Salam dan hai...
Semalam aku selesai menonton sebuah naskhah dari Bollywood yang berjudul Piku. Piku mengisahkan tentang seorang wanita bujang berumur 30 tahun iaitu Piku (Deepika Padukone) yang tinggal bersama bapanya yang berumur 70 tahun, Bhaskor Banerjee (Amitabh Bachchan). Piku digambarkan sebagai seorang wanita moden (dia bekerja sebagai arikitek), bebas, serta tidak terikat dengan komitmen perhubungan serius. Namun, secara tidak langsung penonton dibawa menelusuri konflik emosi yang melanda dirinya.
Sebagai contoh, Piku sering ke tempat kerja menaiki teksi. Namun, pada masa yang sama, pemandu-pemandu teksi yang pernah menjadi pemandunya selalunya serik atau takut untuk menghantar dan menjemputnya disebabkan oleh sikapnya yang menjengkelkan, garang dan 'bossy'.
Sehinggalah tuan punya syarikat teksi iaitu Rana Chaudhary (Irrfan Khan) terpaksa menghantar Piku dan bapanya ke Kalkutta, kampung halaman mereka. Di situ, kehidupan Piku dan bapanya benar-benar 'dibongkarkan' di hadapan orang asing - Rana.
Bapa Piku pula seorang lelaki yang aneh. Dia bersikap seperti kebanyakan orang tua yang menjengkelkan. Sering membuatkan anaknya tidak senang duduk dan sangat ambil berat (baca: risau) tentang masalah kesihatannya terutama masalah sembelitnya.
Namun, di sebalik sikap stereotaipnya, bapa Piku tidak seperti bapa-bapa yang lain yang risau jika anak gadisnya tidak berkahwin. Malah, dia melarang (atau tak menggalakkan anaknya berkahwin). Katanya, seseorang yang berkahwin dengan wanita atas sebab seks dan menjadikan wanita sebagai pengurus rumah tangga, adalah seorang yang rendah IQ-nya. Malah, apabila Piku mula berjinak-jinak untuk memulakan hubungan dengan lelaki, bapanya segera memberitahu yang Piku adalah seorang, "financially, emotionally and sexually independent, non-virgin woman"
Hubungan Piku dan bapanya merupakan satu hubungan yang aneh gabungan antara moden dan tradisional. Piku seorang wanita moden, tapi pada masa sama masih lagi bersikap tradisional. Dia masih lagi tinggal dengan bapanya, menguruskan hal ehwal bapanya dan mendengar kata bapanya walaupun cuba melawan. Manakala, Bhaskor (bapa Piku) digambarkan seorang bapa stereotaip dan mengamalkan ideologi partriarki seperti Piku dan orang-orang sekelilingnya harus mendengar katanya, tapi pada masa sama tidak menganggap wanita sebagai objek seks dan hamba abdi semata-mata.
Peranan Rana juga tidak patut dikesampingkan. Dia dilihat sebagai seorang lelaki yang cuba untuk memahami keluarga Piku. Walaupun pada mulanya dia agak 'takut' dengan Piku, tetapi perjalanan selama 46 jam bersama Piku dan Bhaskor ke Kalkutta membuatkan dia sedikit selesa. Malah, sebagai orang luar, Rana melihat hubungan Piku-Bhaskor lebih menyeluruh dan kerana itulah dia dapat menegur sikap Bhaskor yang pentingkan diri itu.
Hubungan Rana-Piku juga walaupun tidak menonjolkan perasaan cinta secara terang-terangan, tetapi gerak tubuh dan bahasa kiasan yang 'subtle' sekali-sekala memberitahu bahawa mereka menyembunyikan perasaan masing-masing.
Secara keseluruhannya, filem Piku merupakan sebuah filem yang straight-forward, maknanya tidak ada adegan atau babak yang benar-benar mengejutkan tetapi ia sebuah naskhah yang aku senangi. Menonton filem ini secara tak langsung membuat aku terfikir tentang hubungan kita sebagai anak atau ayah. Lebih-lebih lagi anak perempuan. Piku memberitahu penonton, sepelik, seaneh dan betapa tak sependapat pun antara kita dan bapa, tetap kedua-duanya memerlukan satu sama lain.
Nota: Antara sebab lain aku menonton filem ini adalah kerana Deepika Padukone dan Irrfan Khan!
No comments:
Post a Comment