku senaraikan lima sebab orang Asia ni obsesi dengan kulit cerah. 


1. Kulit cerah itu simbol kecantikan.


Sebenarnya, sejak zaman-berzaman lagi, di beberapa negara Asia, kulit cerah itu disimbolkan sebagai satu kecantikan. Contohnya, zaman dulu di China kulit putih (pucat) tu memang simbol kecantikan. Malah memang disenaraikan dalam 'Ten Commandments of Classical Beauty' mereka. Salah satunya wanita-wanitanya harus berkulit mulus dan cerah. Malah, mereka sanggup hancurkan mutiara dan makan serbuknya dengan harapan kulit mereka akan jadi putih seperti mana putihnya mutiara itu.

Malah, sehingga ke hari ini pun penduduk China tidak suka berjemur atau berjalan di tengah-tengah panas tanpa pakaian yang menutup tubuh badan mereka. Sampaikan di pantai pun, baju renang mereka nampak mulut dan mata saja.



Sama juga seperti di Vietnam, mereka juga akan berpakaian tutup penuh apabila keluar di tengah-tengah panas. Satu lagi, produk-produk pemutihan memang laku keras di sana. 



Di Malaysia pun tak terkecuali. Berdasarkan laporan, tiga per empat daripada lelaki Malaysia menyatakan pasangan mereka akan nampak lebih menarik jika berkulit lebih cerah - standard kecantikan ala-ala 'Eurasian' atau Pan-Asian look'.

Di India lebih ekstrim. Industri produk pemutihan di India berjumlah $450 juta. Tentu sekali produk pemutihan Fair & Lovely merupakan produk yang paling popular. BBC pernah melaporkan yang produk pemutihan yang terjual di Asia Selatan lebih banyak daripada penjualan minuman Coca-Cola. Tengoklah betapa ekstrimnya masyarakat di sana nak nampak cerah.

Produk pemutihan di India tidak lagi tertumpu kepada golongan wanita sahaja. Sudah ada pula produk pemutihan yang khas untuk lelaki dengan nama 'Fair and Handsome' pada tahun 2005. Yang menariknya, produk tersebut bukan dikeluarkan oleh syarikat Fair & Lovely tetapi pesaing mereka. Kempen mereka mencadangkan agar para lelaki di luar sana tak perlu lagi sorok-sorok guna produk pemutihan kakak atau adik perempuan mereka. Sekarang dah ada produk khas sendiri. *tepuk tangan*

Malah yang lebih ekstrim lagi, India sudah pun keluarkan produk pemutihan bukan saja di bahagian muka dan badan yang boleh dilihat, tetapi di bahagian sulit tau! Kah! Namanya Clean and Dry 'Intimate Wash'. *Pengsan*


Kalau di Jepun pula, sama juga seperti di China. Mereka memang menganggap berkulit putih dan cerah itu simbol kecantikan dan feminiti. Maka, tak hairanlah wanita-wanita di Jepun sejak era Meiji lagi (1868-1912) sudah mengamalkan pemutihan kulit wajah dengan beberapa produk tertentu.


2. Berkulit gelap dianggap miskin.


Kenapa orang Asia tak berapa gemar berkulit gelap? Hal ini kerana kebanyakan negara Asia menganggap orang yang berkulit gelap itu miskin. Ini bukan hal rasisme, tetapi ia berlaku dalam kalangan bangsa/kaum yang sama.  Menurut sejarah, golongan pekerja dan orang miskin bekerja di panas terik menjadikan kulit mereka gelap. Manakala golongan kelas atasan pula terlindung di dalam bangunan yang tertutup.

Sehingga ke hari ini pun di Asia, golongan miskin di Asia memiliki kulit gelap. Manakala, sesiapa yang berkulit cerah akan dilihat mulia dan berharta. Peribahasa lama China, Korea dan Jepun pun ada menyatakan yang kulit cerah dapat menutup tiga kecelaan.

Keadaan ini juga berlaku di Vietnam, di mana sesiapa berkulit gelap dikaitkan dengan pekerjaan golongan miskin seperti buruh kasar. Manakala kulit putih disimbolkan sebagai seseorang yang datang dari kelas atasan.

Pendek kata, kulit putih dianggap dari golongan atasan dan berkulit gelap dari golongan miskin dan bawahan ini berlaku di mana-mana saja di negara Asia.

3. Berkulit cerah senang dapat kerja.


Di Thailand, ada satu survei dijalankan di daerah Nakorn Chaisri dan Nakorn Prathom, menunjukkan bahawa 80 peratus daripada 300 wanita yang ditemu ramah menggunakan produk pemutihan. Makanya, hanya 20 peratus sahaja yang tidak menggunakan produk pemutihan. Kebanyakan wanita menyatakan bahawa kulit cerah memudahkan mereka mendapat kerja kerana kulit cerah menonjolkan identiti moderniti, dan wanita alaf baharu.

Di India juga begitu. Lihat sajalah iklan Fair & Lovely mereka yang mengeksploitasi stigma tentang perbezaan warna kulit ke tahap yang lebih komersial. Ini salah satu contohnya. Kulit dah putih, baru ayah gembira dan dapat kerja. Hmmpph!!


4. Kulit cerah senang dapat jodoh.


Di kebanyakan negara Asia, kalau kulit kau cerah, maka lebih cerahlah juga jodoh tiba. Bagi kebanyakan orang Asia ni, salah satu perkahwinan yang sempurna itu adalah mempunyai pasangan yang berkulit cerah, terutama untuk wanita. Mereka menganggap wanita yang berkulit cerah disimbolkan sebagai kemudaan dan berkualiti tinggi. Erk! Di Thailand, kulit putih simbol kesihatan dan kekayaan manakala di China pula, para lelaki akan memilih wanita berkulit putih untuk dijadikan pasangan hidup kerana percaya ia akan membawa kebahagiaan dalam rumah tangga.

Di India juga begitu kalau berkenaan jodoh ni, malah hal berkaitan warna kulit ini adalah satu hal yang sangat-sangat penting di India. Ada satu survei terhadap 200 iklan perkahwinan di India, 192 orang lelaki dan wanita memberitahu mereka berkulit cerah atau mencari pasangan yang berkulit cerah.

Hal-hal memilih jodoh berdasarkan warna kulit di India ni bukan terhad pada satu jantina sahaja. Ia melibatkan kedua-dua jantina, lelaki dan perempuan. Menurut satu survei, 70 peratus wanita memilih pasangan berkulit cerah apabila ingin berkahwin. Seorang eksekutif senior sebuah iklan perkahwinan di India menyatakan bahawa 65-70 peratus lelaki di dalam laman web tersebut meletakkan warna kulit mereka sebagai 'cerah'.

Seorang pekerja imigran yang berasal dari tengah China, Mia Lee ditanya apakah rahsia kebahagian seseorang. Mia Lee menjawab dia mahukan teman wanita yang berkulit pucat.

5. Pengaruh selebriti dan iklan.

Kalau kita tengok di Malaysia ni pun, banyak aje iklan produk pemutihan yang menggunakan selebriti popular untuk menjadi duta mereka. Yang kelakarnya pula, apabila sesetengah selebriti itu sememangnya berkulit cerah sejak azali dan bukan Melayu tulen. Maknanya campur mat salih la. Masih... produk-produk sebegini laku keras di pasaran Malaysia. 

Salah satu sebab lagi kerana the power of advertisment. Lebih-lebih lagi produk pemutihan sebegini menggunakan beberapa selebriti terkenal. Tentu saja pengikut mereka akan lebih mudah menerima produk-produk sebegitu jika ia dipromosikan oleh selebriti pujaan mereka. 

Aku tak berapa pasti selebriti Malaysia mana yang terlibat sebagai duta produk-produk sebegini, tetapi aku perasan dan nampak memang ada. Ada sesetengah tu memang dah sedia cerah pun.

Kalau di India pula, produk-produk pemutihan sebegini menggunakan dua kuasa besar  iaitu pengiklanan dan Bollywood. Lalu, mereka mengambil Shah Rukh Khan sebagai seorang duta yang mempromosi produk pemutihan ini, sampaikan ada permohonan supaya iklan-iklan Shah Rukh Khan ini ditarik balik.



Makanya...


Sebenarnya, dalam keadaan sebahagian masyarakat Asia yang mengagung-agungkan kulit cerah ini, masih lagi ada yang boleh aku katakan 'waras' dalam melihat situasi ini.

Kalau di Malaysia, antara selebriti yang paling cantik pada pandangan mata aku ialah Dayang Nurfaizah. Hitam manis, kulit bersih dan berbakat lagi. Tiada kontroversi entah apa-apa walaupun aku ni bukanlah peminat besar dia pun. Kita ada Ning Baizura dan Nabila Huda yang hitam manis juga.

Contohnya, Nabila Huda sendiri beritahu seperti ini:

“So far, everyone I meet loves the colour of my skin and compliments my natural dark tan. In my line, the cameramen and make-up artists always tell me that it’s easier for them as the make-up goes on better and the lighting never ends up looking harsh, as it sometimes does on fair skin.

“I love going to the islands. People tell me I’m unique and special, because of my different skin tone. I know many people strive to get lighter skin, but I’m not wasting my money on whitening products. Besides, fair skin can be fragile and I think tanned skin is so much sexier!”


Cantik kan dia?



Apa yang menariknya, ada beberapa wanita dari negara-negara Asia Selatan telah menongkah arus dengan berkongsi swafoto mereka dengan hashtag #UnfairAndLovely

Tujuan mereka adalah untuk memecahkan stigma yang mengatakan berkulit gelap itu tidak cantik. Ini salah satu gambar mereka:


Lagi pula, ada masalah lain jika seseorang itu kurang terdedah dengan cahaya matahari. Menurut Prof. Dr. Bee Koon (Ketua Proram Sains Nutrisi UKM), ia menyebabkan seseorang itu kekurangan Vitamin D kerana ia boleh didapati secara semula jadi melalui cahaya matahari. Menurut data yang dikumpul pada tahun 2010 dan 2011, hampir separuh kanak-kanak di Malaysia kekurangan Vitamin D.

Sedih kan?

Kita manusia ni kan dicipta pelbagai rupa dan warna kulit untuk saling mengenali kelebihan dan kekurangan masing-masing. Kalau semuanya sama saja, tak ke bosan hidup korang?





Wednesday 30 November 2016

Jenguk Sekejap

Salam dan hai...

Aku berhibernasi daripada blogging selama beberapa bulan ni kerana aku dalam mood tak mahu cerita apa-apa di sini. Lagipun, tak ada apa yang menarik untuk aku ceritakan. Hidup aku monotone. 

Hari ini aku buka balik blog ni ada menulis sesuatu sebab aku rindu. Padahal, tak ada apa sangat nak ditaip di sini. Oh ya, lebih kurang dua minggu lepas hari ulang tahun kelahiran aku. Dalam umur yang sudah dewasa dan sepatutnya kena matang ni, aku sudah tidak mengharapkan hadiah berbentuk material atau kek hari lahir. Tapi kalau ada yang nak belanja makan, kecil tapak tangan, nyiru aku tadahkan! Yang selalu aku harapkan adalah doa-doa daripada orang sekeliling. Aku ni banyak buat silap dan dosa. Manalah tahu doa-doa orang sekeliling untuk aku lebih dimakbulkan. Syukur pada Tuhan :)

Ya, itu sajalah untuk entri kali ni. Bosan, kan? Nak buat macam mana hehehe...

Babai....

Wednesday 31 August 2016

Menonton One Hour Photo (2002)

Salam dan hai...



Malam kemerdekaan semalam, aku dan adik menonton sebuah filem arahan Mark Romanek yang berjudul One Hour Photo (2002).

Kisahnya adalah tentang seorang lelaki kesunyiaan separuh umur (Sy) yang bekerja di sebuah kedai foto di dalam pasar raya. Dia sangat mengagumi kehidupan sebuah keluarga yang bahagia di matanya. Seorang ayah (Will), ibu (Nina) dan anak lelaki (Jake).

Malah, setiap kali si ibu menghantar gambar untuk dicuci, Sy akan mencuci satu lagi salinan untuk dirinya. Semua gambar mereka sekeluarga ditampal di sebuah dinding besar di apartmennya. 

Ya Tuhanku, bagus betul lakonan Robin Williams dalam cerita ini! Memang padanlah menang anugerah Pelakon Lelaki Terbaik di Saturn Awards.

Menonton watak Sy, aku dapat merasakan dengan sepenuh-penuh perasaan betapa sunyi dan terpinggirnya Sy rasakan. Dia keseorangan dan dia hanya mampu melihat dari jauh kebahagiaan orang lain. Wajahnya tampak tersenyum tetapi jauh di sudut hati dia sangat-sangat berduka kerana keseorangan. Watak Jake, si anak lelaki sendiri memberitahu ibunya dia dapat merasakan yang Sy kesunyiaan.

Dan aku faham benar mengapa Sy sanggup balas dendam dan teramat marah apabila dia dapat tahu Wiil curang pada Nina. Sy merasakan Will teramatlah beruntung mempunyai sebuah keluarga yang sempurna. Sy sendiri berangan-angan untuk masuk ke dalam keluarga itu dan menjadi sebahagian daripadanya.

Warna putih dan 'keteraturan' yang melatari kehidupan Sy seolah-olah memberitahu secara tidak langsung betapa kehidupan lelaki separuh umur itu yang sangat plain, kosong dan tidak menyeronokkan.

Walaupun penonton merasakan cara balas dendam Sy pada Will adalah sesuatu yang sangat-sangat memalukan, tetapi sebenarnya pada akhir-akhir cerita nanti penonton akan sedar bahawa Sy sebenarnya tidaklah sekejam itu. 

Dia cuma seorang lelaki kesunyian. Dia sunyi dan kesunyian itu membunuh.

Ah, aku jatuh kasihan yang teramat sangat pada Sy lebih-lebih lagi pada babak akhir cerita. 

Menonton Memories of Murder (2003)

Salam dan hai...




Semalam aku baru saja selesai menonton sebah filem dari Korea Selatan arahan Bong Joon-ho. Filem ini berjudul Memories of Murder (2003). Ia diinsipirasikan daripada sebuah kes benar tahun 1980-an Korea Selatan berkenaan dengan pembunuhan bersiri.

Kisah ini bermula pada tahun 1986 di mana berlakunya beberapa pembunuhan bersiri di sebuah kawasan kampung. Seorang detektif (Park) dan pembantunya yang tak profesional langsung ditugaskan menyiasat kes tersebut. Tetapi disebabkan sikap tidak profesional mereka, sampai ke sudah kes itu tidak selesai malah menjadi lebih teru. Sehinggalah, hadir seorang detektif dari Seoul (Seo) untuk membantu mereka. 

Kehadiran Seo yang profesional menjadikan jalan cerita ini lebih menarik kerana bermulalah misi mencari pembunuh bersiri yang sebenar. Walaupun begitu, aku suka dan geram juga melihat betapa Park dan pembantunya sesuka hati menuduh beberapa orang suspek begitu sahaja. Bukan setakat menuduh, malah membelasah beria-ia.

Penonton dibawa dari satu peringkat ke peringkat untuk mencari bukti dan jejak sang pembunuh sehinggakan mereka dapat rasakan mereka sudah semakin hampir dengan pembunuh. Namun, pembunuhan tetap berlaku, dan aku sebagai penonton semakin lama semakin tertekan sama seperti watak-watak detektif dalam filem ini. 

Cuba bayangkan, kau sebagai seorang detektif telah berusaha bermacam-macam cara dan telah berjaya jumpa dengan pelbagai klu yang boleh membawa kepada penemuan pembunuh bersiri itu, tetapi tetap gagal.

Aku sendiri tertanya-tanya kenapa dia membunuh? Bagaimana rupa pembunuh? Di mana tempat tinggal pembunuh? Siapa keluarga pembunuh? 

Dan, barangkali pembunuhnya adalah orang yang kita tak sedari pernah bertembung dengannya berkali-kali dulu. Berpakaian biasa, berpewatakan biasa, dan segala-galanya tentang sang pembunuh adalah biasa-biasa saja. 

Pengakhiran ceritanya itu sebenarnya telah menjawab segala pertanyaan aku. Tontonlah filem ini.

Thursday 25 August 2016

Reading The Thousand Splendid Suns (Khaled Hosseini)

Salam and hi...


As told by Nana (the character in the novel which was Mariam's mother); "Learn this now and learn this well, my daughter: Like a compass needle that points north, a man's accusing finger always finds a woman. Always. You remember that, Mariam."

The warning itself was a hint to the direction of the story. Mariam was forced to married with an old man, Rasheed, in fact she thought her father, Jalil Khan could protect her.

Laila, the fifteen old girl was also forced to marry Rasheed with an excuse it'll bring a problem if there's an unmarried woman in their house.


Khaled Hosseini potrayed the environment of Afghanistan under Taliban control was a hell-like condition for women. No hospitals for women (if there was any, it was in a very bad condition), women were not allowed to do makeup, no school for women, no jewelries for women. Everything involved women were not allowed.

However Khaled Hosseini were excellent in portraying another side women that are strong in terms of emotion, mental and physical. It seen in Mariam and Laila. Both women were created to tell readers how the power to live is so strong even though they had to live in the chaos and unfair world.



I quote an excerpt from 'Acknowledgment' that was written by the author in the book:


Queen Soraya, wife of King Amanullah said: "Do not think, however, that our nation needs only men to serve it. Women should also take their part, as women did in the early years of Islam. The valuable services rendered by women are recounted throughout history. And from their examples, we learn that we must all contribute toward a development of our nation."


King Amanullah ruled Afghanistan during 1920's. He tried to liberate Afghanistan. He banned the wearing of burqa in public. He built the first hospital for women and the first school for girls. He brought teacher over from Europe and sent women to Europe to get an education. Amanullah tried to ban forced marriage, raise the minimum marrying age for girls to sixteen and ban the practice of bride price. Unfortunately there was a rebellion and died as and old man in exile.




Wednesday 17 August 2016

Manusia yang Pandai Berkata-kata

Salam dan hai...

Tadi aku terbaca satu status di Facebook yang benar-benar tepat dengan pengalaman aku sendiri. Statusnya ringkas sahaja dan menggunakan sebaris ayat pendek. Ia berbunyi lebih kurang begini:

Ada beza antara bercakap dan berkomunikasi.

Kan? Nampak tak tu? Membaca status tersebut membuatkan aku tersenyum sinis sambil membayangkan wajah seseorang.

Aku tulis berkenaan hal ini sebab ia dilalui oleh aku sendiri. Walaupun aku ini masih lagi belum jumpa ramai jenis manusia, kawan pun tak ramai... tapi ada beberapa manusia yang aku boleh kategorikan apabila menyentuh soal komunikasi ini. 

Dipendekkan cerita, lebih kurang enam tujuh tahun yang lalu aku bertemu, berkenalan dengan seseorang ini. Dia jauh lebih berusia daripada aku, dan tentunya ada banyak pengalaman. Maka, daripada pengalaman itu, dia memang seorang yang banyak bercakap jugalah untuk seorang lelaki. Memandangkan aku ini jauh lebih muda daripada dia, maka cara bercakap dia tu mestilah ada sentuh pengalaman zaman muda dia, ideologi, ketidakpuashatian terhadap itu ini. 

Pada awal-awal perkenalan aku dengan dia, memang aku akui aku suka berbual dengan dia. Banyak cerita kerana dia juga seorang pembaca. 

Namun, tahun-tahun yang mendatang aku mulai rasa lain. Mula-mula aku tak mahu percaya sikap angkuh, cakap besar dan cakap tak serupa bikin dia tu daripada rakan-rakan. Lama-kelamaan aku rasai sikap dia itu. Lebih-lebih lagi bab cakap tak serupa bikin. Pendek kata, apa yang orang lain buat semua tak kena pada mata dia (terutama pada orang-orang muda), tetapi apabila dia buat, pandai pula senyap-senyap.

Aku selalu rasa yang dia ada masalah dengan orang-orang muda macam kami ni. Macam kami ini orang tak ada hala tuju hidup gitu. Tapi, aku dan kenalan yang bekerja dengan dia sajalah yang tahu perangai sebenar dia. Di media sosial dan orang luar dia memang cakap berdegar-degar. Semua orang puji dia. Aku dan rakan-rakan hanya mampu menggeleng dan tersenyum sinis.

Nak salahkan orang luar pun tak boleh dan dia kena bersyukur kerana Tuhan sudah tutup aib dia.

Huh... nampaknya ini dah jadi entri luahan perasaan ni.

Dan satu lagi, baru aku sedar kenapa walaupun dia borak pelbagai isu dan topik (memang kedengaran menarik), tetapi aku kalau boleh nak lari daripada berbual dengan dia. Malah, rakan-rakan aku pun begitu. 

Rupa-rupanya ia berkenaan masalah komunikasi. Mungkin tanpa dia sedari selama ini dia mengamalkan konsep komunikasi satu hala. Pengalaman aku; dia akan bercakap tanpa henti dan aku tak tahu tang mana nak mencelah. Kalau aku dapat mencelah, keluarkan pendapat dan pandangan jelas di riak wajahnya yang dia tak ambil peduli. Kemudian, terus dengan cerita dia. Entah apa-apa! Aku benci keadaan macam tu. Memualkan!

Itu belum kira dia bercerita dalam keadaan orang lain tengah sibuk bekerja. Senang cerita, dia tak ada timbang rasa. Demi kerana dia seorang tua, kami terpaksa tadah telinga mendengar ceritanya.


Lain pula dengan seorang kawan aku. Dia memang seorang yang peramah juga tetapi kami dan rakan-rakan lain ada komunikasi dua hala dengan dia. Cakap berjam-jam pun tak terasa lama. Sebab kami saling bertukar pendapat dan mendengar.


Sebagai seorang yang introvert, aku mengakui yang kadang-kadang aku sendiri belum lepas ilmu komunikasi yang baik. Aku masih belajar tentang semua ini. Tapi, aku juga tahu hendak membezakan sama ada seseorang itu selesa atau tidak dengan perbualan kita. Riak wajah, pandangan mata, bahasa tubuh dan nada suara boleh menunjukkan semua itu.


Sah... ini entri luahan perasaan.



Tuesday 12 July 2016

Cerita Ramadan 2016

Salam dan hai...

Sudah hari raya Aidilfitri yang ketujuh. Alhamdulillah. Sepanjang bulan Ramadan yang lepas tak banyak perkara yang lain atau terlalu istimewa yang berlaku. Tapi, Ramadan itu sendiri adalah satu bulan yang paling istimewa dan aku nanti-nantikan. Aku memerlukan Ramadan untuk membuat refleksi pada diriku semula.

Ramadan kali ini aku persembahkan dengan doa-doa yang banyak, lebih banyak dari yang lepas-lepas. Penuh sungguh-sungguh dan harapan. Aku cuba untuk lebih sabar, alhamdulillah walau tidak seratus peratus tetapi masih dapat dikawal. Memandangkan aku sendiri dikelilingi oleh orang-orang yang kurang sabar, jadi nak tak nak diri aku sendiri harus melawan perkara-perkara yang menimbulkan kemarahan.

Ada satu kata-kata yang aku ingat dan cuba jadikan panduan; "Diri kita sendirilah yang memilih untuk marah atau tidak." Makanya, kita boleh pilih mahu lepaskan kemarahan atau buat tak tahu saja. 

Susah, tapi berbaloi.

Ramadan kali ini juga aku, mak dan adik melawat sebuah keluarga besar di flat PPR pinggir kota. Mereka adalah salah sebuah keluarga yang mengalami kemiskinan bandar. Memang miskin bandar ini sesuatu yang menyeksakan kerana dalam keadaan terpaksa kau terpaksa bergantung segala-galanya dengan duit hatta nak beli telur sebiji pun. Lainlah kalau kau duduk di kampung dan ada tanah sendiri, sekurang-kurangnya keperluan asas seperti makanan dan minuman tak terjejas sebab boleh bercucuk tanam dan menternak haiwan.

Baik, berbalik kepada cerita keluarga tersebut, kami bertiga datang untuk menyampaikan zakat kepada mereka. Seronoknya mereka bukan kepalang terutama si kakak yang berumur 22 tahun yang kini jadi tulang belakang menyara keluarga. Pendapatan mereka RM 35 sehari. Kisah mereka sangat menyedihkan kerana mereka sekeluarga ditindas oleh pihak berkuasa kerana kesalahan berniaga tanpa lesen. Sedangkan pekerja-pekerja asing dilepaskan begitu saja.

Aku tak mahu cerita lebih-lebih masalah keluarga mereka kerana ia agak peribadi tetapi kami pulang dengan keadaan yang penuh dengan persoalan. Apa yang mereka lakukan dengan duit tersebut? Bolehkah mereka menggunakan duit tersebut dengan sebaiknya? Bagaimana dengan adik-adik yang diberhentikan sekolah kerana bimbang kesihatan ibu yang semakin tak menentu jika adik-adik tiada depan mata? Bagaimana kesihatan si ayah yang sangat kronik? Bagaimana sumber pendapatan mereka? Bagaimana dengan penindasan terhadap mereka? Terbelakah?

Aku doa agar segala persoalanku ini ditunjukkan jalan keluar. Aku buntu kerana aku sendiri tidak mampu berbuat apa-apa kerana aku sendiri tidak punyai pengaruh, kuasa atau apa-apa untuk membantu.

Lebih kurang dua minggu kemudian, kami melawat semula keluarga tersebut. Alhamdulillah, khabar mereka lebih baik dari dulu. Adik-adiknya mula didaftarkan ke sekolah. Pendapatan mereka semakin baik kemungkinan besar mereka menggunakan duit zakat tersebut untuk dibuat modal berniaga. Adik-adik ada baju baharu. Mereka nampak gembira. Betapa leganya aku ketika itu.

***

Bulan Ramadan adalah bulan aku melipat gandakan doa-doaku. Memang, doa-doaku masih belum tertunai tetapi awal-awal lagi Tuhan sudah beri ketenangan dalam setiap ujian dan kesusahan hidupku ini. 

Aku bertawakal dan bergantung penuh kepada Tuhanku Yang Maha Mengetahui, Maha Memahami dan Maha Mengasihi.