Sunday 21 February 2016

Dua situasi dan Dua Orang yang Berbeza

Salam dan hai...

Kejadian ini berlaku semalam, 20 Februari 2016 kira-kira 6.45 petang macam tu. Aku, mak dan adikku ke pasar malam berdekatan dengan kawasan perumahan kami. 

Sewaktu kami mahu membeli ikan bilis, di belakang kami ada seorang perempuan dan anak kecil duduk di atas jalan tar sambil meminta sedekah. Aku memandangnya sekilas sebab selalunya aku memang tak berapa gemar melihat keadaan begitu. Maafkan sikap aku itu, tetapi itulah yang aku selalu rasa.

Nak dijadikan cerita, tiba-tiba mata aku tertancap sesuatu di tangan wanita itu. Berkepuk-kepuk duit satu ringgit di tangannya yang aku pasti baru dikeluarkan dari beg tangannya. Aku lihat juga seorang lelaki yang meminta wanita itu untuk menukar wang kertas RM 50 dengan duit satu ringgitnya yang berkepuk-kepuk tu. 

Aku beritahu adik aku fasal tu. Adik aku pandang kemudian berkata padaku, yang dia nak buat dua kerja. Satu kerja tetap, satu lagi minta sedekah kat pasar malam. 

Kemudian, kami berjalan-jalan sambil cuci mata dan beli sedikit makanan. Tiba-tiba aku menepuk bahu adikku. 

"Itu bukan lelaki gelandangan tu ke?" tanyaku apabila terpandang seorang lelaki berbaju hitam, berseluar jean dan berambut keriting panjang sedang menjinjit beberapa ketul keropok lekor dalam plastik.

Adik aku mengiakan. Kemudian aku berkata lagi (lebih kurang); "Maknanya dia ada duitlah, bukan tak ada duit." 

Aku percaya kemungkinan besar dia memang membeli keropok lekor tu, bukan meminta. Sebabnya, dua hari sebelum tu kami sarapan di sebuah restoran berdekatan rumah kami. Lelaki gelandangan dengan warna baju yang sama itu turut makan nasi di sebelah meja kami. Kemudian, dia mahu membayar tetapi ditolak lembut oleh juruwang restoran. Aku nampak dari dompetnya, dia keluarkan duit satu ringgit untuk sepinggan nasi dan segelas teh 'o' ais. Tentulah tidak cukup wang itu, tetapi dia berusaha untuk membayar dengan apa yang ada.

Lalu aku beritahu adik aku yang itulah gelandangan bermaruah. Huhu...

Aku selalu nampak lelaki itu akan duduk di dobi layan diri dan kaki lima kedai runcit seorang diri. Dia tak kacau orang lain. Dia seolah-olah dalam dunia dia, melayan diri sendiri. Aku selalu berasakan yang dia mungkin ada masalah besar dalam hidupnya atau mengalami satu kekecewaan yang amat sangat sehingga dia jadi begitu. Entahlah, teringin pula nak temu ramah dia...

Kesimpulannya, ada dua situasi berbeza dengan orang yang berbeza. Kisah seorang perempuan peminta sedekah dan seorang lelaki gelandangan. Kalau kau tanya aku, aku dari dulu admire dengan si gelandangan itu. Itu hanyalah pandangan daripada mata aku yang memerhati...

Saturday 13 February 2016

Tamak

Salam dan hai...

Tahu tak, apa masalah aku sekarang ni? Eh, masalah aku yang satu ni dah ada lama dulu, tapi baru sekarang aku sedar. 

Aku ada satu masalah iaitu sikap tamak. Tamak nak semua benda. Bukan tamak duit atau harta.
Aku tamak nak buat itu ini tanpa aku sedar yang aku sebenarnya tak mampu (atau belum mampu) untuk melakukannya. Pendek kata, kena buat satu-satu dulu.

Dulu, aku memang set dalam minda aku yang aku tak boleh buat banyak-banyak kerja dalam satu-satu masa. Tapi, aku cuba ubah pemikiran ini dengan bekerja sambil belajar. Aku dapat bertahan selama dua semester. Memang penat yang amat, tapi aku tak tahulah kenapa aku tak merungut. Sebabnya, itu memang pilihan aku. Lagi dua semester, aku berhenti kerja dan sambung belajar sepenuh masa. Aku berhenti kerja bukan sebab tak mampu buat dua kerja dalam satu masa, tetapi sebab hmm... hal-hal yang tidak dapat dielakkan. Biarlah aku dan orang-orang dalaman sahaja yang tahu apa masalahnya.

Aku sekarang lebih selesa dengan keadaan aku sekarang. Cuma kena bekerja dan doa lebih kuat lagi!

Sekarang ini pun aku buat dua kerja dalam satu masa, dan aku rasa okey saja walau kadang-kadang penatlah juga. 

Perihal membaca. Aku jadi tamak untuk membaca banyak perkara dalam satu-satu masa. Tengah-tengah elok buat kerja, tiba-tiba aku nak baca artikel jurnal yang aku muat turun (secara sah!) tempoh hari. Aku pun bukalah artikel tersebut dan highlight mana-mana poin yang menarik. Eh, eh... rasa nak baca artikel dari Wikipedia yang aku simpan hari tulah. Buka pula Wikipedia, baca yang itu pula. Kemudian, ada senarai filem yang menarik nak tonton, layan pula sinopsis semua. Baru separuh baca sinopsis, aku buka laman Goodreads untuk cari buku-buku yang ada kaitan dengan segala artikel yang aku baca tadi.

Apabila tonton filem pula, kadang-kadang aku boleh pause filem tu dan cari kisah hidup pelakon-pelakon dalam filem tu. Tak pun, cari filem-filem lain daripada pengarah yang sedang aku tonton filemnya. Hmmm...

Dan sekarang ni, aku sedang menulis entri ini di tengah-tengah perjalanan kerjaku. Lepas ni sambung buat kerja semula. 

Aku tak tahu sikap aku ini ada tak kaitan dengan mana-mana gangguan mental? Patutkah aku pergi cari sekarang maklumat tentang sikap tamak aku ini atau teruskan saja dengan kerjaku yang tergendala ini?

Wednesday 10 February 2016

Menonton The Secret Life of Walter Mitty (2013)

Salam dan hai...





Jarang sekali aku melihat watak Ben Stiller (Walter Mitty) yang agak serius seperti dalam filem ini.

Filem ini mengisahkan tentang seorang lelaki bernama Walter Mitty yang menjalani kehidupan yang membosankan. Dia bekerja di majalah LIFE, sebagai seorang pengurus aset-aset negatif foto.

Dalam diam, dia meminati salah seorang staf di tempat kerjanya, bernama Cheryl Melhoff. Namun, dia tidak berani untuk menyatakan hasratnya. Walter sering berkahyal tentang kehidupannya yang penuh hebat, disukai, dan menarik. Suatu hari, syarikat tempatnya bekerja mahu mengurangkan jumlah pekerja dan mereka akan menerbitkan majalah LIFE terakhir sebelum ia beroperasi sepenuhnya secara dalam talian. Walter dikehendaki memberikan negatif filem bernombor 25 yang dikehendaki oleh Sean O'Connell, seorang photojournalist yang sering bekerja bersama Walter. Malangnya, negatif itu tiada dalam simpanan Walter dan bermulalah satu pencarian bukan saja pencarian negatif ke-25 itu, malah mencari semula kehidupan Walter yang hampir-hampir tidak bernyawa itu. 

Filem ini bagi aku, tidaklah terlalu menghiburkan tetapi ideanya segar dan yang penting ia meraikan kehidupan itu sendiri.


  1. Keluarga Walter Mitty yang dianggotai oleh ibu, adik perempuan dan Walter sendiri adalah sebuah keluarga kecil Amerika yang harmoni. Mereka saling menyokong antara satu sama lain dan saling menyayangi. Padanlah, Walter juga membesar menjadi seorang anak lelaki yang bertanggungjawab dan tidak kasar. Perasaan marah hanya terluah melalui khayalan-khayalannya saja. 
  2. Perasaan marah, cinta, dan segala emosi yang terpendam dalam diri Walter bukan hanya kerana dia takut dan hampir putus asa dengan kehidupannya. Barangkali, kematian ayahnya pada dia di usia 17 tahun, membuatkan dia perlu bertanggungjawab menggalas tanggungjawab yang ditinggalkan ayahnya. Cita-citanya untuk mengembara ke serata dunia, dilupakannya. Padahal, zaman remajanya sangat menyeronokkan. Berambut mohawk dan pemain papan luncur yang hebat.
  3. Kehilangan negatif ke-25 untuk merupakan titik permulaan semula kehidupannya. Dia sanggup terbang ke Greenland dan menjejak Himalaya untuk berjumpa dengan O'Conell untuk bertanyakan tentang kehilangan negatif ke-25 itu. 
  4. Aku rasa ia seperti tidak logik pula, Walter yang pasif itu sanggup terbang secara tiba-tiba demi satu benda yang kecil. Tetapi ia juga tidak mustahil. Walter perlukan kerja dan negatif ke-25 itu mungkin menjadi penyelamat pada kerjanya. Selain itu, dapat dilihat Cheryll yang turut sedaya upaya membantu Walter membuatkan Walter berasa dia mendapat sokongan.
  5. Lihat sajalah saat Cheryll khayalan Walter menyanyikan lagu Major Tom buat Walter, tanpa memikirkan keselamatannya, Walter terus melompat ke dalam helikopter yang hampir mahu terbang yang dipandu oleh seorang lelaki yang mabuk akibat putus cinta.
  6. Pengembaraan Walter mencari O'Conell secara tidak langsung mengotakan ucapan mendiang ayahnya yang mahu Walter bergembira dengan kehidupannya. Ia ditulis pada buku kembara yang dihadiahkan oleh ayahnya - Have fun!
  7. Kuasa ibu adalah satu kuasa yang sangat kuat buat anak-anaknya. Dalam filem ini, ibu Walter memainkan peranan penting dalam pengembaraan Walter sebenarnya walaupun wataknya sedikit saja. Ibunyalah yang akhirnya menemukan Walter dengan O'Conell melalui klu terakhir. Ibunya juga yang menyelamatkan negatif ke-25 itu apabila dia mengambil semula dompet pemberian O'conell yang dibuang oleh Walter.
  8. Babak paling mengharukan apabila Walter dan Cheryll berjalan dan mereka terlihat sampul kulit majalah LIFE yang memaparkan foto daripada negatif ke-25 Sean O'Conell. Dedikasi khas buat staf LIFE  iaitu Walter Mitty sendiri. Sebuah foto yang diambil secara kandid oleh Sean O'Conell. Sangat mengharukan! Lebih mengharukan Walter sendiri tidak melihat negatif tersebut dan terus sahaja dihantar kepada ketuanya yang kerek itu.
  9. Filem ini memberitahu aku secara peribadi supaya tidak terlalu merendah-rendahkah kebolehan diri sendiri. Kadang-kadang tanpa kita sedar, ada yang sangat menghargai dan mengagumi kerja kita :)
  10. Berhentilah daripada terus bermimpi kosong, dan mulakan kehidupan yang sebenar.
  11. Runut bunyi dalam filem ini juga enak didengar. 
  12. "Beautiful things don't ask for attention." ~ Sean O'Conell.