Salam dan hai...
Aku baru saja menonton filem ini malam semalam. Sebuah filem bergenre aksi thriller. Ia merupakan sebuah filem dari Korea Selatan. Mengisahkan tentang seorang pembunuh bersiri yang diburu oleh polis selama 15 tahun. Akhirnya, setelah 15 tahun dia menghilang tanpa dikesan, seorang lelaki telah muncul mendakwa dirinya adalah pembunuh yang dicari itu. Pembunuh itu telah membukukan kisahnya sebagai seorang pembunuh dengan sangat teliti dan bukunya itu menjadi sangat laku.
Apa yang melucukan aku, selain daripada bukunya menjadi laku, si pembunuh itu juga menjadi idola ramai terutama para wanita kerana wajahnya yang tampan dan dia tampil di hadapan khalayak semula atas tujuan meminta ampun dan bertaubat terhadap kelakuan lampaunya. Maka, berduyun-duyunlah peminat wanita 'mengidolakannya'. Nampak sangat rupa mampu memadam kisah lampau atau masyarakat dalam cerita itu semuanya bersangka baik dengan niat si (bekas) pembunuh itu.
Ada juga yang membencinya terutama keluarga mangsa yang terlibat sehingga dia diculik dan hampir dibunuh. Tetapi si pembunuh itu berjaya dibawa lari oleh pegawai polis yang pernah terlibat dengan kes pembunuhan bersiri 15 tahun lalu itu.
Kisah ini tidak bergerak semudah yang disangka. Benarkah dia seorang pembunuh? Aku meletakkan kepercayaan aku 50-50. Pertama, tidak mungkin lelaki setampan itu seorang pembunuh (maaflah atas sikap stereotaip aku pada semua pembunuh uhuk!). Kedua, walaupun aku kurang yakin dia adalah pembunuh sebenar, tetapi buku yang ditulisnya itu menggambarkan dengan sangat teliti tentang kes-kes pembunuhannya. Bak kata para pembacanya, hanya si pembunuh sebenar saja yang boleh menulis sebegini teliti.
Sehinggalah, berlaku satu kejutan apabila perdebatan antara si pembunuh dan pegawai polis yang pernah mengendalikan kes tersebut diadakan secara langsung di sebuah stesen televisyen. Yang mengejutkan bukanlah pertemuan kedua-dua musuh itu di satu tempat yang sama, tetapi satu panggilan telefon yang diterima oleh stesen televisyen itu. Si pemanggil memberitahu dialah pembunuh tersebut. Nah... siapa yang mahu dipercayai sekarang?
Filem sebegini merupakan antara genre kegemaran aku memandangkan aku memang suka cerita yang memerlukan penonton turut sama berfikir menyelesaikan masalah. Plot twist yang menjadi. Kebiasaannya filem dan drama dari Korea Selatan pasti akan menyelitkan unsur melankolik dan sendu dalam cerita mereka. Filem ini juga tidak terkecuali.
Aku paling suka bahagian permulaan filem ini di mana berlakunya adegan kejar-mengejar antara si polis dan si pembunuh bersiri yang bertopeng itu pada waktu hujan di tengah-tengah malam. Permainan kamera dan sinematografi yang cantik seolah-olah aku pun turut ikut serta mengejar pembunuh tersebut.
Cuma, apa yang lucunya adalah apabila berlaku adegan aksi kejar-mengejar kereta, gaya tak ubah seperti dalam filem Bollywood dan Kollywood. Huhuhuhu...
Secara keseluruhan, aku terhibur menonton filem ini :)
No comments:
Post a Comment