Sunday 22 March 2015

Hujan rahmat

Salam

Ini kisah beberapa hari lepas. Hendak dijadikan cerita, musim panas di Malaysia ni memang selalu buat aku resah sebab aku memang kurang gemar dengan keadaan panas. Beberapa hari sebelum tu aku berusaha menyiapkan bab 1 tesis sarjana aku. Pada hari Khamis, aku berjumpa dengan penyelia. Untuk pengetahuan, beliau antara pensyarah yang aku hormati dan senangi. Bukan jenis pensyarah yang selalu merendah-rendahkan pelajar. Kalau tak tahu, dia ajar. Senang cerita. 

Yang paling aku senang hati, apabila setiap kali tamat waktu berjumpa dengan dia, aku akan berkata, "Dr. minggu depan saya jumpa Dr. lagi, ya?"

"Hmm... jumpa. Kalau tak faham je jumpa. Jumpa sampai faham."

Jadi, aku selalu pulang dengan gembira. 

Okey, berbalik kepada kisah tadi. Bukan masalah tesis yang aku risaukan sangat. Dalam dunia ni ada beberapa perkara yang buat kita susah hati tapi kita sendiri tak pasti sebab apa. Aku sering terjebak dalam masalah itu. Dan, parahnya ia membuat aku sedih dan sukar nak fokus pada kerja-karja utama aku. 

Nak dijadikan cerita, kereta aku mengalami masalah penghawa dingin semasa dalam perjalanan ke fakulti yang ambil masa hampir sejam. Panas membahang jangan ceritalah. Alhamdulillah perjumpaan dengan penyeliaku berjalan dengan baik. Tiba-tiba, sewaktu mahu keluar dari bangunan fakulti, hujan tiba-tiba turun dengan lebat. Aku yang tak bersedia dengan payung hanya mampu berdiri dan menunggu hujan berhenti. Dalam hati aku tak merungut, malah gembira. Dah lama tak rasa angin dingin dan tempias hujan. Entah kenapa rasa serabut dan susah hati yang entah dari mana datang, bagai hilang perlahan-lahan. Benarlah hujan yang turun boleh jadi hujan rahmat. 

Dan, apa yang mengejutkan apabila satu mesej muncul. Dari sahabat lama. Perhubungan kami renggang sedikit akibat masalah komunikasi. Mesej kemaafan yang hadir itu bagaikan menjadi kemuncak hari bahagia aku hari ini. Kami sama-sama salah. Dan kami sama-sama memohon kemaafan. Semoga hidup kami diberkati dunia akhirat. Amin.

Untuk kesekian kali, aku mengakui betapa Allah menyayangiku. Sekarang baru aku benar-benar lihat kuasa doa dan tawakal. Banyak perkara ajaib berlaku padaku, tapi biarlah aku simpan untuk diriku sendiri.