Tuesday 12 July 2016

Cerita Ramadan 2016

Salam dan hai...

Sudah hari raya Aidilfitri yang ketujuh. Alhamdulillah. Sepanjang bulan Ramadan yang lepas tak banyak perkara yang lain atau terlalu istimewa yang berlaku. Tapi, Ramadan itu sendiri adalah satu bulan yang paling istimewa dan aku nanti-nantikan. Aku memerlukan Ramadan untuk membuat refleksi pada diriku semula.

Ramadan kali ini aku persembahkan dengan doa-doa yang banyak, lebih banyak dari yang lepas-lepas. Penuh sungguh-sungguh dan harapan. Aku cuba untuk lebih sabar, alhamdulillah walau tidak seratus peratus tetapi masih dapat dikawal. Memandangkan aku sendiri dikelilingi oleh orang-orang yang kurang sabar, jadi nak tak nak diri aku sendiri harus melawan perkara-perkara yang menimbulkan kemarahan.

Ada satu kata-kata yang aku ingat dan cuba jadikan panduan; "Diri kita sendirilah yang memilih untuk marah atau tidak." Makanya, kita boleh pilih mahu lepaskan kemarahan atau buat tak tahu saja. 

Susah, tapi berbaloi.

Ramadan kali ini juga aku, mak dan adik melawat sebuah keluarga besar di flat PPR pinggir kota. Mereka adalah salah sebuah keluarga yang mengalami kemiskinan bandar. Memang miskin bandar ini sesuatu yang menyeksakan kerana dalam keadaan terpaksa kau terpaksa bergantung segala-galanya dengan duit hatta nak beli telur sebiji pun. Lainlah kalau kau duduk di kampung dan ada tanah sendiri, sekurang-kurangnya keperluan asas seperti makanan dan minuman tak terjejas sebab boleh bercucuk tanam dan menternak haiwan.

Baik, berbalik kepada cerita keluarga tersebut, kami bertiga datang untuk menyampaikan zakat kepada mereka. Seronoknya mereka bukan kepalang terutama si kakak yang berumur 22 tahun yang kini jadi tulang belakang menyara keluarga. Pendapatan mereka RM 35 sehari. Kisah mereka sangat menyedihkan kerana mereka sekeluarga ditindas oleh pihak berkuasa kerana kesalahan berniaga tanpa lesen. Sedangkan pekerja-pekerja asing dilepaskan begitu saja.

Aku tak mahu cerita lebih-lebih masalah keluarga mereka kerana ia agak peribadi tetapi kami pulang dengan keadaan yang penuh dengan persoalan. Apa yang mereka lakukan dengan duit tersebut? Bolehkah mereka menggunakan duit tersebut dengan sebaiknya? Bagaimana dengan adik-adik yang diberhentikan sekolah kerana bimbang kesihatan ibu yang semakin tak menentu jika adik-adik tiada depan mata? Bagaimana kesihatan si ayah yang sangat kronik? Bagaimana sumber pendapatan mereka? Bagaimana dengan penindasan terhadap mereka? Terbelakah?

Aku doa agar segala persoalanku ini ditunjukkan jalan keluar. Aku buntu kerana aku sendiri tidak mampu berbuat apa-apa kerana aku sendiri tidak punyai pengaruh, kuasa atau apa-apa untuk membantu.

Lebih kurang dua minggu kemudian, kami melawat semula keluarga tersebut. Alhamdulillah, khabar mereka lebih baik dari dulu. Adik-adiknya mula didaftarkan ke sekolah. Pendapatan mereka semakin baik kemungkinan besar mereka menggunakan duit zakat tersebut untuk dibuat modal berniaga. Adik-adik ada baju baharu. Mereka nampak gembira. Betapa leganya aku ketika itu.

***

Bulan Ramadan adalah bulan aku melipat gandakan doa-doaku. Memang, doa-doaku masih belum tertunai tetapi awal-awal lagi Tuhan sudah beri ketenangan dalam setiap ujian dan kesusahan hidupku ini. 

Aku bertawakal dan bergantung penuh kepada Tuhanku Yang Maha Mengetahui, Maha Memahami dan Maha Mengasihi.





No comments:

Post a Comment