Sunday 12 June 2016

Memberi

Salam dan hai...

Ada sesetengah orang yang memberi dengan harapan dia juga akan dibalas dengan pemberian. Aku rasa perasaan atau pendapat itu tidaklah salah seratus peratus. Nama pun manusia. Manusia ni ada bermacam-macam perangai dan fiil. Dan juga pelbagai kehendak dan keinginan.

Jadi, apabila ada orang yang memberi sesuatu dengan berharap dia juga mendapat sesuatu atas pemberian itu, boleh jadi ia bukanlah sesuatu perkara yang buruk. Ikhlas atau tidak, itu antara dia dan Tuhan. Walaupun, memang diakui memberi dengan harapan memperolehi sesuatu sebagai balasan juga boleh jadi sesuatu yang negatif, tetapi itu kita tolak tepi dulu. 

Lebih-lebih lagi kalau seseorang itu memberi dengan harapan mendapat sesuatu yang lebih baik daripada Tuhan. Siapa lagi yang benar-benar memahami dan mengetahui kehendak kita, selain daripada Allah. Malah, kadangkala apa yang kita kehendaki itu boleh saja diganti dengan sesuatu yang lebih baik daripada Allah. Allah kan Maha Mengetahui.

Sepanjang melalui perjalanan hidup yang penuh dengan pelbagai lelah dan kesenangan, pengharapan aku pada Tuhanku semakin lama semakin tinggi. Lebih-lebih lagi apabila kita sering diuji dengan bermacam-macam perkara, kebergantungan pada Allah lebih tinggi. 

Meminta daripada Allah ini, bukanlah meminta wang semata-mata. Ada banyak benda. Kita memberi wang pada orang lain, kadangkala bukanlah mahu mendapat balasan wang yang lebih banyak daripada Allah. Ada yang memberi semata-mata mahu memperoleh ketenangan hati. 

Nikmat Allah yang mana lagi yang engkau dustakan?

Syukur, alhamdulillah :)