Thursday 31 December 2015

2015 dalam Kenangan

Salam dan hai...

Ini entri terakhir sebelum masuk ke tahun baharu 2016. Kalau nak diingat balik apa yang berlaku sepanjang tahun 2015, perjalanannya pelbagai rasa.

Pada awal tahun 2015, aku masih bergelut dengan tesis. Aku ulang-alik dari Shah Alam - Bangi hampir setiap minggu. Mujur aku dapat penyelia yang betul-betul memahami. Dan aku sendiri kena hormat diri beliau yang aku rasa antara pensyarah yang baik, banyak ilmu, tak banyak songeh dan sangat membantu dengan siap sedia apabila ingin berjumpa dengan beliau. Pendek kata, kena rajin. Aku rasa, untuk kursus aku ambil ini, selain daripada kena banyak tahu tentang isu semasa (di mana aku kena banyak tambah ilmu lagi), kena rajin... rajin dan rajin. Bak kata pensyarah aku dalam kelas dulu, master ni bukan siapa ambil banyak subjek satu semester dia hebat. Master ni paling penting, apabila kita dapat selesaikan tesis kita.

Dengar kata-kata beliau, aku jadi semangat sikit sebab aku hanya ambil tiga subjek untuk setiap semester. Ditambah pula dengan tiga subjek tambahan sebab aku tiada asas dalam kursus yang aku ambil tu. Ditambah lagi, dua semester pertama aku bekerja sambil belajar. Dapat dua tekanan sekali gus, aku memang agak terbeban. Itu belum lagi entah angin mana datang, rakan-rakan serumah aku tiba-tiba menyisihkan aku. Aku tahu siapa dalangnya tapi masa tu aku pun tak berapa nak ambil kesah sangat sebab hidup aku sibuk dari pagi sampai malam. Cuma sekali-sekala aku duk cerita dengan kawan baik aku yang merangkap rakan sekerja aku dulu. Rupa-rupanya kami serupa. Sama-sama tidak digemari oleh orang itu. Huh!

Sekarang ini, aku okey-okey sajalah kalau berjumpa dengan orang itu. Kalau dia tak buat masalah pada aku, aku pun tak ada fasal tiba-tiba nak cari masalah. Cuma, aku rasa aku tak akan rapat dengan orang sebegitu. Tak ngam. Tak sekepala. 

Berbalik pada hal tesis aku, aku memang sengaja pilih penyelia lelaki. Bukan sebab aku gedik atau miang tak tentu arah. Sebab dalam banyak-banyak pensyarah aku tu, aku rasa penyelia aku tu sorang saja yang boleh ngam dan faham aku. Ini adalah berdasarkan naluri aku sendiri. Dulu, masa awal semester, memang aku nak bawah seliaan seorang pensyarah wanita ini, tetapi aku tukar rancangan setelah masuk kelas penyelia aku ni. Syukur aku tak ada masalah langsung dengan beliau walaupun dia agak garang dalam kelas. Tapi apabila menyelia tesis aku, beliau adalah seorang yang cool dan membantu. Tak pernah paksa aku tukar proposal untuk ikut kehendak beliau. Malah, beliau yang ikut kehendak aku. Masa berjumpa pun aku yang cadangkan. Perbincangan kami adalah dua hala. Yang penting, aku jumpa beliau setiap minggu. Ayat terakhir aku setiap kali nak pulang ialah minta kebenaran untuk jumpa beliau minggu depan. Aku memang seorang yang slow learner dan aku tahu beliau perasan fasal tu. Ayat beliau yang aku ingat sampai sekarang:

AKU: Dr. minggu depan saya jumpa Dr. lagi, ya?
DR   : Hmmm... jumpa. Tak faham je, jumpa. Jumpa sampai faham.

Minggu depannya...

AKU: Dr. minggu depan saya jumpa Dr. lagi, ya?
DR   : Hmm... okey. Jumpa sampai kau terang hati.

Tentang aku yang nak siap cepat tesis pula...

AKU: Dr. tadi saya terserempak dengan kawan saya. Dia dah buat sampai bab 3. Saya baru bab 1.
DR   : You nak ilmu ke nak habis cepat?

Ayat tu memang buat aku tiba-tiba tersedar semula niat aku belajar. Aku belajar bukan sebab syarikat suruh, nak naik pangkat atau kerja gaji tinggi. Memang niat nak belajar dan dapat ilmu. 

Penyelia aku ni suka borak-borak. Dalam kelas pun borak-borak. Tapi semuanya ilmu baharu buat aku. Dan dia sekali-kali tak rendahkan pun ilmu yang aku ada. Satu hari tu penyelia aku mengadu yang beliau hairan dengan pelajar yang buat tesis tanpa jumpa beliau langsung. Beliau kata pada aku, yang dia suka pelajar yang jumpa tiap-tiap minggu macam aku. Senang faham dan tak sesat. Hahaha...

Aku ingat lagi kata-kata dia, lebih kurang begini:

DR: Saya tak tahu kenapa pelajar tak nak jumpa saya tiap-tiap minggu. Saya bukan makan orang pun.

Aku rasa, pelajar tak nak jumpa beliau, sama ada mereka malas, tak ada bahan nak jumpa, leka atau takut dengan penyelia aku tu sebab muka beliau memang susah nak senyum. Adalah sekali dua aku tengok beliau senyum. Tu pun senyum sinis. Tapi, beliau seorang yang senang didekati sebenarnya dan lucu sebenarnya. Ada pernah satu hari tu, aku jumpa dia. Sementara dia nak buka kunci bilik, tiba-tiba dia tanya aku: "Kenapa orang perempuan kalau badan besar mesti suka ketawa?" 

Hmmm...

***
Tahun ini juga tahun yang agak mencabar buat aku. Banyak dugaan datang walaupun aku sudah menduganya. Memang ada satu-satu masa aku buntu yang amat macam mana nak selesaikan masalah-masalah aku. Tak ada seorang manusia pun boleh tolong aku. Aku hanya mengadu pada Tuhan saja. Dan, Allah itu memanglah Tuhan sekalian alam. Dia berikan aku jalan dengan tiba-tiba saja. Bukan sekali, tapi berkali-kali.

Kadang-kadang terasa malu dengan Tuhan sebab ada masa aku doa pun tak sungguh-sungguh. Sekali Tuhan bagi segedebuk apa yang aku nak tu.

Pertengahan tahun 2015 itulah banyak juga sakitnya perjalanan hidup aku ni. Aku belajar tapis mana-mana yang tak perlu dalam hidup. Mulai lebih faham setiap manusia itu tidak boleh dihakimi dengan sekali kenal saja. Ada yang kita nampak luarannya macam orang tak ada agama, tapi itulah yang paling tak membeza-bezakan orang. Ada yang luaran, kita nampak cantik dan baik saja, tapi itulah yang cuba nak jatuhkan kita. Aku beritahu ni berdasarkan pengalaman aku sendiri. Itu saja.

Sebab itulah, aku sudah mula berhenti baca karya seorang penulis ini. Di luar dia memang dipuja-puja, tetapi apa aku dan kawan-kawan aku nampak adalah sebaliknya. Rendah-rendahkan kebolehan aku dan orang lain tu perkara biasa bagi dia. Aku pernah jatuh sakit kerana mengalami tekanan sebab dia. Jadi, dari kejauhan saja aku hanya melihat dia, celotehnya dan para pembacanya. Biarlah orang lain tidak tahu. Biarlah dia dan dunianya. Cukuplah aku hadiahkan al-Fatihah pada dia kerana dengan cara itu saja aku rasa usaha aku untuk reda dengan apa yang berlaku.

Akhir tahun 2015, aku mulai rangka semula kerja aku yang tergendala. Membuat pembacaan dan rangka tentang kerjaku. Malangnya, sejak dua minggu lepas kerja aku sedikit tergendala. Mati arah. Sehinggalah semalam aku berbual santai dengan rakan FB aku tentang kerjaku. Syukur, ada beberapa cadangan dia yang buat aku bersemangat semula. Itu salah satu sebab aku suka berkawan dengan orang yang lebih banyak ilmu daripada aku. Banyak benda yang aku belajar. Dia adalah salah seorang rakan FB yang aku kagum walau tak pernah berjumpa. Misteri katanya. Tu tak penting, yang penting ilmu yang sama-sama kongsi :)

***

Jadi, sempena tahun baharu 2016 ini ada beberapa perkara yang aku nak selesaikan. Paling penting sekali kena belajar kawal emosi dan bersyukur banyak-banyak. Itu adalah punca ketenangan aku. Untuk orang macam aku, kekurangan perkara material memang satu ujian yang berat, tapi paling berat adalah mengawal emosi melampau seperti marah dan benci tak tentu fasal. Itulah perkara paling susah sekali. Serius!!

Nah, lagu Fidelity daripada Regina Spektor. Aku suka lirik lagunya yang romantis dalam samar. Selain daripada ia adalah soundtrack daripada filem Love & Other Drugs (2010).











Tuesday 22 December 2015

Surat untuk Kekasih (4) merangkap cerita tentang hikmah.

Sepatutnya tiada surat lagi untuk kekasih tetapi aku rasa ia tidak patut dihentikan.

Cuma... sejak akhir-akhir ini aku tertanya-tanya adakah selama ini kita pernah terjumpa, terserempak, bertegur sapa? Aku ada perasaan aneh tentang hal ini.

***

Aku percaya ada hikmah di setiap apa yang belaku. Sungguh, ini ayat klise seantero dunia, tapi aku tak akan saja-saja suka pakai kalau aku tak pernah melaluinya.

Hikmah paling ketara yang aku betul-betul nampak sepanjang kehidupan aku ialah apabila aku jatuh sakit dan patah hati yang teramat beberapa tahun lepas sebelum sambung belajar ijazah sarjana. Manusia yang aku yakin sangat-sangat itulah manusia yang paling sesuai untuk belahan jiwaku, akan menikah dengan yang lain.

Aku tahu aku terlambat tetapi aku tetap luahkan apa yang aku rasa padanya. Bukan untuk minta simpati atau tiba-tiba tukar keputusan tak jadi kahwin. Sebab aku tahu ini bukan sinetron atau drama Hindustan. Aku cuma nak beritahu segala-gala-galanya... Dan memang sungguhlah beban aku serta-merta hilang. Tapi aku masih lagi bersedih dan sedih walaupun ada kelegaan sedikit.

Tapi ada satu hal yang lucu. Keesokan paginya selepas sesi pengakuan berani mati itu, aku terima sekeping nota misteri berwarna ungu di atas meja. Rupa-rupanya... ada yang simpan hati dalam diam. Maaf beribu-ribu kemaafan sebab aku tak dapat terima. Cerita di sebalik nota ungu itu memang panjang tetapi biarlah aku simpan sahaja.

***

Banyak perkara yang bermain-main di fikiran aku. Mujur selain daripada keluarga, aku ada seorang sahabat baik sebilik sebantal yang rajin dengar cerita aku. Kadang-kadang bukanlah kita tak nak cerita hal-hal macam ni pada keluarga, tapi kawan yang lebih kurang sebaya lebih faham sebab mereka selalunya melalui zaman yang sama macam kita. Jadi pandangan tentang hidup itu selalunya boleh 'klik' dengan kita.


Maka, aku ambil keputusan untuk tangguh belajar satu semester, pergi melancong atas pelawaan adikku yang tak berapa kesah dengan hal patah hati aku sebab dulu masa zaman sekolah, dia pun pernah kecewa teruk dan aku pun bukan kesah sangat hal patah hati dia. Tapi budak ni senang move on. Huh!

Hari demi hari, aku mencari-cari apa sebabnya aku jatuh sebegini teruk. Dan aku masih tetap bersedih. Lalu, akhirnya aku menemukan dengan hikmah yang aku cari-cari selama ini.

Aku mulai dengan cuba bertanya dengan diriku sendiri mengapa aku terlalu-terlalu-terlalu bersedih dengan hal ini. Rupa-rupanya, setelah diselidiki sehingga ke akar baru aku sedar yang manusia itu aku letakkan sebagai seorang lelaki yang terbaik, yang paling tepat untuk jadi belahan hidupku. Aku tak nampak langsung lelaki lain sebab aku rasa tak ada lelaki lain yang lebih layak untuk sehidup semati denganku. Hmmm... so pathetic!

***

Dan sekarang, aku masih lagi berkawan dengan dia. Tak serapat dulu, tapi kalau aku boleh ajak dia, isterinya dan anaknya datang beraya , kira okeylah tu. 

Sebenarnya, selepas semuanya ini berlaku, aku panjatkan kesyukuran kerana aku tak kahwin dengan dia! Ayat itu yang dulu tak pernah terlintas langsung dalam kepala aku, kini aku boleh menyatakannya dengan rasa tanpa ragu-ragu. Sedikit-sedikit aku ditunjukkan yang sebenarnya aku dan dia tak sesuai, tak sepadan. Elok jadi kawan saja. 

Aku pegang kata-kata dia selepas sesi pengakuan itu; "Hidup mesti terus."

Aku teruskan hidup dengan baik walaupun sekali-sekala dan selalu juga tersadung sana sini. Biasalah nama pun kehidupan.

Cuma, kadang-kadang aku terasa hati dengan para lelaki sekeliling aku yang selalunya hanya akan memilih wanita yang sedia siap, baik, dan sempurna. Mungkin tak semua, tapi kebanyakan yang aku jumpa begitulah. Hmmm... tak apalah. 


Bak kata sahabat baikku; "Tak payahlah mencari lagi. Dia akan datang sendiri."

Aku faham sebab dia menuturkan kata-kata itu kerana aku tahu hal hidupnya dan dia tahu hal hidupku. Ini bukanlah fasal berusaha atau tidak berusaha. Jadi, jujurnya selepas hal ini, aku sebenarnya dalam mod merajuk dengan lelaki. Tak fasal-fasal, kan? Tapi aku rasa mungkin Tuhan mahu berikan aku ruang sebaik-baiknya untuk diri aku sendiri. 

Tapi, dalam pada itu, hikmah lainnya yang aku nampak, rupa-rupanya ramai lelaki yang baik. Aku saja yang tak perasan.


Banyak sangat perkara yang berlaku di sepanjang perjalanan hidupku. Ini antara satu pengalaman yang akan membuatkan aku lebih kuat lagi. Insya-Allah. 



***

Jadi, surat untuk kekasih...

Aku yang selalu menghadiahkan al-Fatihah kepadamu tanpa mengetahui siapa pun anda. Tidak kira sama ada kita berjodoh di dunia ini atau tidak, aku akan terima seadanya. Kerana mati itu satu kepastian.

Tuhan itu kan Maha Penyayang. Dia tahu apa yang terbaik. 

Al-Fatihah. 

Sunday 13 December 2015

Perihal Masa

Salam dan hai...


Kalau ditanya tentang ketepatan masa bagi masyarakat Malaysia ini, secara amnya memang ramai yang ambil mudah tentang hal ini. Daripada rakyat marhaen hinggalah ke para menteri. Masa yang dijanjikan selalu saja tidak ditepati.

Aku adalah antara manusia yang dididik oleh emakku sendiri untuk menepati masa. Kalau aku ingin menggambarkan tentang emakku, dia seorang wanita yang sangat berdisiplin dan teliti. Sewaktu kami adik-beradik masih kecil, emakku memang ambil tahu dan kadang-kadang hafal jadual sekolah aku. Dia yang akan mengingatkan kami itu, ini. Sehinggalah dewasa, apabila kami tinggal jauh daripada ibu bapa, emakku masih akan menelefon mengingatkan tentang waktu peperiksaan, waktu kerja, dan macam-macam lagilah. Nampak macam kami ini sangat bergantung pada emakku, tapi itulah cara dia membela kami.

Dan, emakku sangat pantang kalau kami tidak menepati masa. Kalau janji nak bertolak pukul 8 pagi. Maknanya, pukul 8 pagi dah ada dalam kereta bersedia untuk bertolak. Maka, kami adik-beradik secara tidak langsung menjadi orang yang menepati masa sepanjang masa. 

Namun, apabila kau berurusan dengan rakyat Malaysia, hal-hal menepati masa ini seolah-olah kurang relevan dalam hidup. Banyak perkara yang buat aku naik angin adalah berkenaan dengan menepati masa. Baik daripada kawan-kawan, saudara mara dan majikan sendiri pun kadang-kadan tak menepati masa. Aku pula memang jenis yang pegang pada prinsip elok datang awal sikit daripada datang lambat. Tapi, kebanyakan orang sekeliling aku pula rasanya tak kesahlah datang jam berapa, janji hadir nampak batang hidung.

Baru-baru ini aku dan kawan-kawan janji nak berjumpa. Memandangkan semuanya tak tahu nak buat keputusan bila nak berjumpa, jadi akulah yang tetapkan waktu dan masa. Itu belum tempat banyak kali nak bertukar. Akhirnya, tak jadi jumpa sebab ada hal. Tiga kali aku aturkan masa dan hari, tiga kali tak jadi. Dan, terus-terang aku katakan aku merajuk dan marah.

Benda-benda macam ni terlalu banyak berlaku di sekeliling aku membuatkan aku jadi rimas. Kemudian, ada pula kawan yang tak jadi nak jumpa tetapi tak beritahu aku awal-awal. Sehinggalah aku mesej dia, barulah nak beritahu.

Kawan tetap kawan. Tapi aku manusia, ada perasaan marah dan kecil hati.

Tolonglah... tolonglah sesiapa yang ambil sambil lewa hal masa ini ubahlah sikap. Terus-terang ia sangat menjengkelkan. Ia jadi biasa sebab kita sendiri pun kadang-kadang tak ambil peduli orang datang lambat. Kalau dia boleh lambat, kenapa aku tak boleh lambat, kan?

Tak payah nak pung pang marah orang itu tak adil, orang ini zalim dan sebagainya kalau masa sendiri dan orang lain pun kita tak reti hargai. 

Tolong buang mentaliti sampah tu. Terima kasih. 





Thursday 10 December 2015

Menonton Love, Supermoon (2015)

Salam dan hai...


Aku merupakan peminat filem bergenre komedi romantik (rom-com) walaupun bukanlah peminat tegar kerana baaaanyaaak... lagi filem-filem daripada genre tersebut yang belum kutonton. Tapi, antara yang aku rasa rom-com yang menarik adalah filem When Harry Met Sally (1989). Dan filem My Best Friend's Wedding (1997) adalah sebuah filem yang memberi aku ilham untuk menulis sesuatu dulu. Juga filem dari Thailand, The Teacher's Diary (2014) dan Bangkok Traffic Love Story (2007). Sebenarnya banyak rom-com menarik yang aku tonton, tapi bukan itu yang aku nak ulas. 

Okey, aku jarang menikmati rom-com dari Malaysia kerana pertama, aku rasa genre ini tak berapa popular bagi penonton tempatan. Kedua, tak banyak filem Malaysia genre ini yang menarik untuk ditonton. Mungkin adalah, untuk filem-filem Bernard Chauly. Tetapi, Love, Supermoon ini bagi aku sebuah filem rom-com Malaysia yang lain sedikit daripada filem-filem Bernard Chauly. Sebabnya, Love, Supermoon ini memang sebuah kisah cinta komedi bercirikan tempatan. Latar masanya pula memang dekat dengan zaman aku membesar.

Kisahnya bermula apabila Triz dipelawa oleh Razak untuk jadi adik angkat semasa di sekolah menengah, tetapi kemudian ditarik balik pelawaan itu. Ceritanya kemudian membawa kita pada tahun-tahun seterusnya sehinggalah masing-masing dewasa dan berkerjaya. Triz dan Razak menyangka mereka terputus hubungan, namun kawan masing-masing tetap memberi khabar berita tentang diri masing-masing sehingga mereka bertemu di majlis perkahwinan rakan mereka. 


Trend adik angkat-abang angkat ini memang sangat biasa pada zaman persekolahan di Malaysia. Itu belum lagi pada awal 2000-an trend rambut ketak-ketak guna alat pemanas rambut memang kegilaan. Aku pun ada satu set dulu, haha. Kemudian, cerita tentang bagaimana memilih pasangan yang sesuai untuk kahwin. Perlulah ada kombinasi cantik + pandai = anak cantik pandai. Aduhai... haha! Dan, cara bagaimana Triz dan Razak mengetahui perkembangan antara satu sama lain melalui rakan-rakan gosip mereka juga adalah menarik. 

Perjalanan cinta Triz sentiasa dirundung kecewa. Cinta pertamanya melupakannya lepas sambung belajar. Cinta keduanya, mempergunakannya untuk kesenangan. Yang akhirnya membawa Triz berhenti kejar cinta dan kejar cita-citanya untuk jadi seorang novelis dan berjalan-jalan keliling dunia (macam angan-angan aku!). 


Razak pula, seorang Mat Romeo yang asyik bertukar pasangan, sehingga selepas beberapa tahun berkahwin dengan isterinya, baru dia sedar yang dia sudah tersalah buat pilihan. Dan akhirnya menjadi seorang duda dengan seorang anak.

Apa yang baut ceritanya lucu adalah dialog-dialog yang dilontarkan oleh watak-wataknya serta tentulah para pelakonnya yang memang bagus dengan watak-watak masing-masing.

Pengkahirannya aku rasa agak tergesa-gesa dan mudah sangat, sebab aku tak nampak perkembangan seterusnya pada perhubungan Triz-Razak selain daripada kawan sekepala yang boleh bawa borak.

Secara keseluruhannya, kalau mahu filem komedi romantik yang bercita rasa tempatan, inilah filemnya. Nadiya Nisaa memang best!


Ada satu dialog lucu yang lebih kurang begini apabila Triz mahu putuskan hubungan dengan teman lelakinya apabila dapat tahu dia ditipu, "Bihun dengan bakso aku sedap. Padan muka kau tak dapat rasa!"

Konsep abang angkat dan adik angkat ini sebenarnya boyfriend dan girlfriend yang diselindungkan (Triz, Love Supermoon).


Nah, ini sedutan filemnya selama 25 minit...





Monday 7 December 2015

Membaca My Best Friend's Girl oleh Dorothy Koomson

Salam dan hai...
Baru-baru ini aku baru selesai membaca sebuah naskhah chic-lit daripada seorang penulis dari London, Dorothy Koomson.

My Best Friend's Girl secara ringkasnya menceritakan tentang dua orang sahabat baik iaitu Adele Brannon dan Kamryn Matika yang terputus hubungan selama dua tahun kerana Kamryn dapat tahu yang Adele tidur dengan tunangnya, Nate. Dua tahun selepas itu, pada hari lahir Kamryn, dia mendapat sepucuk surat yang datang daripada Adele. Adele memberitahunya yang dia tidak dapat hidup lama dan mohon Kamryn datang melawatnya di hospital. Adele juga meminta Kamryn mengambil anaknya, Tegan sebagai anak angkat apabila dia meninggal kelak. Nak dijadikan lebih dramatik, Tegan itu sebenarnya anak Adele dan Nate. 

Jadi, memandangkan dalam novel ini, the center of attention adalah Kamryn Matika, haruslah cerita ini berkisar tentang kehidupannya sebagai seorang wanita kulit hitam yang berkerjaya, tidak mahu anak dan dicintai oleh dua orang lelaki, iaitu Nate dan Luke.


Pada mulanya, cerita ini bermula dengan agak baik. Aku tak sabar-sabar nak tahu apa yang akan berlaku selepas Adele mewasiatkan Tegan kepadanya, tetapi makin lama aku semakin lelah melayan kisah dan perasaan Si Kamryn ini. Bagi aku, sebagai seorang wanita yang berkerjaya dan berkerja dalam keadaan yang banyak tekanan, tentu sekali dia tahu membuat keputusan yang pantas. Tetapi tidak bagi diri Kamryn. Aku penat melayan hal dia yang asyik berbelah bahagi sama ada mahu pilih Nate dan Luke, yang pada aku ia sesuatu yang mudah saja sebenarnya. Si pengarang iaitu Koomson secara tak langsung sudah masuk campur sedikit dalam hal ini apabila dia melebih-lebihkan kebaikan watak Luke. Dan jelas, Luke dan Kamryn adalah pasangan yang saling mencintai antara satu sama lain. Kehadiran Nate yang tiba-tiba sepatutnya bukan satu masalah besar jikalau Kamryn benar-benar mencintai Luke. Tapi... tapi dia masih merasakan 'sesuatu' pada Nate, apatah apabila Nate cuba 'memprovokasinya' dengan kata-kata romantis. 

Kalau aku jadi Luke, aku sudah tawar hati sama itu Kamryn.


Perasaan dan keadaan Kamryn yang tidak terurus akibat terlalu sedih setelah kematian Adele juga bagi aku kurang umph dan semacam ada lompong-lompong di situ. Aku tak dapat rasakan kesedihan itu walau berdasarkan ulasan daripada pembaca lain, ada yang mengatakan ia sangat sedih. 



Secara keseluruhannya, novel ini lebih banyak bercerita tentang dilema Kamryn memilih sama ada Nate atau Luke yang pada akhirnya aku suka dengan pilihannya. Bukanlah sangat fasal Tegan.

Tapi... yalah. Kalau tak ada dilema tersebut, tak bergerak jugalah jalan ceritanya, kan. Ramai yang suka dengan novel ini, tapi bagi aku ia biasa-biasa saja. Tak adalah aku benci pun. 



***

Bercerita tentang wanita yang sering menjadi rebutan lebih daripada seorang lelaki dalam novel ini, sebenarnya ia bukan satu tema kegemaran aku. Aku lebih suka watak antihero misalnya seperti novel Surat Ungu untuk Nuha (2007) karya Noor Suraya atau novel Rosie Dunne (2005) oleh Cecilia Ahern yang kini novel tersebut sudah diadaptasi ke filem dengan judul Love, Rosie (2015).

Bagi aku watak-watak antihero lebih terkesan dengan jiwaku dan lebih menarik untuk diceritakan kerana watak-watak ini sebenarnya secara tak langsung ada di sekeliling kita dan kita lebih mudah jatuh kasihan padanya walau watak-watak tersebut merasakan ia bukan sesuatu yang bukan untuk dikasihani.

Tuesday 1 December 2015

Mendedahkan Semula Surah al-Fatihah (Rediscovering The Fatihah) oleh Nouman Ali Khan

Salam dan hai...


Baru-baru ini aku mendengar satu video daripada penceramah terkenal dari Amerika Syarikat iaitu Ustaz Nouman Ali Khan (NAK). Aku memang gemar mendengar kuliah dan ceramah yang diberikan olehnya di Youtube kerana bagi aku isi-isinya segar dan beliau sering membawa ilmu-ilmu baharu kepadaku. 

Memandangkan beliau seorang pakar dalam bahasa Arab dan Quran, penerarangan beliau tentang surah dalam Quran memang mengagumkan. Lalu, aku terdetik untuk mendengar penerangan beliau tentang Surah al-Fatihah, sebuah surah yang sangat penting terutama sekali dalam solat. Apa yang menarik, beliau memberi penerangan ayat demi ayat tentang Surah al-Fatihah itu selama hampir tiga jam. Tujuh buah ayat dalam masa tiga jam! Cuba kau bayangkan betapa banyak lapisan-lapisan makna dan tafsir setiap ayat itu. Penerangan beliau termasuk dari segi lingiustik dan tatabahasa. Hebat!

Di sini aku senaraikan beberapa poin penting yang aku dapat kutip hasil daripada video tiga jam yang telah dipecahkan sebanyak tiga bahagian di Youtube itu:


  1. Alhamdulillah - maknanya puji-pujian dan ucapan terima kasih pada Allah. Secara tidak langsung ia membuatkan kita menjadi lebih positif menghadapi kehidupan.
  2. Alhamdulillah juga membuatkan kita merendah diri dan hanya bergantung semata-mata kerana Allah 
  3. Apabila kita mula memandang rendah pada al-Fatihah, kita sebenarnya memandang rendah pada keseluruhan Quran.
  4. Apa yang kita punyai sekarang ini adalah kepunyaan Allah semata-mata.
  5. Allah telah mencipta satu hubungan antara Dia dan kita, iaitu Tuan dan hamba.
  6. Tidak kira daripada mana budaya dan tamadun yang kita datang, Allah tetap Tuan kita.
  7. Islam menghormati setiap budaya asalkan manusia hidup berpandukan panduan-Nya.
  8. Ar-Rahman - extremely loving, something happening immediately, temporary.
  9. Allah merupakan Tuan yang berbeza dengan tuan yang lain kerana sifat yang ada pada Ar-Rahman.
  10. Ar-Rahim - Kekal, tidak semestinya sekarang ini.
  11. Ar-Rahman, Ar-Rahim - Allah menjaga hal sekarang dan Allah juga menjaga hal yang kemudian.
  12. Ayat kelima al-Fatihah memberitahu tujuan hidup manusia - menyembah Allah.
  13. Ayat keenam al-Fatihah - petunjuk daripada Allah melebihi sekadar maklumat. Allah akan memandu jalan hidup kita sehingga ke akhirnya.
  14. Maknanya juga, "Ya Allah, pandulah aku melalui jalan ini, bersama-samalah denganku dalam kembara ini agar aku tidak mengembara sendirian."
  15. Atau, "Ya Allah, guide em through the end."
  16. Atau, "Ya Allah, be with me when the times come."
  17. Atau, "Ya Allah, just let me going this until death come."
  18. Ayat ketujuh - manusia melihat contoh-contoh teladan lepas, misalnya para nabi, sahabat dan orang soleh. Mereka merupakan contoh teladan yang baik.
  19. Allah juga memberi contoh orang-orang yang dimurkai (orang yang tahu perkara itu salah/dosa tapi masih buat juga) serta orang-orang sesat (orang yang tidak tahu itu salah/dosa dan melakukan perkara tersebut).
  20. Apa yang buat al-Fatihah itu indah? Ada dua tema dalamnya: Pengetahuan dan perbuatan.
  21. Pengetahuan - ayat 2-4 iaitu semuanya ilmu pengetahuan tentang Allah.
  22. Perbuatan - ayat 5-7 iaitu semuanya tentang perbuatan (action).
  23. Al-Fatihah ada 3 bahagian: Ayat 2-4 tentang Allah. Ayat 5 tentang perjanjian (agreement) manusia dengan Allah. Ayat 6-7 tentang permintaan kita terhadap Allah.
Sebuah pengisian yang menarik. Anda perlu mendengar sendiri ceramah tersebut untuk dapatkan input yang lebih baik. Terima kasih Ustaz Nouman Ali Khan. Semoga Allah merahmati anda sekeluarga. Amin...

Saturday 21 November 2015

Surat untuk Kekasih (3)

Kehadapan kekasih,

Sepatutnya tiada surat lagi untuk kekasih. Saya sendiri sudah berjanji pada diri untuk hentikanlah saja mengirim surat yang tidak terkirim ini kepada anda. Malah, saya juga cuba untuk mengotakan janji saya untuk tidak lagi cuba-cuba untuk mempedulikan anda.

Pada mulanya saya hampir berjaya. Saya mulai merasakan bahawa perasaan merindui dan mengasihi anda hanyalah perasaan ilusi saya sahaja. Hanya sementara dan kemudian berlalulah ia dibawa angin. Hilang tanpa jejak. Barangkali adalah sekali-sekala nama anda terpacul di fikiran, tetapi tidak lebih daripada itu. Ia kemudian terpadam sendiri dan saya dapat meneruskan kehidupan saya seperti biasa.

Namun, saya silap rupa-rupanya. Anda tidak pernah keluar pun dari hati saya. Kadangkala nama anda saya sebut tanpa sedar di mana-mana. Ia adalah satu perasaan yang tidak enak. Ia satu perasaan yang saya kira tidak bagus. Tidak bagus untuk hati saya. 

Kali ini saya berjanji akan mencuba dengan lebih bersungguh-sungguh untuk tidak mempedulikan anda. Namun, izinkan saya sekiranya rasa rindu itu benar-benar hadir, izinkan saya mengirim doa kepada anda. 

Doa saya semoga anda menempuhi hidup ini dengan penuh ketabahan dan penuh rasa kasih dan sayang. Semoga kita berdua sentiasa berada di jalan-Nya

Amin...


Sunday 15 November 2015

Membaca Colorless Tsukuru Tazaki and His Years of Pilgrimage oleh Haruki Murakami

Salam dan hai...


Nak kata aku ni peminat tegar Haruki Murakami, tidaklah begitu. Tapi aku sudah beli dan baca tujuh buah buku-buku beliau. Dan aku bukanlah pembaca yang terlalu mengikut karya-karya penulis. Mana buku yang aku suka, aku akan baca. Penulis jatuh nombor dua kalau diberi pilihan memilih bahan bacaan. Namun, membaca karya-karya Murakami, selalunya aku akan pejam mata saja genre yang dipersembahkan. 

Aku bukanlah peminat sains-fiksyen, namun sains-fiksyen di tangan Murakami aku suka. Adakah aku bias? Mungkin juga :D

Aku diperkenalkan dengan karya Murakami semasa ke acara Frinjan di Shah Alam beberapa tahun lepas. Mungkin 5-6 tahun lepas. Aku diberitahu Murakami ini bagus, dan aku membeli sebuah buku kumpulan cerpennya.

Okey, boleh tahan. Entah macam mana, aku mula membeli buku-buku beliau yang lain walaupun agak mahal. Sehinggalah aku membeli novelnya yang berjudul Colorless Tsukuru Tazaki and His Years of Pilgrimage (Tsukuru) ini dan ini adalah novel beliau yang paling mahal. Hampir mencecah RM 90 sebuah.

Proses mendapatkan Tsukuru bukanlah satu proses yang mudah. Aku menunggu dan menunggu versi kulit lembut, tapi masih tidak keluar-keluar lagi di pasaran. Jadi, aku harus melakukan sesuatu iaitu mengumpul wang untuk mendapatkan satu naskhah novel tersebut walau hakikatnya aku bukanlah penggemar buku berkulit tebal. Leceh dan makan ruang. Mujur, pada masa itu aku seorang pelajar dan aku telah menggunakan sekeping kupon buku 1 Malaysia dan selebihnya tambah guna duit aku.

Tak lama kemudian, baru aku dapat tahu edisi kulit lembut baru keluar di kedai-kedai buku Malaysia. Agak menyesal kerana tidak tunggu lama sedikit, tapi apabila aku membelek-belek edisi kulit lembut, aku rasa untung lagi beli yang edisi kulit keras kerana lebih cantik dan nampak mahal. Sampul kulit lembut tak cantik!

Selepas membelinya, aku tak terus baca. Aku ambil masa beberapa bulan untuk mula membacanya. Aku suka ambil mood untuk baca sesebuah buku. Ada masa mood aku untuk baca buku sejarah. Kadang-kadang rasa nak baca novel ringan. Kadang-kadang rasa nak baca buku agama. 

Berkenaan pendapat aku tentang novel Tsukuru ini, aku merasakan ia sebuah novel yang sangat sederhana daripada Murakami. Aku belum baca kesemua karyanya, tetapi ini adalah novelnya yang paling ringan, paling senang dihadam oleh aku. Ia mengenai Tsukuru Tazaki yang dipulau oleh empat orang rakannya yang lain atas satu sebab yang tidak diketahui olehnya. Maka, selepas beberapa tahun menghantui hidupnya, dia kembali mencari rakan-rakannya bertanyakan sebab mereka memulaukan Tazaki. Ceritanya bergerak mudah, tiada berbelit-belit. Malah, aku rasa tiada konflik hebat dalam cerita ini.

Satu yang aku perasan tentang cerita-cerita Murakami, watak-watak yang digambarkan olehnya seolah-olah tidak berperasaan, terutama perasaan terkejut atau marah yang teramat. Semuanya cool sahaja. 

Namun, apa yang tergambar pada watak dan perwatakan dalam cerita-cerita Murakami adalah tentang watak yang keseorangan dan kesunyian termasuklah dalam novel Tsukuru ini. Kalau ada yang perasan, Murakami sering menggunakan ayat yang lebih kurang begini dalam novel-novelnya; "Aku memang keseorangan tetapi aku bukan kesunyian." Ia ada dalam novel Tsukuru ini juga.

Seolah-olah memberitahu keseorangan itu tidak salah. Ada yang memilih dan selesa dalam keseorangan. Ia bukan sesuatu yang sunyi. Tapi bagi aku, watak-wataknya hanya menuturkan kata-kata itu untuk menyembunyikan kesunyian yang sebenar.

Keseluruhannya, walaupun novel ini dipersembahkan dengan sangat sederhana, ia tetap dekat di hati aku. Watak-wataknya secara tidak langsung adalah cerminan daripada pengalaman aku dan orang sekeliling. Pendek kata, kalau Murakami yang tulis memang selalunya aku akan senang untuk suka. Tapi, kalau novel ini ditulis oleh pengarang lain, mungkin pendapatku akan jadi berbeza.

Aku memang bias!



Sunday 8 November 2015

Majlis Konvokesyen UKM ke-43 dan Ijazah Sarjana

Salam dan hai...

Alhamdulillah, awal November 2015 aku berjaya graduasi untuk mendapatkan Ijazah Sarjana. Maka, secara rasmi aku berjaya menamatkan pengajianku selama dua tahun. 

Lepas graduasi ni, memang ramai yang suruh aku sambung terus PhD. Bukan tanya aku, ya. Diulangi, SURUH sambung terus. Yang anehnya, bukan ibu bapa atau adik aku yang beria-ia suruh. Padahal mereka bertigalah yang paling rapat dan paling selalu tengok susah payah aku belajar terutama sekali emakku. Yang beria-ia ni selalunya yang jauh-jauh terutama sekali mak-mak saudara. Ada tu, yang marah-marah kalau aku tak sambung.

Mulut memang cakap senang. Sambung ajelah... kata mereka.
Tapi, aku pernah berjanji dengan diriku sendiri bahawa mungkin aku tak akan sambung ke pengajian yang lebih tinggi lagi. Sebab apa? Sebab Ijazah Sarjana kursus yang aku ambil ini memang antara kursus yang aku teringin nak belajar. Alhamdulillah tercapai. Kedua, pengajianku sehingga peringkat Ijazah Sarjana ini merupakan antara senarai yang aku ingin lakukan sebelum aku mati. Maknanya, menyambung pengajian sehingga ke peringkat PhD. tiada dalam senaraiku buat  masa ini. Tapi, kalau ada rezeki dan berkemampuan, mungkin aku akan sambung. Ketiga, ada lagi panjang senaraiku yang masih belum dilunaskan. Aku mahu selesaikan yang itu dulu. Tapi, orang sekeliling tidak faham kerana mereka sendiri pun tidak tahu kewujudan senarai hidupku ini. 

Aku pula tak terasa mahu untuk mendedahkan senarai-senarai yang ingin aku capai kepada orang lain. Biarlah aku dan Tuhan saja yang tahu. Bagiku ia bersifat sangat peribadi selain daripada beberapa senarai yang mungkin dianggap sangat mustahil. Pasti orang sekeliling akan ikut gelak dengan senarai aku tu. Tapi, aku peduli apa. Ini impian aku. Aku rasa aku berhak untuk impi apa-apa sahaja asalkan tak langgar norma dan batas agama dan budayaku.

Bercerita tentang perjalananku menyambung ke peringkat Sarjana, ia bukan satu perjalanan yang mudah. Pertama kali isi borang untuk sambung, aku gagal. Walaupun tidak dinyatakan apa sebab-sebabnya, tapi aku tahu. Pada masa itu aku belum bekerja dan ibu bapa aku juga tidak bekerja untuk menjadi penjaminku. Itu salah satu sebab utama rasanya. Kali kedua, selepas dua tahun bekerja, aku mencuba nasib lagi. Alhamdulillah, aku berjaya. Namun, belum lagi mula kuliah, aku terpaksa tangguh satu semester atas sebab-sebab peribadi yang tidak dapat dielakkan. Kemudian, selama dua semester kemudiannya, aku bekerja sambil belajar, tetapi tak bertahan lama. Terlalu banyak percanggahan antara kerja dan belajar menyebabkan aku terpaksa memilih antara satu. Maka, aku pilih untuk berhenti kerja dan sambung belajar. Ada dua perasaan kontra yang bermain-main dalam diriku pada waktu itu. Lega dan risau. Aku lega kerana dapat menumpukan sepenuh perhatian pada kuliahku dan lega kerana dapat keluar dari rumah sewaku yang rakan-rakanku sudah tidak mesra lagi padaku. Aku rasa terpinggir sangat masa tu. 

Pada masa yang sama, aku rasa risau kerana aku menanggung sepenuhnya yuran pengajianku. Aku memang ada menyimpan sebahagian daripada gajiku untuk membayar yuran pengajian sehingga akhir belajar. Tapi, lama-kelamaan duit simpanan aku akan habis juga. Aku cuma tawakal dan berdoa pada Allah sahaja pada masa tu. Dalam sebulan dua sebelum aku berhenti kerja, aku hantar berpuluh-puluh resume untuk kerja bebas memandangkan pekerjaan aku ini boleh dilakukan secara bebas (freelance).

Allah Maha Pemurah. Aku dapat beberapa tawaran kerja bebas walaupun kadang-kadang sangkut juga perbelanjaanku. Sehingga sekarang aku masih lagi bekerja secara bebas walaupun semakin kurang tawaran. 

Ya, aku boleh mohon MyBrain15 untuk taja yuran aku. Pada mulanya aku tak mahu mohon. Biar aku bayar sendiri. Itu niat aku masa masuk belajar dulu. Emak aku suruh mohon juga tetapi aku gagal dapat kerana beberapa perkara yang silap. Selepas daripada itu, aku malas nak mohon apa-apa lagi. Senang lagi guna duit sendiri.

Pengalaman aku sepanjang belajar di UKM, secara keseluruhan aku seronok dan penat! Aku seronok belajar benda baharu, dapat belajar dengan pensyarah yang hebat-hebat, dapat penyelia yang sangat membantu dan dapat buat tesis dengan tajuk yang aku pilih sendiri. 

Yang penatnya pula ialah dulu aku bekerja sambil belajar. Siang hari, otak aku dah penat bekerja. Jadi aku terpaksa tidur beberapa jam sebelum mula buat tugasan. Kelas aku pula bertindih dengan waktu kerja. Kena pula ganti waktu kerja dengan hari minggu. Dan, hal rakan-rakan rumah sewa yang tiba-tiba macam tak suka aku. Salah aku, mungkin? Tapi sebelum aku pindah, kami sudah bermaaf-maafan. 

Jujurnya, aku rindu suasana belajar di situ. Aku dapat banyak ilmu. Itu tujuan aku. Untuk cari ilmu sebanyak mungkin. Bukan fasal dapat kerja bagus-bagus sangat. Jadi, aku memang agak rimas apabila orang-orang sekeliling tekan aku dengan hal-hal kerja. Aku minta maaf kalau ia kedengaran idealistik. Aku pegang kata-kata penyelia aku bahawa universiti diwujudkan untuk melahirkan manusia yang berilmu bukan untuk lahirkan pekerja. Lebih kurang begitulah kata-katanya. 

Bekas majikan aku juga nasihati aku supaya tidak terburu-buru atau terlalu ikut kata orang kalau tak bersedia untuk sambung PhD. Aku pegang kata-katanya kerana dia ada pengalaman tersebut.

Kepada yang nak sambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, aku ucapkan selamat belajar. Memang seronok apabila terima surat tawaran dari universiti. Namun keseronokan itu membawa sekali dengan seribu satu tanggungjawab. Apa-apa hal pun, niat kita sangatlah penting. 

Untuk aku yang suka belajar ni, sambung belajar memang sesuatu yang menyeronokkan. 












Friday 30 October 2015

Perihal Rezeki

Salam dan hai...



Berikan definisi rezeki? Apa makna rezeki?
Kalau ditanya pada aku dulu, sewaktu zaman remaja dan awal 20-an, makna rezeki pada aku agak sempit. Wang yang banyak yang boleh memudahkan aku berbelanja apa saja. Bunyinya seperti materialistik sikit, kan? Tapi, aku tak salahkan diri aku seratus peratus kalau ak
u berfikiran sebegitu. Aku ada alasan tersendiri.

Pertama, aku datang bukan daripada keluarga yang senang. Sejak sekolah rendah lagi aku dikelilingi oleh rakan-rakan yang serba mewah. Jadi, aku ada angan-angan yang tinggi untuk jadi kaya walaupun aku tak adalah asyik merungut pada ibu bapa aku kalau kami hidup susah sikit. Mujur aku ada ibu yang sentiasa memberi nasihat dan sokongan. Hidup susah mengajar aku lebih bertingkah laku matang. Tapi, aku juga manusia biasa. Kadang-kadang aku sedih dan marah dengan hidup aku yang serba kekurangan. Aku selalu mengadu pada diri sendiri, kenapa dalam ramai-ramai orang, aku yang selalu jadi pilihan Tuhan untuk menghadapi semua ini? Kenapa keluarga aku? Kenapa tak orang lain?

Pertanyaan-pertanyaan itu dijawab oleh Tuhanku seiring dengan umur dan pengalamanku. Semakin lama aku berjalan dan bernafas di muka bumi Tuhan ini, semakin aku mengerti makna rezeki. Rezeki Tuhan itu luas maknanya. Bukan semata-mata yang kita dapat pegang dan rasa dengan tangan. 

Aku masih lagi bergelut mencari rezeki, atau secara kasarnya masih lagi terkial-kial mencari duit untuk teruskan kehidupan. Ya, duit memang penting, tapi ada satu lagi perkara tentang rezeki yang buat aku sedar duit bukan segala-galanya.


Mungkin perasaan aku atau Tuhan memang sengaja letakkan aku di tempat ini untuk aku belajar sesuatu. Apa yang aku mulai perasan sejak akhir-akhir ini, rezeki datang dalam bentuk bantuan. Bukan aku yang dibantu, tetapi sebaliknya. Aku yang membantu orang lain. 

Pada mulanya aku tak faham, tak mahu ambil faham, marah dan berkira apabila susah saja, ramai pula yang tiba-tiba datang pada aku. Daripada mengadu hal-hal remeh, hal peribadi, pinjam duit, hal belajar dan kerja. Aku pula sebenarnya memang suka membantu orang, tetapi kalau kerap kali minta bantuan, aku mulai jadi rimas. Dan bermulalah monolog dalaman yang merungut mengatakan aku jarang-jarang sekali menerima bantuan orang lain. Malah, kadang-kadang tidak diendahkan pun.


Tapi lama-kelamaan aku mulai faham. Itu rupa-rupanya bahagian aku. Rezeki membantu orang lain itu adalah rezeki aku yang diberi oleh Tuhanku. Dan aku mengetahuinya ini pun bukan sudah lama. Baru lagi... baru sangat. Selama berpuluh tahun aku hidup dalam dunia ini, baru sekarang aku sedar. Mujur aku sedar...

Jadi, apa aku buat sekarang ni? Masih merungut dan kompelin? Err... aku cuba berfikiran optimis dan positif. Aku masih lagi manusia yang penuh khilaf. Kadang-kadang rasa kecil hati bermain-main juga di hati. Namun, kalau hendak dikira rezeki yang Tuhan sendiri bagi pada aku, memang tak terhitung. Kadang-kadang, tanpa sebarang tanda, ada saja rezeki terpijak yang aku tidak sangka. 


Tuhanku Yang Maha Penyayang dan Pengasih. Jujur, aku rasa malu pada-Mu!

Kesimpulannya, setiap daripada kita punya bahagian rezeki masing-masing. Sama ada kita sedar atau tidak. Sama ada kita bersyukur atau tidak. Kita mahu pandang dari sudut mana? Negatif atau positif? Tepuk dada tanyalah selera masing-masing.


Friday 23 October 2015

Menonton The Orphanage (2007)

Salam dan hai...


Rasanya sudah lama aku tidak menonton sebuah filem seram. Aku bukanlah penggemar filem seram dan aku tidaklah seratus peratus membenci filem-filem seram.

Ada beberapa buah filem yang aku gemar dan The Orphanage (2007) adalah salah satu di antaranya. Malah, tak salah kalau aku katakan yang filem ini bukanlah sebuah filem hantu. Ia sebuah filem tentang pertolongan. Aku rasa filem seram dengan tema meminta tolong pada yang hidup selalunya tak dapat dipisahkan.

Ia mengisahkan tentang Laura, seorang anak yatim piatu kembali semula tinggal di rumah anak yatimnya semasa kecil bersama si suami, Carlos dan anak angkat mereka, Simon yang juga anak yatim piatu.

 Anak Laura, Simon hilang setelah berlaku sedikit salah faham di antara mereka berdua. Hal ini kerana Simon memberitahu ibu bapanya yang dia dapat melihat kawan-kawannya seramai enam orang. Laura dan Carlos pula menyangka itu hanyalah rakan-rakan khayalan anaknya saja.

Kehilangan Simon telah membawa Laura dan Carlos akan satu misteri di rumah mereka itu. Carlos yang tidak mempercayai sebarang hal tahyul memujuk Laura keluar beberapa hari dari rumah itu yang akhirnya hanya Carlos seorang saja yang bercuti. Laura pula mula mempercayai bahawa rakan-rakan khayalan anaknya itu bukan khayalan.

Filem ini sebenarnya bagi aku seram dalam kesedihan. Selalunya filem yang melibatkan ibu, bapa, budak kecil atau haiwan pasti mengundang kesedihan. Filem ini kisah bercerita tentang satu hubungan zaman-berzaman iaitu hubungan ibu dan anak. Ia juga bercerita tentang kisah persahabatan yang mengundang kecelakaan.

Aku rasa, babak paling seram dalam filem ni adalah sewaktu Laura kembali meniru semula aksi permainan zaman kanak-kanaknya iaitu bermain sorok-sorok untuk panggil semula 'rakan-rakan khayalan' anaknya dalam usaha mencari petanda kehilangan anaknya itu. Walau tak ada muka hantu yang koyak rabak dalam filem ini, tetap ia menyeramkan.

Pengakhiran cerita ini membawa satu kesayuan yang teramat dalam diri aku. Ia berakhir antara dua perasaan, sedih dan gembira. Sebagai penonton, kau pilihlah yang mana satu kau mahu akhirinya.

Wednesday 14 October 2015

Nikmat Paling Padat

Salam dan hai...


Persoalan yang tercetus malam ini... 
Apakah nikmat paling padat yang pernah kau dapat sepanjang kehidupan kau?
Nikmat duit, tidur lena, makanan mewah atau pasangan yang menyenangkan?

Memang itu semua nikmat padat. Tapi lain orang lain nikmatnya.

Mengira nikmat yang diberi memang tak pernah habis. Ada juga yang merungut, katanya tak cukup apa yang dia dapat dengan kehidupan. Akulah salah seorang antaranya.

Dulu, aku sering juga merungut fasal makanan yang aku tak selera nak makan (maklumlah selera besar). Kalau susah sikit, aku merungut. Padahal kami sekeluarga dah berbelas tahun hidup susah dan berjimat cermat. Itu pun aku masih merungut. Kemudian, kadang-kadang aku tangisi hidup aku yang sering tidak dapat apa yang aku mahu. Padahal, kalau orang lain tu senang-senang saja dapat. Ini bukan saja-saja kata. Boleh dikatakan, tak kira apa yang aku nak sangat contoh, dari segi pelajaran, pekerjaan, kawan-kawan, teman hidup, kewangan, memang aku agak susah sikit untuk mencapai sesuatu. Maknanya, kena kerja kuat daripada orang lain ataupun memang ia bukan rezeki aku. Itulah yang selalu ulang-ulang pada mak aku... semua benda yang aku buat atau nak mesti rezeki kurang menyebelahi aku. Kalau ada rezeki, memang aku susah sikit nak percaya. Maklumlah jarang-jarang dapat.

Dan, inilah yang aku nak cerita. Kalau menurut puisi A. Samad Said yang berjudul Nikmat.

Segala yang dihasrat
tapi tak didapat
adalah nikmat 
yang paling padat.

Nah! Ringkas saja, tapi memang padat. Pada mulanya, aku tak berapa faham dengan isi puisi ini sehinggalah kefahaman ini akhirnya diilhamkan oleh Allah melalui pengalaman hidup aku sendiri.

Memang pada mulanya, aku sering hidup dalam kekecewaan, rasa terpinggir, dan kesedihan. Namun, apabila seorang hamba Allah yang ilmunya tinggi memberitahu aku bahawa aku kena banyak-banyak bersabar kerana itu adalah kekuatan aku. Kalau aku tak sabar, habislah aku. Aku gagal. Mungkin maksudnya gagal dalam hidup? Dalam ujian kehidupan?

Aku ambil nasihat tu betul-betul. Aku cuba sabar walau selalu juga merungut. Tapi, dari tahun ke tahun apabila aku meningkat dewasa, pengalaman dan ilmu yang dipinjamkan Allah memang banyak mengajarku. Aku cuba bersabar hatta untuk perkara-perkara kecil walaupun selalu juga terlepas. Aku cuba untuk banyakkan diam daripada merungut dan bercakap yang bukan-bukan, walaupun tak dinafikan aku kadang-kadang khilaf dan lupa. Selalu juga main cakap yang bukan-bukan, marah-marah tak tentu fasal. Tapi syukur, Allah sedarkan aku secepat mungkin dan aku istighfar. Aku masih lagi belajar. Masih lagi penuh dosa dan silap.

Berkenaan dengan puisi A. Samad Said tersebut dan kehidupanku, aku mula mencerna makna puisi tersebut. Benarlah kata beliau, apabila aku mulai tidak memperolehi apa yang aku inginkan, Allah sentiasa memberi nikmat padaku untuk muhasabah dan cuba mengingati-Nya kembali. Maklumlah, manusia mudah alpa dengan kesenangan dan kehendak masing-masing.

Dan, percayalah padaku, tawakal, sabar dan usaha sangat memainkan peranan dalam kehidupan. Sekurang-kurangnya dalam kehidupanku. Satu per satu Allah mula tunjukkan apabila kita benar-benar berpegang teguh pada-Nya. Sehingga kadang-kadang bagai tak percaya semua ini berlaku padaku. Aku selalu berkata pada diri sendiri, kehidupan ini adalah sesuatu yang magis dan ajaib. Tuhan mampu lakukan apa saja tanpa kita duga. Itulah magisnya!

Maka nikmat Tuhanmu yang manakah kamu dustakan? (Surah ar-Rahman). 


Thursday 1 October 2015

Menonton Drishyam (2013)

Salam dan hai...


Hari ini aku nak bercerita tentang sebuah filem dari India berbahasa Malayalam yang sangat menarik. Drishyam dalam Bahasa Inggeris bermaksud Visual/ The Sight. Pada mulanya, aku tertanya-tanya mengapa filem ini diberikan judul sebegitu rupa, sehinggalah akhirnya satu per satu misteri cerita ini terbongkar. Sebenarnya, di awal permulaan ceritanya lagi pengarah sudah tunjukkan watak utamanya iaitu Georgekutty (dilakonkan oleh Mohanlal) mula menggambarkan sesuatu dalam fikirannya. 

Secara ringkas, filem ini menceritakan tentang kehidupan sebuah keluarga bahagia yang terdiri daripada si bapa iaitu Georgekutty, si ibu, Rani (lakonan Meena), kakak sulung, Anju dan adik bongsu iaitu Anu. Mereka tinggal di sebuah perkampungan sunyi di Rajakkad. Georgekutty merupakan anak yatim piatu dan bersekolah setakat darjah empat sahaja. Dia menjalakan perniagaan kabel TV di kampung ini. Maka, pekerjaannya banyak berkisar dengan filem dan drama yang ditonton melalui kabel TV tersebut. Isterinya pula suri rumah tangga sepenuh masa, manakala anak sulung dan bongsunya masing-masing bersekolah menengah dan rendah. Kejadian tidak terduga berlaku apabila isteri dan anak sulungnya secara tidak sengaja terbunuh seorang remaja lelaki bernama Varun yang cuba untuk memperkosa dan mengugut Anju. Hendak dijadikan cerita, Varun merupakan anak tunggal kepada seorang pegawai polis pangkat tinggi bernama Geetha Prabhakar. Maka, melalui peristiwa itulah kehidupan keluarga mereka mula berubah dan Geetha bersama pembantu-pembantunya cuba mengorek misteri kehilangan anaknya itu.

Filem ini bermula dengan agak perlahan di mana penonton akan disajikan dengan kehidupan keluarga bahagia Georgekutty. Seperti dalam novel, pengarah memperkenalkan watak-watak dan perwatakan mereka setiap satu supaya penonton tidak 'lost' untuk babak seterusnya yang lebih mencabar dan saspens. Kesemua babak permulaan ceritanya walaupun tiada konflik, tetap penting sebagai klu kepada misteri-misteri yang akan berlaku kepada keluarga Georgekutty. 

Aku tak mahu cerita lanjut tentang isi filem ini kerana ia merupakan sebuah filem saspens dan misteri. Sebenarnya, penonton sudah tahu awal-awal tentang kehilangan Varun tetapi apa yang membuatkan filem ini sedikit lain daripada filem misteri yang lain adalah bagaimana Georgekutty dan keluarganya cuba menyelamatkan diri Varun daripada terus dituduh kepada kehilangan Varun. Bagi aku filem ini mengangkat tema kekeluargaan yang tinggi di mana seorang ayah dan ketua keluarga berusaha bermati-matian melindungi keluarganya daripada ancaman. Tiada aksi pergaduhan, hanya perlu kebijaksanaan, ketelitian dan mata hati untuk melindungi keluarga. Sebab itulah filem ini diberi judul Drishyam. Dan, jangan cuba pandang rendah pada lelaki yang bersekolah setakat darjah empat sahaja.

Filem ini telah difilemkan semula sebanyak tiga kali. Salah satunya difilemkan di Bollywood  berbahasa Hindi dengan judul yang sama pada tahun 2015. Para pelakonnya pula terdiri daripada Ajay Devgan dan Tabu. 


Janganlah anda tertipu apabila melihat poster filem ini yang penuh ketenangan. Dan apabila anda sudah menontonnya, barulah anda akan mengangguk tersenyum melihat poster ini yang rupanya mempunyai kaitan yang kuat dengan jalan ceritanya. 

Drishyam, sebuah filem misteri/keluarga. 


  

Wednesday 16 September 2015

Menonton Rent-a-Cat (2012)

"Kadangkala, ada orang yang kita tinggalkan dengan ucapan; "Jumpa lagi', tapi sebernanya kita tidak akan berjumpa dengannya lagi." (Sayako).

Rent-a-Cat mengisahkan tentang seorang gadis muda bernama Sayako yang disukai oleh kucing. Malah, dia dikatakan sering diikuti dan menarik perhatian kucing-kucing di sekitarnya. Menurutnya, tarikan itu mungkin diwarisi oleh mendiang neneknya yang juga gemar dan digemari oleh kucing-kucing.


Sayako digambarkan sebagai seorang gadis yang hidup dalam kesunyian. Tiada rakan-rakan dan hanya tinggal dengan kucing-kucingnya sahaja semenjak kematian neneknya. Lalu, dia mula meletakkan matlamat dalam hidupnya dengan menulis dan menampal matlamat tersebut di dinding rumahnya. Matlamat utamanya adalah untuk berumah tangga pada tahun itu juga tanpa melihat pada paras rupa si lelaki.

Sayako juga menyewakan kucing-kucingnya kepada sesiapa yang kesunyian. Menonton watak Sayako, aku teringat tentang watak Amelie dalam filem Amelie (2001) dari Perancis.

Seperti Amelie, Sayako cuba membantu para pelanggannya yang kesunyian sedangkan diri sendiri masih mencari-cari sesuatu (atau seseorang) untuk mengisi kekosongan hatinya. Walaupun, secara luaran Sayako kelihatan seperti seorang yang ceria (berdasarkan warna-warni pakaiannya) atau seorang gadis yang aneh (menyewa kucing-kucing untuk manusia kesunyian dan dengan harga yang sangat murah).

Ia sebuah kisah yang ringkas, tetapi ada terselit satu kesenangan sewaktu menonton filem ini. Mungkin bagi sesetengah orang, filem ini agak membosankan kerana ia bergerak agak perlahan. Namun, jalan cerita yang bergerak perlahan itulah bagi aku menggambarkan kesunyian yang dialami oleh Sayako. 

Sayako adalah pantulan kepada manusia yang kesunyian dalam dunia yang sangat bising ini. Sayako itu mungkin kau. Sayako itu mungkin aku.

Pendek kata, filem ini adalah tentang kucing, kesunyian... kesunyian... kesunyian... kerinduan
dan mengisi hati yang kosong.




Thursday 10 September 2015

Membaca 9 dari Nadira oleh Leila S. Chudori

Salam dan hai...


Pernahkah kau rasakan kehilangan seseorang sehingga menyebabkan kau mengalami kemurungan yang dahsyat? 

Sembilan buah cerita pendek dari Indonesia ini mengisahkan tentang seorang wanita bernama Nadira yang menghadapi sehari-hari kehidupannya setelah kematian mengejut ibunya akibat bunuh diri.

Kematian ibunya benar-benar memberi tamparan hebat buat Nadira. Di pejabat, Nadira jarang bergaul dengan orang lain dan lebih gemar membuat hal sendiri. Setelah ketiadaan
ibunya, Nadira lebih selesa duduk terperuk di bawah meja kerjanya atau jika tidak pun, sering meminta kerja lebih daripada majikannya.

Cerpen-cerpen ini bukan hanya berkisar tentang Nadira semata-mata. Ia melangkaui kisah cinta ibu bapanya, kisah cinta kakak dan abangnya serta kisah cintanya sendiri. Sebelum dan selepas kematian ibunya.

Bagi aku setakat ini, buku ini merupakan antara naskhah Indonesia terbaik yang pernah aku baca. Malah, ia juga mendapat beberapa pengiktirafan sastera. Pengarang bijak mengeluarkan dan menyampaikan emosi Nadira melalui cerpen-cerpennya. Bukan senang seorang pengarang mahu mempersembahkan emosi melalui aksara dan perkataan. Membaca cerpen-cerpen ini sekali gus mengikat aku untuk turut rasa kemurungan, tekanan dan kesedihan tak terucap yang dialami oleh Nadira.

Seperti yang aku tanyakan di awal entri ini... Pernahkah kau rasakan kehilangan seseorang sehingga kau mengalami kemurungan yang dahsyat?

Ya, aku pernah. Bukan kematian. Tetapi kehilangan orang dari hidupku lalu berhijrah meninggalkan tanpa dia sedari aku merana seorang diri.

Lalu, aku teringat lagu Ramli Sarip, Negeri Cinta~

Thursday 3 September 2015

Kata Kunci: Sabar dan Syukur

Salam dan Hai...


Sebenarnya sudah beberapa hari aku berfikir tentang ini. Mungkin kerana sejak akhir-akhir ini aku mengalami satu ujian yang agak berat dalam hidup. Ujian untuk terus survive. Ia seakan-akan satu putaran dalam hidupku. Teringat pula pemikiran Nietzsche tentang eternal recurrence. Kehidupan ini adalah tentang pengulangan semula. 

"This life as you now live it and have lived it, you will have to live once more and innumerable times more; and there will be nothing new in it, but every pain and every joy and every thought and sigh and everything unutterably small or great in your life will have to return to you, all in the same succession and sequence." - The Gay Science oleh Nietzsche.

Terpulang pada seseorang sama ada mahu mempercayai atau tidak. Bagi aku pula, kadang-kadang Tuhan hantarkan ujian berulang kali padaku sebagai satu peringatan. Mungkin ada yang perlu diperbetulkan sana sini. Atau mungkin juga Tuhan mahu aku sabar. Sabarlah...


Apa yang aku cuba nak beritahu adalah tentang syukur dan syukur ini ada kaitan rapat dengan sabar. Perkataan 'syukur' itu sendiri memang sudah sinonim dengan aku. Lebih-lebih lagi apabila dilahirkan sebagai seorang Islam. Namun, sejauh manakah rasa syukur itu benar-benar meresap dalam diri?

Aku mengakui, waktu aku berada dalam keadaan susahlah, macam-macam perkara bermain dalam fikiran aku. Adakah Tuhan sedang menghukumku atas dosa-dosa dan kesalahan yang lepas? Atau adakah ini tanda dan bukti sayang-Nya kepadaku? Namun, dari sehari ke sehari, aku mulai belajar sesuatu.

Apa-apa yang aku dapat sama ada rasa susah, sedih, murung, gembira, perlu diiringi rasa syukur yang tak berbelah bahagi kepada Tuhanku, Allah yang Maha Agung. Saat aku tak mampu berbuat apa-apa selepas habis berusaha, bersyukurlah. Itu yang aku sedang lakukan sekarang dan aku mengharapkan rasa syukur ini berterusan sampai bila-bila.

Tapi, bukan senang untuk aku untuk terus istiqamah dengan perasaan syukur ni. Banyak sangat dugaan memandangkan aku ni seorang yang tak tetap moodnya. Kadang-kadang kalau rasa susah sikit hidup, semua orang aku nak marah. Sebab itulah aku kata syukur dan sabar ini berkaitan antara satu sama lain. Kalau aku mampu sabar bermakna aku mampu bersyukur.

Dan, percayalah... sabar dan syukur ni sebenarnya mampu membuat kita jadi lebih tenang dan tak panik. Sebab apa aku berani kata macam ni, sebab aku dah mengalaminya sendiri. Aku seorang yang cepat panik dan gelabah tak tentu hala. Malah untuk perkara-perkara yang aku tak mampu kawal pun, aku akan jadi panik. Natijahnya, aku akan cepat marah. Tapi, bila aku mula berjinak-jinak untuk kawal marah aku dan cuba bersabar (mungkin faktor kedewasaan mengajar aku lebih matang), aku mulai rasa tenang. Bila rasa tenang tu hadir, secara automatik rasa syukur pun akan datang perlahan-lahan.

Antara sebab lain aku mula memikirkan tentang sabar dan syukur ni selain daripada salah satu cara untuk aku survive dalam kehidupan yang mendesak ni, sebab lainnya adalah aku dah penat jadi diri aku yang moody, suka mengeluh dan merungut tiba-tiba. Aku dah bosan!! 

Baru-baru ni aku berkesempatan untuk sedekah makanan untuk gelandangan di sekitar Kuala Lumpur. Aku tak perlu lihat jauh-jauh untuk cari pengajaran. Cuma aku rasa bersyukur sangat aku dapat tidur dengan selesa walau duduk dalam bilik yang panas (bilik tak ada penghawa dingin), walau bilik aku agak kecil. Berbanding mereka yang tidur atas kaki lima dan berbau hancing.

Semoga rasa sabar dan syukur ini akan berkekalan sampai bila-bila. Percayalah, apabila kau mula berusaha untuk jadi manusia yang lebih baik, Tuhan yang Maha Penyayang akan tunjukkan jalannya :)

Nota: Ini hanyalah pendapat peribadi penulis. 

Wednesday 2 September 2015

Menonton Piku (2015)

Salam dan hai...

Semalam aku selesai menonton sebuah naskhah dari Bollywood yang berjudul Piku. Piku mengisahkan tentang seorang wanita bujang berumur 30 tahun iaitu Piku (Deepika Padukone) yang tinggal bersama bapanya yang berumur 70 tahun, Bhaskor Banerjee (Amitabh Bachchan). Piku digambarkan sebagai seorang wanita moden (dia bekerja sebagai arikitek), bebas, serta tidak terikat dengan komitmen perhubungan serius. Namun, secara tidak langsung  penonton dibawa menelusuri konflik emosi yang melanda dirinya. 

Sebagai contoh, Piku sering ke tempat kerja menaiki teksi. Namun, pada masa yang sama, pemandu-pemandu teksi yang pernah menjadi pemandunya selalunya serik atau takut untuk menghantar dan menjemputnya disebabkan oleh sikapnya yang menjengkelkan, garang dan 'bossy'. 

Sehinggalah tuan punya syarikat teksi iaitu Rana Chaudhary (Irrfan Khan) terpaksa menghantar Piku dan bapanya ke Kalkutta, kampung halaman mereka. Di situ, kehidupan Piku dan bapanya benar-benar 'dibongkarkan' di hadapan orang asing - Rana.

Bapa Piku pula seorang lelaki yang aneh. Dia bersikap seperti kebanyakan orang tua yang menjengkelkan. Sering membuatkan anaknya tidak senang duduk dan sangat ambil berat (baca: risau) tentang masalah kesihatannya terutama masalah sembelitnya.

Namun, di sebalik sikap stereotaipnya, bapa Piku tidak seperti bapa-bapa yang lain yang risau jika anak gadisnya tidak berkahwin. Malah, dia melarang (atau tak menggalakkan anaknya berkahwin). Katanya, seseorang yang berkahwin dengan wanita atas sebab seks dan menjadikan wanita sebagai pengurus rumah tangga, adalah seorang yang rendah IQ-nya. Malah, apabila Piku mula berjinak-jinak untuk memulakan hubungan dengan lelaki, bapanya segera memberitahu yang Piku adalah seorang, "financially, emotionally and sexually independent, non-virgin woman"

Hubungan Piku dan bapanya merupakan satu hubungan yang aneh gabungan antara moden dan tradisional. Piku seorang wanita moden, tapi pada masa sama masih lagi bersikap tradisional. Dia masih lagi tinggal dengan bapanya, menguruskan hal ehwal bapanya dan mendengar kata bapanya walaupun cuba melawan. Manakala, Bhaskor (bapa Piku) digambarkan seorang bapa stereotaip dan mengamalkan ideologi partriarki seperti Piku dan orang-orang sekelilingnya harus mendengar katanya, tapi pada masa sama tidak menganggap wanita sebagai objek seks dan hamba abdi semata-mata.

Peranan Rana juga tidak patut dikesampingkan. Dia dilihat sebagai seorang lelaki yang cuba untuk memahami keluarga Piku. Walaupun pada mulanya dia agak 'takut' dengan Piku, tetapi perjalanan selama 46 jam bersama Piku dan Bhaskor ke Kalkutta membuatkan dia sedikit selesa. Malah, sebagai orang luar, Rana melihat hubungan Piku-Bhaskor lebih menyeluruh dan kerana itulah dia dapat menegur sikap Bhaskor yang pentingkan diri itu.

Hubungan Rana-Piku juga walaupun tidak menonjolkan perasaan cinta secara terang-terangan, tetapi gerak tubuh dan bahasa kiasan yang 'subtle' sekali-sekala memberitahu bahawa mereka menyembunyikan perasaan masing-masing.

Secara keseluruhannya, filem Piku merupakan sebuah filem yang straight-forward, maknanya tidak ada adegan atau babak yang benar-benar mengejutkan tetapi ia sebuah naskhah yang aku senangi. Menonton filem ini secara tak langsung membuat aku terfikir tentang hubungan kita sebagai anak atau ayah. Lebih-lebih lagi anak perempuan. Piku memberitahu penonton, sepelik, seaneh dan betapa tak sependapat pun antara kita dan bapa, tetap kedua-duanya memerlukan satu sama lain.

Nota: Antara sebab lain aku menonton filem ini adalah kerana Deepika Padukone dan Irrfan Khan!


Thursday 27 August 2015

Membaca Zikir Rindu oleh Azizi Abdullah

Salam dan hai...


Aku baru selesai membaca sebuah novel berat karya Allahyarham Azizi Haji Abdullah iaitu Zikir Rindu (2009). Novel ini merupakan novel yang memang masuk dalam senarai 'akan dibaca' olehku. Tetapi, aku seringkali menangguh-nangguh untuk membacanya. Sama ada aku tidak ketemu dengan buku ini atau memang bukan masa yang sesuai untuk membaca naskhah tersebut. Maklumlah, walaupun aku ini seorang peminat, pembaca dan pengumpul buku, hubungan aku dengan buku juga ada pasang surutnya. 

Aku mahu membaca Zikir Rindu kerana tertarik dengan blurb di belakang bukunya yang mengisahkan tentang seorang lelaki tua  iaitu 'Aku' yang dicintai oleh wanita yang jauh lebih muda daripadanya. Memandangkan pengarangnya sendiri memberitahu di belakang blurb bahawa sepanjang beliau menghasilkan novel, dengan Zikir Rindu inilah beliau mula merasakan nikmat bercinta, rindu dan kasih sayang. 

Hmm... sounds promising, kan? Aku yang membacanya mulalah terbayang tentang asyik maksyuk sepasang kekasih yang memadu asmara dalam novel ini. Namun, sangkaanku meleset. Ya, memang benar ia berkisah tentang seorang lelaki yang tergila-gilakan seorang wanita yang jauh lebih muda iaitu, Dee dan begitu juga sebaliknya. Tetapi, bukan itu yang betul-betul ingin disampaikan oleh pengarang.

Ini sebuah kisah manusia yang melalui penderitaan, kepayahan dan kesengsaraan mengecap cinta Kekasih sebenar. Kasih dan cinta Tuhan yang Maha Agung, Maha Cinta, Maha Penyayang. Sungguh... bagaimanalah aku tak terfikir yang pengarang ingin bercerita tentang Kekasih yang Satu ini sedangkan sudah beberapa buah buku beliau aku telah baca sebelum ini.

Sesungguhnya, aku bersyukur kerana ditemukan novel ini tepat pada waktunya. Aku tidak memiliki novel ini, sebaliknya aku pinjam di salah sebuah perpustakaan awam berdekatan dengan rumahku. 

Dalam keadaan aku mencari, merindui, mengasihi sesuatu yang tak pasti, novel ini telah menyedarkan aku, malah tanpa malu-malu aku mengakui sedikit sebanyak pengarannya berjaya menampar ego dan emosiku. Aku membaca novel ini dalam keadaan aku terhuyun-hayang dengan perasaan sendiri. Perasaan yang dibuat-buat. 

Dalam keadaan aku mencari-cari cinta Kekasih sejati di sepertiga malam, sungguh aku mengakui, aku adalah seperti watak Aku dalam naskhah ini, masih terjebak dengan perasaan iri, buruk sangka, marah, dendam, rindu yang dilarang, dan waswas. Watak Aku secara tidak langsung adalah cerminan diriku sendiri.

Menurut  pengarangnya, naskhah ini dikarang untuk, "Mengajak mereka yang kering rasa, yang putus asa dengan cinta, yang kecewa dengan harapan yang luluh dengan janji manis agar sama-sama bermunajat di kolam rasa. Di sana ada Kekasih setia yang menunggu . Tempatnya mudah; di padang malam di lubuk dinihari. Riadahnya tahajud seorang diri, kemudian berinteraksi dengan Kekasih lalu mengadu memohon ketenangan jiwa."

Buat pengarangnya, Allahyarham Azizi Haji Abdullah, terima kasih atas naskhah yang meruntun jiwaku ini. Al-Fatihah.


"Tanda cinta selalunya hendak berjumpa!"
"Itulah yang aku harap, tapi kau mengelak!" tempikku.

"Cintalah kepada-Nya. Selalulah berjumpa-Nya!"
"Bisiklah cintamu selalu!"
"Belajarlah daripada kesepian, belajarlah cara keasyikan dalam taat dan cubalah takut pada diri sendiri. Simpanlah rahsia cinta betapa pun cinta itu amat menggelodak!"

(Zikir Rindu, Azizi Abdullah)

Wednesday 26 August 2015

Rindu

Salam dan hai...

Tak kusangka rindu yang membuak-buak mampu membuatkan seseorang itu mengalami kemurungan dan kesepian yang memilukan.

Sejak akhir-akhir ini aku mengalami satu perasaan rindu yang aneh. Secara literalnya, bukan pada seseorang atau individu. Tapi pada kenangan.

Percayalah, aku sekarang dalam perjalanan menghadapi kemurungan dan kesepian yang memilukan. Aku dalam usaha menyibukkan diriku dengan pelbagai perkara.

Dan, ini bukan semata-mata tentang rindu, pilu dan murung. Ia melibatkan tentang perkara yang jauh lebih aneh dan misteri. Sahihlah yang perasaan manusia memang sendiri mampu membuat manusia itu keliru.

Ini hanyalah luahan perasaan spontan. Sememangnya ada kena-mengena antara yang hidup ketika ini. Dan, jika ada yang tidak mengerti apa yang kukarang di sini, aku faham. Bukan semua perkara perlu kefahaman sama rata. Malah, tingkat rindu masing-masing pun berbeza-beza.

Aku mengharap kenangan yang kurindui ini hadir dalam mimpi-mimpiku, lalu membasuh segala kerinduan.

Malangnya, ketika ia hadir lewat mimpi-mimpiku, ia lagi menambah rasa rinduku.


Nah, baru kesedar, kerana rindulah, perkara yang sekecil-kecilnya menjadi sangat bererti!

Nota: Setiap kali aku menyebut perkataan 'rindu' dalam hatiku, lagu ini pasti muncul dalam kepala. Sebuah lagu dengan lirik yang penuh kenangan.



Thursday 20 August 2015

Menonton The Red Violin (1998)

Salam dan hai...




Ulasan ini merupakan ulasan yang aku post di grup Facebook Movie Addict suatu masa dulu (tapi taklah lama sangat masanya).

Filem ini merupakan antara filem kegemaran aku.

Selesai menonton The Red Violin, salah sebuah filem dari Kanada. Mengisahkan tentang sebuah biola merah yang mempunyai cerita yang panjang. Secara ringkasnya ia mengisahkan tentang sebuah biola antik yang dicipta oleh Nicolò Bussotti, seorang pembuat biola di Itali pada tahun 1681. Biola tersebut telah direka khas oleh Bussotti sebagai sebuah mahakarya beliau dan beliau berharap anak dalam kandungan isterinya akan menjadi seorang ahli muzik yang hebat.

Malangnya , isterinya, Anna Rudolfi, mati ketika melahirkan anak mereka sewaktu Bussoti tengah bertungkus lumus menyiapkan biolanya itu. Sebelum Anna meninggal dunia, pembantu mereka, Cesca telah meramal masa depan anak yang dikandungnya itu berdasarkan lima keping kad tarot yang dipilih. Dan ia sebenarnya ialah ramalan tentang masa depan biola merah itu sendiri.

Selama empat kurun dan lima buah negara, biola itu berganti pemilik. Bermula dari tahun 1681 sehinggalah ke tahun 1997.

‘Pelakon’ utama filem ini sebenarnya adalah biola merah itu dimana ia telah dibawa merentasi masa dan tempat iaitu bermula dari Cremona, Vienna, Oxford, Shanghai dan akhirnya ke Montreal untuk dilelong. Filem ini menceritakan bagaimana sebuah biola yang tidak bernyawa boleh menjadi begitu ‘bernyawa’ dan menguasai kehidupan setiap pemiliknya. 


Sehinggalah akhirnya penonton dibongkarkan dengan satu rahsia lain tentang pembuatan biola merah itu yang menjadikan ia unik dan sangat berharga.

Penceritaannya agak mudah untuk diikuti walaupun terdapat banyak teknik imbas kembali. Skor muziknya juga membantu jalan cerita. The Red Violin membawa penonton menyedari betapa kuasa muzik mampu mengungkap satu rasa kerinduan yang mendalam, gejolak nafsu malah ia juga dianggap sebagai satu simbol kejahatan.