Jarang sekali aku melihat watak Ben Stiller (Walter Mitty) yang agak serius seperti dalam filem ini.
Filem ini mengisahkan tentang seorang lelaki bernama Walter Mitty yang menjalani kehidupan yang membosankan. Dia bekerja di majalah LIFE, sebagai seorang pengurus aset-aset negatif foto.
Dalam diam, dia meminati salah seorang staf di tempat kerjanya, bernama Cheryl Melhoff. Namun, dia tidak berani untuk menyatakan hasratnya. Walter sering berkahyal tentang kehidupannya yang penuh hebat, disukai, dan menarik. Suatu hari, syarikat tempatnya bekerja mahu mengurangkan jumlah pekerja dan mereka akan menerbitkan majalah LIFE terakhir sebelum ia beroperasi sepenuhnya secara dalam talian. Walter dikehendaki memberikan negatif filem bernombor 25 yang dikehendaki oleh Sean O'Connell, seorang photojournalist yang sering bekerja bersama Walter. Malangnya, negatif itu tiada dalam simpanan Walter dan bermulalah satu pencarian bukan saja pencarian negatif ke-25 itu, malah mencari semula kehidupan Walter yang hampir-hampir tidak bernyawa itu.
Filem ini bagi aku, tidaklah terlalu menghiburkan tetapi ideanya segar dan yang penting ia meraikan kehidupan itu sendiri.
- Keluarga Walter Mitty yang dianggotai oleh ibu, adik perempuan dan Walter sendiri adalah sebuah keluarga kecil Amerika yang harmoni. Mereka saling menyokong antara satu sama lain dan saling menyayangi. Padanlah, Walter juga membesar menjadi seorang anak lelaki yang bertanggungjawab dan tidak kasar. Perasaan marah hanya terluah melalui khayalan-khayalannya saja.
- Perasaan marah, cinta, dan segala emosi yang terpendam dalam diri Walter bukan hanya kerana dia takut dan hampir putus asa dengan kehidupannya. Barangkali, kematian ayahnya pada dia di usia 17 tahun, membuatkan dia perlu bertanggungjawab menggalas tanggungjawab yang ditinggalkan ayahnya. Cita-citanya untuk mengembara ke serata dunia, dilupakannya. Padahal, zaman remajanya sangat menyeronokkan. Berambut mohawk dan pemain papan luncur yang hebat.
- Kehilangan negatif ke-25 untuk merupakan titik permulaan semula kehidupannya. Dia sanggup terbang ke Greenland dan menjejak Himalaya untuk berjumpa dengan O'Conell untuk bertanyakan tentang kehilangan negatif ke-25 itu.
- Aku rasa ia seperti tidak logik pula, Walter yang pasif itu sanggup terbang secara tiba-tiba demi satu benda yang kecil. Tetapi ia juga tidak mustahil. Walter perlukan kerja dan negatif ke-25 itu mungkin menjadi penyelamat pada kerjanya. Selain itu, dapat dilihat Cheryll yang turut sedaya upaya membantu Walter membuatkan Walter berasa dia mendapat sokongan.
- Lihat sajalah saat Cheryll khayalan Walter menyanyikan lagu Major Tom buat Walter, tanpa memikirkan keselamatannya, Walter terus melompat ke dalam helikopter yang hampir mahu terbang yang dipandu oleh seorang lelaki yang mabuk akibat putus cinta.
- Pengembaraan Walter mencari O'Conell secara tidak langsung mengotakan ucapan mendiang ayahnya yang mahu Walter bergembira dengan kehidupannya. Ia ditulis pada buku kembara yang dihadiahkan oleh ayahnya - Have fun!
- Kuasa ibu adalah satu kuasa yang sangat kuat buat anak-anaknya. Dalam filem ini, ibu Walter memainkan peranan penting dalam pengembaraan Walter sebenarnya walaupun wataknya sedikit saja. Ibunyalah yang akhirnya menemukan Walter dengan O'Conell melalui klu terakhir. Ibunya juga yang menyelamatkan negatif ke-25 itu apabila dia mengambil semula dompet pemberian O'conell yang dibuang oleh Walter.
- Babak paling mengharukan apabila Walter dan Cheryll berjalan dan mereka terlihat sampul kulit majalah LIFE yang memaparkan foto daripada negatif ke-25 Sean O'Conell. Dedikasi khas buat staf LIFE iaitu Walter Mitty sendiri. Sebuah foto yang diambil secara kandid oleh Sean O'Conell. Sangat mengharukan! Lebih mengharukan Walter sendiri tidak melihat negatif tersebut dan terus sahaja dihantar kepada ketuanya yang kerek itu.
- Filem ini memberitahu aku secara peribadi supaya tidak terlalu merendah-rendahkah kebolehan diri sendiri. Kadang-kadang tanpa kita sedar, ada yang sangat menghargai dan mengagumi kerja kita :)
- Berhentilah daripada terus bermimpi kosong, dan mulakan kehidupan yang sebenar.
- Runut bunyi dalam filem ini juga enak didengar.
- "Beautiful things don't ask for attention." ~ Sean O'Conell.
No comments:
Post a Comment