Saturday 19 March 2016

Semoga Sampai ke Syurga

Salam dan hai...

Aku baru pulang dari sebuha majlis kenduri perkahwinan tadi. Aku memang sengaja bertolak lambat. Jam 2.40 petang macam tu baru bertolak dari rumah. Selalunya kalau ada mana-mana kenduri kahwin, aku akan bertolak awal. Kadang-kadang jam 11 pagi sudah keluar rumah sebab takut sesat. Dan kalau sesat pula memang akan lewat satu jam.

Aku keluar lambat sebabnya aku  tak nak ternanti-nanti menunggu ketibaan pengantin yang merangkap rakan sekelas aku di UKM dulu. Nanti tak ada tempat duduk pula sambil nak menunggu. Takkanlah aku akan pentingkan diri duduk-duduk tanpa rasa bersalah walau selesai makan, sedangkan ada yang lain menanti tempat dudukku.

Aku sampai ke dewan majlis lagi 45 minit sebelum majlis tamat. Memang ramai dah nak balik. Lepas aku sahkan itu memang pengantinnya, aku pergi menjamu selera dulu. Senang juga menjamu selera waktu tak ramai orang. Tak payah beratur dan berebut meja. Aku makan sambil kedua-dua mempelai menghiasi pandanganku di atas pelamin. 

Selesai makan, aku duduk-duduk sebentar. Sambil buka cerita pada mak macam mana aku kenal si pengantin. Pengantin perempuan ni rakan sekelas aku di UKM, tapi tak semua kelas dia sama denganku. Disebabkan dia pelajar separuh masa, bekerja sambil belajar, umur pun lebih kurang aje (dia tua setahun daripadaku), jadi banyak benda aku boleh kongsi sekali. Terutama bab kerja sambil belajar tu.  

Aku tak tahulah jika itu buat aku jadi rakan sekelas dia paling rapat dalam banyak-banyak rakan lain di UKM. Aku senang kawan dengan dia sebab dia lemah-lembut terutamanya. Walaupun aku perempuan, aku suka tengok perempuan cakap lemah-lembut sebab aku sendiri belum mampu jadi macam tu. Aku mengaku cara aku dibesarkan mempengaruhi perwatakan aku. Mak dan ayah aku bukan dalam kalangan orang yang lemah-lembut. Kami kadang-kadang agak kasar antara kami. Cakap pun kadang-kadang macam jerit, padahal kita orang okey aje. 

Selain itu, seperti yang aku katakan, kami berkongsi masalah yang sama - kerja sambil belajar walaupun aku sempat kerja sambil belajar selama 2 semester saja sebelum terpaksa berhenti.

Ketiga, selepas aku graduasi, ada sekali-sekala kami berhubung. Dia cerita fasal masalah tesis dia dan aku cuba tolong apa yang mampu. 

Dari jauh tadi masa aku dekat meja makan, dia melambai-lambai pada aku. Aku lambai-lambai juga walaupun aku risau kut-kut dia lambai kat orang lain. Dua kali dia lambai suruh datang pada dia kat pelamin.

Apabila kami berjumpa tadi, aku nampak muka dia gembira sangat. Tak sangka aku pun boleh terharu dapat jumpa dia. Dia siap suruh aku doakan perjalanan tesis dia dan teringin nak jumpa lagi lepas ni. Harap-harap hubungan aku dengan dia bukan setakat di fakulti saja. 

Cerita fasal kenduri kahwin ni biasa-biasa saja. Tapi entah seminggu dua lepas dapat kad dia, hati aku kuat nak pergi hadiri majlis dia, alhamdulillah Allah makbulkan. Aku tak terkilan. :)