Thursday 27 August 2015

Membaca Zikir Rindu oleh Azizi Abdullah

Salam dan hai...


Aku baru selesai membaca sebuah novel berat karya Allahyarham Azizi Haji Abdullah iaitu Zikir Rindu (2009). Novel ini merupakan novel yang memang masuk dalam senarai 'akan dibaca' olehku. Tetapi, aku seringkali menangguh-nangguh untuk membacanya. Sama ada aku tidak ketemu dengan buku ini atau memang bukan masa yang sesuai untuk membaca naskhah tersebut. Maklumlah, walaupun aku ini seorang peminat, pembaca dan pengumpul buku, hubungan aku dengan buku juga ada pasang surutnya. 

Aku mahu membaca Zikir Rindu kerana tertarik dengan blurb di belakang bukunya yang mengisahkan tentang seorang lelaki tua  iaitu 'Aku' yang dicintai oleh wanita yang jauh lebih muda daripadanya. Memandangkan pengarangnya sendiri memberitahu di belakang blurb bahawa sepanjang beliau menghasilkan novel, dengan Zikir Rindu inilah beliau mula merasakan nikmat bercinta, rindu dan kasih sayang. 

Hmm... sounds promising, kan? Aku yang membacanya mulalah terbayang tentang asyik maksyuk sepasang kekasih yang memadu asmara dalam novel ini. Namun, sangkaanku meleset. Ya, memang benar ia berkisah tentang seorang lelaki yang tergila-gilakan seorang wanita yang jauh lebih muda iaitu, Dee dan begitu juga sebaliknya. Tetapi, bukan itu yang betul-betul ingin disampaikan oleh pengarang.

Ini sebuah kisah manusia yang melalui penderitaan, kepayahan dan kesengsaraan mengecap cinta Kekasih sebenar. Kasih dan cinta Tuhan yang Maha Agung, Maha Cinta, Maha Penyayang. Sungguh... bagaimanalah aku tak terfikir yang pengarang ingin bercerita tentang Kekasih yang Satu ini sedangkan sudah beberapa buah buku beliau aku telah baca sebelum ini.

Sesungguhnya, aku bersyukur kerana ditemukan novel ini tepat pada waktunya. Aku tidak memiliki novel ini, sebaliknya aku pinjam di salah sebuah perpustakaan awam berdekatan dengan rumahku. 

Dalam keadaan aku mencari, merindui, mengasihi sesuatu yang tak pasti, novel ini telah menyedarkan aku, malah tanpa malu-malu aku mengakui sedikit sebanyak pengarannya berjaya menampar ego dan emosiku. Aku membaca novel ini dalam keadaan aku terhuyun-hayang dengan perasaan sendiri. Perasaan yang dibuat-buat. 

Dalam keadaan aku mencari-cari cinta Kekasih sejati di sepertiga malam, sungguh aku mengakui, aku adalah seperti watak Aku dalam naskhah ini, masih terjebak dengan perasaan iri, buruk sangka, marah, dendam, rindu yang dilarang, dan waswas. Watak Aku secara tidak langsung adalah cerminan diriku sendiri.

Menurut  pengarangnya, naskhah ini dikarang untuk, "Mengajak mereka yang kering rasa, yang putus asa dengan cinta, yang kecewa dengan harapan yang luluh dengan janji manis agar sama-sama bermunajat di kolam rasa. Di sana ada Kekasih setia yang menunggu . Tempatnya mudah; di padang malam di lubuk dinihari. Riadahnya tahajud seorang diri, kemudian berinteraksi dengan Kekasih lalu mengadu memohon ketenangan jiwa."

Buat pengarangnya, Allahyarham Azizi Haji Abdullah, terima kasih atas naskhah yang meruntun jiwaku ini. Al-Fatihah.


"Tanda cinta selalunya hendak berjumpa!"
"Itulah yang aku harap, tapi kau mengelak!" tempikku.

"Cintalah kepada-Nya. Selalulah berjumpa-Nya!"
"Bisiklah cintamu selalu!"
"Belajarlah daripada kesepian, belajarlah cara keasyikan dalam taat dan cubalah takut pada diri sendiri. Simpanlah rahsia cinta betapa pun cinta itu amat menggelodak!"

(Zikir Rindu, Azizi Abdullah)

Wednesday 26 August 2015

Rindu

Salam dan hai...

Tak kusangka rindu yang membuak-buak mampu membuatkan seseorang itu mengalami kemurungan dan kesepian yang memilukan.

Sejak akhir-akhir ini aku mengalami satu perasaan rindu yang aneh. Secara literalnya, bukan pada seseorang atau individu. Tapi pada kenangan.

Percayalah, aku sekarang dalam perjalanan menghadapi kemurungan dan kesepian yang memilukan. Aku dalam usaha menyibukkan diriku dengan pelbagai perkara.

Dan, ini bukan semata-mata tentang rindu, pilu dan murung. Ia melibatkan tentang perkara yang jauh lebih aneh dan misteri. Sahihlah yang perasaan manusia memang sendiri mampu membuat manusia itu keliru.

Ini hanyalah luahan perasaan spontan. Sememangnya ada kena-mengena antara yang hidup ketika ini. Dan, jika ada yang tidak mengerti apa yang kukarang di sini, aku faham. Bukan semua perkara perlu kefahaman sama rata. Malah, tingkat rindu masing-masing pun berbeza-beza.

Aku mengharap kenangan yang kurindui ini hadir dalam mimpi-mimpiku, lalu membasuh segala kerinduan.

Malangnya, ketika ia hadir lewat mimpi-mimpiku, ia lagi menambah rasa rinduku.


Nah, baru kesedar, kerana rindulah, perkara yang sekecil-kecilnya menjadi sangat bererti!

Nota: Setiap kali aku menyebut perkataan 'rindu' dalam hatiku, lagu ini pasti muncul dalam kepala. Sebuah lagu dengan lirik yang penuh kenangan.



Thursday 20 August 2015

Menonton The Red Violin (1998)

Salam dan hai...




Ulasan ini merupakan ulasan yang aku post di grup Facebook Movie Addict suatu masa dulu (tapi taklah lama sangat masanya).

Filem ini merupakan antara filem kegemaran aku.

Selesai menonton The Red Violin, salah sebuah filem dari Kanada. Mengisahkan tentang sebuah biola merah yang mempunyai cerita yang panjang. Secara ringkasnya ia mengisahkan tentang sebuah biola antik yang dicipta oleh Nicolò Bussotti, seorang pembuat biola di Itali pada tahun 1681. Biola tersebut telah direka khas oleh Bussotti sebagai sebuah mahakarya beliau dan beliau berharap anak dalam kandungan isterinya akan menjadi seorang ahli muzik yang hebat.

Malangnya , isterinya, Anna Rudolfi, mati ketika melahirkan anak mereka sewaktu Bussoti tengah bertungkus lumus menyiapkan biolanya itu. Sebelum Anna meninggal dunia, pembantu mereka, Cesca telah meramal masa depan anak yang dikandungnya itu berdasarkan lima keping kad tarot yang dipilih. Dan ia sebenarnya ialah ramalan tentang masa depan biola merah itu sendiri.

Selama empat kurun dan lima buah negara, biola itu berganti pemilik. Bermula dari tahun 1681 sehinggalah ke tahun 1997.

‘Pelakon’ utama filem ini sebenarnya adalah biola merah itu dimana ia telah dibawa merentasi masa dan tempat iaitu bermula dari Cremona, Vienna, Oxford, Shanghai dan akhirnya ke Montreal untuk dilelong. Filem ini menceritakan bagaimana sebuah biola yang tidak bernyawa boleh menjadi begitu ‘bernyawa’ dan menguasai kehidupan setiap pemiliknya. 


Sehinggalah akhirnya penonton dibongkarkan dengan satu rahsia lain tentang pembuatan biola merah itu yang menjadikan ia unik dan sangat berharga.

Penceritaannya agak mudah untuk diikuti walaupun terdapat banyak teknik imbas kembali. Skor muziknya juga membantu jalan cerita. The Red Violin membawa penonton menyedari betapa kuasa muzik mampu mengungkap satu rasa kerinduan yang mendalam, gejolak nafsu malah ia juga dianggap sebagai satu simbol kejahatan.

Wednesday 19 August 2015

Menonton Confession of Murder (2012)

Salam dan hai...

Aku baru saja menonton filem ini malam semalam. Sebuah filem bergenre aksi thriller. Ia merupakan sebuah filem dari Korea Selatan. Mengisahkan tentang seorang pembunuh bersiri yang diburu oleh polis selama 15 tahun. Akhirnya, setelah 15 tahun dia menghilang tanpa dikesan, seorang lelaki telah muncul mendakwa dirinya adalah pembunuh yang dicari itu. Pembunuh  itu telah membukukan kisahnya sebagai seorang pembunuh dengan sangat teliti dan bukunya itu menjadi sangat laku.

Apa yang melucukan aku, selain daripada bukunya menjadi laku, si pembunuh itu juga menjadi idola ramai terutama para wanita kerana wajahnya yang tampan dan dia tampil di hadapan khalayak semula atas tujuan meminta ampun dan bertaubat terhadap kelakuan lampaunya. Maka, berduyun-duyunlah peminat wanita 'mengidolakannya'. Nampak sangat rupa mampu memadam kisah lampau atau masyarakat dalam cerita itu semuanya bersangka baik dengan niat si (bekas) pembunuh itu.

Ada juga yang membencinya terutama keluarga mangsa yang terlibat sehingga dia diculik dan hampir dibunuh. Tetapi si pembunuh itu berjaya dibawa lari oleh pegawai polis yang pernah terlibat dengan kes pembunuhan bersiri 15 tahun lalu itu.

Kisah ini tidak bergerak semudah yang disangka. Benarkah dia seorang pembunuh? Aku meletakkan kepercayaan aku 50-50. Pertama, tidak mungkin lelaki setampan itu seorang pembunuh (maaflah atas sikap stereotaip aku pada semua pembunuh uhuk!). Kedua, walaupun aku kurang yakin dia adalah pembunuh sebenar, tetapi buku yang ditulisnya itu menggambarkan dengan sangat teliti tentang kes-kes pembunuhannya. Bak kata para pembacanya, hanya si pembunuh sebenar saja yang boleh menulis sebegini teliti.

Sehinggalah, berlaku satu kejutan apabila  perdebatan antara si pembunuh dan pegawai polis yang pernah mengendalikan kes tersebut diadakan secara langsung di sebuah stesen televisyen. Yang mengejutkan bukanlah pertemuan kedua-dua musuh itu di satu tempat yang sama, tetapi satu panggilan telefon yang diterima oleh stesen televisyen itu. Si pemanggil memberitahu dialah pembunuh tersebut. Nah... siapa yang mahu dipercayai sekarang?

Filem sebegini merupakan antara genre kegemaran aku memandangkan aku memang suka cerita yang memerlukan penonton turut sama berfikir menyelesaikan masalah. Plot twist yang menjadi. Kebiasaannya filem dan drama dari Korea Selatan pasti akan menyelitkan unsur melankolik dan sendu dalam cerita mereka. Filem ini juga tidak terkecuali.

Aku paling suka bahagian permulaan filem ini di mana berlakunya adegan kejar-mengejar antara si polis dan si pembunuh bersiri yang bertopeng itu pada waktu hujan di tengah-tengah malam. Permainan kamera dan sinematografi yang cantik seolah-olah aku pun turut ikut serta mengejar pembunuh tersebut.

Cuma, apa yang lucunya adalah apabila berlaku adegan aksi kejar-mengejar kereta, gaya tak ubah seperti dalam filem Bollywood dan Kollywood. Huhuhuhu...

Secara keseluruhan, aku terhibur menonton filem ini :)


Wednesday 12 August 2015

Menonton Blue Valentine (2010)


Dean: In my experience, the prettier a girl is, the more nuts she is, which makes you insane.
Cindy: I like how you can compliment and insult somebody at the same time, in equal measure.

(Blue Valentine, 2010)

Blue Valentine membawaku ke sebuah kisah cinta yang bukan klise seperti apa yang dipaparkan dalam kebanyakan filem rom-com Hollywood.

Ini sebuah cerita cinta sebenar yang aku pasti ramai antara kita dapat kaitkan sama ada dengan diri sendiri atau pada siapa saja. Ceritanya dekat dengan kita. Manusia. 

Dean yang jatuh hati pandang pertama pada Cindy pada mulanya tidak percayakan perkahwinan. Mereka akhirnya berkahwin setelah Cindy mengandungkan anak mereka. Dan itu bukanlah semata-mata alasan untuk berkahwin. Jelas, mereka sememangnya saling mencintai. Tapi sampai bila cinta itu bertahan? Seperti kata Dean, Cindy telah berjanji padanya untuk setia mencintai Dean walau senang atau susah. Dan betapa kecewanya Dean apabila Cindy tidak menunaikan janji itu.

Cindy seorang yang berpelajaran dan mengharapkan Dean dapat berpijak ke dunia realiti dan melakukan sesuatu yang lebih baik dengan hidupnya. Watak Dean digambarkan sebagai seorang suami dan ayah yang penyayang tapi itulah masalahnya. Hanya itu yang Dean mahu. Menjadi suami Cindy dan ayah kepada Frankie. Itu saja. Tiada impian lebih besar untuk mengubah kehidupan mereka (kalau menurut Cindy).

Dean seorang yang hopeless romantic dan Cindy seorang wanita yang matang dan sudah melihat masa depan yang lebih jauh. Mereka sama-sama berusaha keras untuk menjayakan perkahwinan ini memandangkan kedua-duanya datang daripada keluarga yang berantakan.

Bukankah cinta itu sesuatu yang indah dan menyakitkan pada masa yang sama?

Dean: Baby, you made a promise to me, okay? You said, "for better or worse". You said that.   You said it. It was a promise.
Cindy: I'm sorry.
Dean: Now this is my worst, okay? This is my worst. But I'm gonna get better. You just gotta     give me a chance to get better.

(Blue Valentine, 2010)