Tuesday 31 May 2016

Kematian Disebabkan Scrabble (Satu Terjemahan)

Kematian Disebabkan Scrabble 
Oleh: Charlie Fish.


Ia merupakan suatu hari yang panas dan aku membenci isteriku.

Kami bermain Scrabble. Begitulah teruknya keadaan. Aku berumur 42 tahun, ia merupakan satu tengah hari Ahad yang membakar dan apa yang aku fikirkan tentang hidupku adalah untuk bermain Scrabble.

Aku sepatutnya keluar, melakukan senaman, berbelanja, berjumpa dengan orang ramai. Aku tak rasa aku ada berbual dengan mana-mana orang selain daripada isteriku sendiri sejak pagi Khamis lepas. Pada pagi Khamis itu aku berbual dengan si penjual susu.

Huruf-huruf kepunyaanku mengarut.

Aku bermain, dengan sewajarnya, meletakkan perkataan BEGIN. Dengan huruf N pada bintang kecil merah jambu. Dua puluh dua poin.

Aku melihat riak wajah isteriku yang bangga diri sewaktu dia menyusun huruf-hurufnya. Clack, clack, clack. Aku membencinya. Jikalaulah dia tiada di sini, aku sudah sepatutnya melakukan sesuatu yang menarik sekarang ini. Aku akan mendaki Gunung Kilimanjaro. Aku akan membintangi filem Hollywood pecah panggung yang terbaharu. Aku akan belayar ke Vendee Globe menggunakan kapal layar 60 kaki yang digelar New Horizons– Aku tak tahu, tetapi aku akan melakukan sesuatu.

Dia meletakkan JINXED, dengan J pada markah huruf- berganda. 30 poin. Dia telah mendahuluiku. Barangkali aku patut membunuhnya.

Kalaulah aku ada huruf D, aku boleh meletak perkataan MURDER. Itu adalah petanda. Itu adalah satu keizinan.

Aku mula mengunyah huruf U-ku. Aku tahu ia satu tabiat yang buruk. Kesemua huruf sudah berjurai-jurai. Aku meletakkan perkataan  WARMER untuk 22 poin, sebab utamanya supaya aku boleh terus mengunyah huruf U-ku.

Sewaktu aku memilih huruf-huruf baharu di dalam beg, aku mula berfikir – huruf-huruf tersebut akan memberitahuku apa yang patut aku lakukan. Jikalau ia mengeja KILL, atau STAB, atau nama isteriku, atau apa saja, aku akan lakukan serta-merta. Aku akan habiskannya.

Ejaan pada rakku adalah MIHZPA. Ditambah dengan U di dalam mulutku. Celaka.

 Kehangatan matahari dapat aku rasai melalui jendela . Aku dapat mendengar serangga-seragga di luar berbunyi. Aku harap ia bukanlah lebah. Sepupuku, Harold tertelan lebah sewaktu dia berusia sembilan tahun, menyebabkan tekaknya bengkak dan dia mati. Aku berharap, kalau pun ia adalah lebah, lebah-lebah itu akan terbang ke dalam tekak isteriku.

Dia meletak perkataan SWEATIER, menggunakan kesemua hurufnya. 24 poin ditambah dengan 50 poin bonus. Kalaulah hari tidak terlalu panas sehingga aku tak mampu untuk bergerak, sudah pasti aku akan mencekiknya sekarang juga.

Aku semakin berpeluh-peluh. Ia memerlukan hujan untuk membersihkan udara. Sebaik sahaja perkara itu terlintas di fikiranku, aku berjaya mendapatkan perkataan bagus. HUMID diletakkan pada markah huruf-berganda, menggunakan huruf D pada JINXED. Huruf U telah menghasilkan sedikit percikan air liur sewaktu aku meletakkannya. Tambah 22 poin. Aku berharap dia mempunyai huruf-huruf teruk.

Dia memberitahuku yang dia mempunyai senarai huruf yang teruk. Entah kenapa, aku semakin membencinya.

Dia meletakkan perkataan FAN, dengan huruf F pada huruf-berganda, dan bingkas bangun untuk mengisi air dalam cerek, lalu menghidupkan pendingin udara.

Ia merupakan hari paling panas sepanjang sepuluh tahun ini dan isteriku menghidupkan cerek. Itulah sebabnya aku membenci isteriku. Aku meletak perkataan ZAPS, dengan huruf Z pada huruf-berganda, dan dia mengalami renjatan elektrik pada alat pendingin hawa. Aku merasakan amat puas hati.

 Dia duduk dengan satu keluhan besar dan mula bermain-main dengan huruf-hurufnya semula. Clack clack. Clack clack. Ada kemarahan yang membuak-buak dalam diriku. Racun dalaman mulai merebak melalui anggota badanku, dan apabila racun itu sampai ke hujung jariku, aku akan bingkas dari kerusi, mencampak jubin-jubin Scrabble di atas lantai, dan aku mula memukul dia lagi dan lagi dan lagi.

Perasaan berangku sudah sampai ke hujung jari dan berlalu. Jantungku berdenyut. Aku berpeluh. Aku dapat rasakan wajahku menggerenyet. Lalu aku melepaskan keluhan dalam dan duduk di kerusiku. Cerek air mula berbunyi. Bunyi itu membuatkan rasa lebih panas.

Dia meletakkan perkataan READY pada huruf-berganda untuk 18 poin, kemudian menuangkan secawan teh untuk dirinya. Tidak, aku tak mahu teh untuk diriku.

Aku mencuri jubin kosong di dalam beg huruf sewaktu dia tidak memandang, dan aku membuang perkataaan V dari rak hurufku. Dia memandangku dengan pandangan penuh curiga. Dia duduk dengan secawan teh, membentuk cincin-cawan di atas meja, sewaktu aku meletakkan lapan huruf: CHEATING, dengan menggunakan huruf A daripada perkataan READY. 64 poin, termasuk 50 poin bonus, ini bermakna aku sudah mendahuluinya.

Dia bertanya padaku sama ada aku menipu.

Aku benar-benar membencinya.

Dia meletakkan perkataan IGNORE pada huruf-tiga kali ganda untuk mendapat 21 poin. Markah dia adalah 153, 155 pula untukku.

Haba dari cawan tehnya membuatkan aku rasa bertambah panas. Aku cuba mereka perkataaan-perkataan membunuh daripada rak hurufku, tetapi perkataan terbaikku hanyalah SLEEP.

Isteriku tidur sepanjang masa. Dia tidur sewaktu pergaduhan jiran-jiran kami yang menyebabkan pintu pecah, TV dihempas dan anak patung Teletubby Lala dan barang-barang lain dicampak keluar. Kemudian dia akan memarahiku kerana angin tidak baikku akibat tidak cukup tidur.

Kalaulah ada cara lain untuk aku menghindarkan diri daripadanya.
Aku mendapat peluang untuk menggunakan kesemua hurufku. EXPLODES, dengan menggunakan huruf X daripada JINXED. 72 poin. Aku akan tunjukkan padanya.

Sewaktu aku meletakkan huruf terakhirku, ada satu bunyi yang memekakkan telinga dan pendingin udara gagal berfungsi.

Jantungku berdetak laju, tetapi bukan disebabkan terkejut oleh bunyi dentuman itu. Aku tak percaya – tapi ia tak mungkin satu kebetulan. Huruf-huruf itu menjadikannya satu kenyataan – pendingin udara itu meletup. Dan sebelum itu, aku meletakkan perkataan CHEATING sewaktu aku menipu. Dan ZAP sewaktu isteriku terkena renjatan elektrik. Perkataan-perkataan itu menjadi realiti. Huruf-huruf itu telah memilih masa depan mereka. Keseluruhan permainan ini adalah – JINXED (bernasib malang).

Isteriku meletakkan perkataan SIGN, dengan huruf N pada huruf-tiga kali ganda, untuk 10 poin.

Aku perlu melakukan ujian.

Aku perlu meletakkan sesuatu dan melihatnya jika ada apa-apa yang berlaku. Sesuatu yang mustahil, untuk membuktikan yang huruf-huruf itu menjadi satu kenyataan. Rak hurufku ada ABQYFWE. Ia tidak memberiku banyak pilihan. Aku mula mengunyah jubin B dengan penuh ketakutan.

Aku meletakkan perkataan FLY, menggunakan huruf L daripada perkataan EXPLODES. Aku duduk di kerusiku dan menutup mata, menunggu sensasi untuk bangkit dari kerusi. Menunggu waktu untuk terbang (fly).

Bodoh. Aku membuka mata, dan kelihatan seekor lalat (fly). Serangga itu berbunyi di atas papan Scrabble, mengelilingi teh yang suam-suam kuku. Itu tidak membuktikan apa-apa. Lalat itu mungkin ada di mana-mana.

Aku perlu meletakkan sesuatu yang jelas. Sesuatu yang tidak boleh disalahertikan. Sesuatu yang mutlak dan penghabisan. Sesuatu yang muktamad. Sesuatu yang membunuh.

Isteriku meletakkan perkataan CAUTION, menggunakan jubin kosong untuk huruf N. 18 poin.

Rak hurufku ada AQWEUK, ditambah huruf B di dalam mulutku. Aku kagum dengan kuasa pada huruf-huruf itu, dan kecewa aku tidak dapat menggunakannya. Barangkali aku patut menipu sekali lagi, dan memilih huruf yang dapat aku eja perkataan SLASH (kelar) atau SLAY (bunuh).

Tiba-tiba aku mendapat satu idea. Perkataan yang sempurna. Perkataan yang berkuasa, berbahaya dan dahsyat.

Aku meletakkan perkataan QUAKE untuk 19 poin.

Aku tertanya-tanya sama ada kekuatan gempa (quake) adalah berkadar terus dengan berapa banyak poin yang aku perolehi. Aku dapat merasakan gegaran tenaga potensi dalam urat-uratku. Aku telah mengarah nasib. Aku telah memanipulasi takdir.

Isteriku telah meletakkan perkataan DEATH untuk mendapat 34 poin, tidak lama kemudian bilik mula bergegar.

Aku tercungap-cungap dengan penuh kejutan dan berusaha untuk bertahan – dan huruf B yang aku kunyah tertelan di tekakku. Aku cuba untuk batuk. Wajahku bertukar merah, kemudian biru. Tekakku membengkak. Aku mengeluarkan darah yang mencengkam leherku. Gempa bumi itu sudah mencapai tahap klimaks.

Aku jatuh ke lantai. Isteriku hanya duduk di situ, memandangku.


Nota: Ini adalah satu terjemahan yang amatur. Cerpen ini diterjemahkan ke Bahasa Melayu daripada sumber asalnya yang berjudul Death by Scrabble. 



Tuesday 10 May 2016

Selamat Hari Ulang Tahun Kelahiran

Salam dan hai...


Kalau ikut jam di PC aku ini, lagi 53 minit sebelum tarikh bertukar pada 11 Mei 2016. Jadi, aku mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat ulang tahun kelahiran yang ke-31 buat seseorang yang istimewa dalam hidupku.

Kalaulah dia tahu, aku berkali-kali mengucapkan selamat ulang tahun padanya untuk hari ini saja... hmm... tak mengapa, ucap dalam hati berserta dengan doa. :)

Aku letak sekali lagu Secangkir Kopi Semanis Puan (M. Nasir) sebab lagu ini mengingatkan aku padanya. Dia pernah pasang lagu ini masa dalam kelas. Tiba-tiba pula tu. Tak tahulah dia ingat ke tak. 






Monday 2 May 2016

Menonton Welcome Back, Mr. McDonald! (1997)

Salam dan hai...



Kelmarin aku sempat menonton salah satu filem daripada senarai 'wishlist' aku iaitu sebuah filem Jepun berjudul Welcome Back, Mr. McDonald (1997).

Filem ini mengisahkan tentang siaran langsung drama radio tengah malam yang huru-hara. Drama tersebut pada mulanya adalah sebuah melodrama, tetapi oleh kerana pelakon wanita utamanya yang berlagak diva mahu menukar nama wataknya, maka kesemua para pelakon mahu menukar watak dan perwatakan mereka. Ini menyebabkan jalan ceritanya menjadi sangat absurd dan tentu sekali si penulis skrip menjadi sangat sedih kerana ceritanya ditukar sana sini.


Latarnya hanya berlaku di dalam stesen radio dan sekali-sekala di dalam lori menunjukkan bahawa seorang pemandu lori mendengar drama radio itu secara langsung. Di sebalik berjalannya drama radio itu dengan lancar, apa yang pendengar tidak tahu, betapa huru-haranya kru di dalam konti apabila jalan cerita bertukar sana sini.

Filem ini sangat menarik sebab dari situ penonton boleh tahu betapa pentingnya menjaga kesinambungan jalan cerita dan garis masa (timeline). Lagi satu, filem ini menunjukkan betapa kerjasama antara kru sangat penting walau berlainan pendapat sehingga bergaduh. Lucu dalam saspens. 

grin emoticon
Kenapa judulnya Welcome Back, Mr. McDonald? Anda akan dapat tahu pada pengakhiran ceritanya nanti.

Pendek kata, penulis selalunya akan bercerita tentang diri sendiri sama ada dia menyedarinya atau tidak. Serupa dengan watak si penulis skrip dalam filem ini.

Aku mengakhiri tontonan ini dengan satu senyuman lebar. :D