Saturday 21 November 2015

Surat untuk Kekasih (3)

Kehadapan kekasih,

Sepatutnya tiada surat lagi untuk kekasih. Saya sendiri sudah berjanji pada diri untuk hentikanlah saja mengirim surat yang tidak terkirim ini kepada anda. Malah, saya juga cuba untuk mengotakan janji saya untuk tidak lagi cuba-cuba untuk mempedulikan anda.

Pada mulanya saya hampir berjaya. Saya mulai merasakan bahawa perasaan merindui dan mengasihi anda hanyalah perasaan ilusi saya sahaja. Hanya sementara dan kemudian berlalulah ia dibawa angin. Hilang tanpa jejak. Barangkali adalah sekali-sekala nama anda terpacul di fikiran, tetapi tidak lebih daripada itu. Ia kemudian terpadam sendiri dan saya dapat meneruskan kehidupan saya seperti biasa.

Namun, saya silap rupa-rupanya. Anda tidak pernah keluar pun dari hati saya. Kadangkala nama anda saya sebut tanpa sedar di mana-mana. Ia adalah satu perasaan yang tidak enak. Ia satu perasaan yang saya kira tidak bagus. Tidak bagus untuk hati saya. 

Kali ini saya berjanji akan mencuba dengan lebih bersungguh-sungguh untuk tidak mempedulikan anda. Namun, izinkan saya sekiranya rasa rindu itu benar-benar hadir, izinkan saya mengirim doa kepada anda. 

Doa saya semoga anda menempuhi hidup ini dengan penuh ketabahan dan penuh rasa kasih dan sayang. Semoga kita berdua sentiasa berada di jalan-Nya

Amin...


Sunday 15 November 2015

Membaca Colorless Tsukuru Tazaki and His Years of Pilgrimage oleh Haruki Murakami

Salam dan hai...


Nak kata aku ni peminat tegar Haruki Murakami, tidaklah begitu. Tapi aku sudah beli dan baca tujuh buah buku-buku beliau. Dan aku bukanlah pembaca yang terlalu mengikut karya-karya penulis. Mana buku yang aku suka, aku akan baca. Penulis jatuh nombor dua kalau diberi pilihan memilih bahan bacaan. Namun, membaca karya-karya Murakami, selalunya aku akan pejam mata saja genre yang dipersembahkan. 

Aku bukanlah peminat sains-fiksyen, namun sains-fiksyen di tangan Murakami aku suka. Adakah aku bias? Mungkin juga :D

Aku diperkenalkan dengan karya Murakami semasa ke acara Frinjan di Shah Alam beberapa tahun lepas. Mungkin 5-6 tahun lepas. Aku diberitahu Murakami ini bagus, dan aku membeli sebuah buku kumpulan cerpennya.

Okey, boleh tahan. Entah macam mana, aku mula membeli buku-buku beliau yang lain walaupun agak mahal. Sehinggalah aku membeli novelnya yang berjudul Colorless Tsukuru Tazaki and His Years of Pilgrimage (Tsukuru) ini dan ini adalah novel beliau yang paling mahal. Hampir mencecah RM 90 sebuah.

Proses mendapatkan Tsukuru bukanlah satu proses yang mudah. Aku menunggu dan menunggu versi kulit lembut, tapi masih tidak keluar-keluar lagi di pasaran. Jadi, aku harus melakukan sesuatu iaitu mengumpul wang untuk mendapatkan satu naskhah novel tersebut walau hakikatnya aku bukanlah penggemar buku berkulit tebal. Leceh dan makan ruang. Mujur, pada masa itu aku seorang pelajar dan aku telah menggunakan sekeping kupon buku 1 Malaysia dan selebihnya tambah guna duit aku.

Tak lama kemudian, baru aku dapat tahu edisi kulit lembut baru keluar di kedai-kedai buku Malaysia. Agak menyesal kerana tidak tunggu lama sedikit, tapi apabila aku membelek-belek edisi kulit lembut, aku rasa untung lagi beli yang edisi kulit keras kerana lebih cantik dan nampak mahal. Sampul kulit lembut tak cantik!

Selepas membelinya, aku tak terus baca. Aku ambil masa beberapa bulan untuk mula membacanya. Aku suka ambil mood untuk baca sesebuah buku. Ada masa mood aku untuk baca buku sejarah. Kadang-kadang rasa nak baca novel ringan. Kadang-kadang rasa nak baca buku agama. 

Berkenaan pendapat aku tentang novel Tsukuru ini, aku merasakan ia sebuah novel yang sangat sederhana daripada Murakami. Aku belum baca kesemua karyanya, tetapi ini adalah novelnya yang paling ringan, paling senang dihadam oleh aku. Ia mengenai Tsukuru Tazaki yang dipulau oleh empat orang rakannya yang lain atas satu sebab yang tidak diketahui olehnya. Maka, selepas beberapa tahun menghantui hidupnya, dia kembali mencari rakan-rakannya bertanyakan sebab mereka memulaukan Tazaki. Ceritanya bergerak mudah, tiada berbelit-belit. Malah, aku rasa tiada konflik hebat dalam cerita ini.

Satu yang aku perasan tentang cerita-cerita Murakami, watak-watak yang digambarkan olehnya seolah-olah tidak berperasaan, terutama perasaan terkejut atau marah yang teramat. Semuanya cool sahaja. 

Namun, apa yang tergambar pada watak dan perwatakan dalam cerita-cerita Murakami adalah tentang watak yang keseorangan dan kesunyian termasuklah dalam novel Tsukuru ini. Kalau ada yang perasan, Murakami sering menggunakan ayat yang lebih kurang begini dalam novel-novelnya; "Aku memang keseorangan tetapi aku bukan kesunyian." Ia ada dalam novel Tsukuru ini juga.

Seolah-olah memberitahu keseorangan itu tidak salah. Ada yang memilih dan selesa dalam keseorangan. Ia bukan sesuatu yang sunyi. Tapi bagi aku, watak-wataknya hanya menuturkan kata-kata itu untuk menyembunyikan kesunyian yang sebenar.

Keseluruhannya, walaupun novel ini dipersembahkan dengan sangat sederhana, ia tetap dekat di hati aku. Watak-wataknya secara tidak langsung adalah cerminan daripada pengalaman aku dan orang sekeliling. Pendek kata, kalau Murakami yang tulis memang selalunya aku akan senang untuk suka. Tapi, kalau novel ini ditulis oleh pengarang lain, mungkin pendapatku akan jadi berbeza.

Aku memang bias!



Sunday 8 November 2015

Majlis Konvokesyen UKM ke-43 dan Ijazah Sarjana

Salam dan hai...

Alhamdulillah, awal November 2015 aku berjaya graduasi untuk mendapatkan Ijazah Sarjana. Maka, secara rasmi aku berjaya menamatkan pengajianku selama dua tahun. 

Lepas graduasi ni, memang ramai yang suruh aku sambung terus PhD. Bukan tanya aku, ya. Diulangi, SURUH sambung terus. Yang anehnya, bukan ibu bapa atau adik aku yang beria-ia suruh. Padahal mereka bertigalah yang paling rapat dan paling selalu tengok susah payah aku belajar terutama sekali emakku. Yang beria-ia ni selalunya yang jauh-jauh terutama sekali mak-mak saudara. Ada tu, yang marah-marah kalau aku tak sambung.

Mulut memang cakap senang. Sambung ajelah... kata mereka.
Tapi, aku pernah berjanji dengan diriku sendiri bahawa mungkin aku tak akan sambung ke pengajian yang lebih tinggi lagi. Sebab apa? Sebab Ijazah Sarjana kursus yang aku ambil ini memang antara kursus yang aku teringin nak belajar. Alhamdulillah tercapai. Kedua, pengajianku sehingga peringkat Ijazah Sarjana ini merupakan antara senarai yang aku ingin lakukan sebelum aku mati. Maknanya, menyambung pengajian sehingga ke peringkat PhD. tiada dalam senaraiku buat  masa ini. Tapi, kalau ada rezeki dan berkemampuan, mungkin aku akan sambung. Ketiga, ada lagi panjang senaraiku yang masih belum dilunaskan. Aku mahu selesaikan yang itu dulu. Tapi, orang sekeliling tidak faham kerana mereka sendiri pun tidak tahu kewujudan senarai hidupku ini. 

Aku pula tak terasa mahu untuk mendedahkan senarai-senarai yang ingin aku capai kepada orang lain. Biarlah aku dan Tuhan saja yang tahu. Bagiku ia bersifat sangat peribadi selain daripada beberapa senarai yang mungkin dianggap sangat mustahil. Pasti orang sekeliling akan ikut gelak dengan senarai aku tu. Tapi, aku peduli apa. Ini impian aku. Aku rasa aku berhak untuk impi apa-apa sahaja asalkan tak langgar norma dan batas agama dan budayaku.

Bercerita tentang perjalananku menyambung ke peringkat Sarjana, ia bukan satu perjalanan yang mudah. Pertama kali isi borang untuk sambung, aku gagal. Walaupun tidak dinyatakan apa sebab-sebabnya, tapi aku tahu. Pada masa itu aku belum bekerja dan ibu bapa aku juga tidak bekerja untuk menjadi penjaminku. Itu salah satu sebab utama rasanya. Kali kedua, selepas dua tahun bekerja, aku mencuba nasib lagi. Alhamdulillah, aku berjaya. Namun, belum lagi mula kuliah, aku terpaksa tangguh satu semester atas sebab-sebab peribadi yang tidak dapat dielakkan. Kemudian, selama dua semester kemudiannya, aku bekerja sambil belajar, tetapi tak bertahan lama. Terlalu banyak percanggahan antara kerja dan belajar menyebabkan aku terpaksa memilih antara satu. Maka, aku pilih untuk berhenti kerja dan sambung belajar. Ada dua perasaan kontra yang bermain-main dalam diriku pada waktu itu. Lega dan risau. Aku lega kerana dapat menumpukan sepenuh perhatian pada kuliahku dan lega kerana dapat keluar dari rumah sewaku yang rakan-rakanku sudah tidak mesra lagi padaku. Aku rasa terpinggir sangat masa tu. 

Pada masa yang sama, aku rasa risau kerana aku menanggung sepenuhnya yuran pengajianku. Aku memang ada menyimpan sebahagian daripada gajiku untuk membayar yuran pengajian sehingga akhir belajar. Tapi, lama-kelamaan duit simpanan aku akan habis juga. Aku cuma tawakal dan berdoa pada Allah sahaja pada masa tu. Dalam sebulan dua sebelum aku berhenti kerja, aku hantar berpuluh-puluh resume untuk kerja bebas memandangkan pekerjaan aku ini boleh dilakukan secara bebas (freelance).

Allah Maha Pemurah. Aku dapat beberapa tawaran kerja bebas walaupun kadang-kadang sangkut juga perbelanjaanku. Sehingga sekarang aku masih lagi bekerja secara bebas walaupun semakin kurang tawaran. 

Ya, aku boleh mohon MyBrain15 untuk taja yuran aku. Pada mulanya aku tak mahu mohon. Biar aku bayar sendiri. Itu niat aku masa masuk belajar dulu. Emak aku suruh mohon juga tetapi aku gagal dapat kerana beberapa perkara yang silap. Selepas daripada itu, aku malas nak mohon apa-apa lagi. Senang lagi guna duit sendiri.

Pengalaman aku sepanjang belajar di UKM, secara keseluruhan aku seronok dan penat! Aku seronok belajar benda baharu, dapat belajar dengan pensyarah yang hebat-hebat, dapat penyelia yang sangat membantu dan dapat buat tesis dengan tajuk yang aku pilih sendiri. 

Yang penatnya pula ialah dulu aku bekerja sambil belajar. Siang hari, otak aku dah penat bekerja. Jadi aku terpaksa tidur beberapa jam sebelum mula buat tugasan. Kelas aku pula bertindih dengan waktu kerja. Kena pula ganti waktu kerja dengan hari minggu. Dan, hal rakan-rakan rumah sewa yang tiba-tiba macam tak suka aku. Salah aku, mungkin? Tapi sebelum aku pindah, kami sudah bermaaf-maafan. 

Jujurnya, aku rindu suasana belajar di situ. Aku dapat banyak ilmu. Itu tujuan aku. Untuk cari ilmu sebanyak mungkin. Bukan fasal dapat kerja bagus-bagus sangat. Jadi, aku memang agak rimas apabila orang-orang sekeliling tekan aku dengan hal-hal kerja. Aku minta maaf kalau ia kedengaran idealistik. Aku pegang kata-kata penyelia aku bahawa universiti diwujudkan untuk melahirkan manusia yang berilmu bukan untuk lahirkan pekerja. Lebih kurang begitulah kata-katanya. 

Bekas majikan aku juga nasihati aku supaya tidak terburu-buru atau terlalu ikut kata orang kalau tak bersedia untuk sambung PhD. Aku pegang kata-katanya kerana dia ada pengalaman tersebut.

Kepada yang nak sambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, aku ucapkan selamat belajar. Memang seronok apabila terima surat tawaran dari universiti. Namun keseronokan itu membawa sekali dengan seribu satu tanggungjawab. Apa-apa hal pun, niat kita sangatlah penting. 

Untuk aku yang suka belajar ni, sambung belajar memang sesuatu yang menyeronokkan.