Wednesday 31 August 2016

Menonton One Hour Photo (2002)

Salam dan hai...



Malam kemerdekaan semalam, aku dan adik menonton sebuah filem arahan Mark Romanek yang berjudul One Hour Photo (2002).

Kisahnya adalah tentang seorang lelaki kesunyiaan separuh umur (Sy) yang bekerja di sebuah kedai foto di dalam pasar raya. Dia sangat mengagumi kehidupan sebuah keluarga yang bahagia di matanya. Seorang ayah (Will), ibu (Nina) dan anak lelaki (Jake).

Malah, setiap kali si ibu menghantar gambar untuk dicuci, Sy akan mencuci satu lagi salinan untuk dirinya. Semua gambar mereka sekeluarga ditampal di sebuah dinding besar di apartmennya. 

Ya Tuhanku, bagus betul lakonan Robin Williams dalam cerita ini! Memang padanlah menang anugerah Pelakon Lelaki Terbaik di Saturn Awards.

Menonton watak Sy, aku dapat merasakan dengan sepenuh-penuh perasaan betapa sunyi dan terpinggirnya Sy rasakan. Dia keseorangan dan dia hanya mampu melihat dari jauh kebahagiaan orang lain. Wajahnya tampak tersenyum tetapi jauh di sudut hati dia sangat-sangat berduka kerana keseorangan. Watak Jake, si anak lelaki sendiri memberitahu ibunya dia dapat merasakan yang Sy kesunyiaan.

Dan aku faham benar mengapa Sy sanggup balas dendam dan teramat marah apabila dia dapat tahu Wiil curang pada Nina. Sy merasakan Will teramatlah beruntung mempunyai sebuah keluarga yang sempurna. Sy sendiri berangan-angan untuk masuk ke dalam keluarga itu dan menjadi sebahagian daripadanya.

Warna putih dan 'keteraturan' yang melatari kehidupan Sy seolah-olah memberitahu secara tidak langsung betapa kehidupan lelaki separuh umur itu yang sangat plain, kosong dan tidak menyeronokkan.

Walaupun penonton merasakan cara balas dendam Sy pada Will adalah sesuatu yang sangat-sangat memalukan, tetapi sebenarnya pada akhir-akhir cerita nanti penonton akan sedar bahawa Sy sebenarnya tidaklah sekejam itu. 

Dia cuma seorang lelaki kesunyian. Dia sunyi dan kesunyian itu membunuh.

Ah, aku jatuh kasihan yang teramat sangat pada Sy lebih-lebih lagi pada babak akhir cerita. 

No comments:

Post a Comment