Filem ini adalah adaptasi (loosely based) daripada naskhah tragedi William Shakespear, Macbeth. Ia mengisahkan tentang Maqbool yang menjadi orang kanan untuk satu organisasi jenayah terancang yang diketuai oleh Abba Ji. Abba Ji pula mempunyai seorang perempuan simpanan iaitu, Nimmi (Tabu). Nimmi dan Maqbool sama-sama menyukai antara satu sama lain tetapi tidak dapat dizahirkan secara terang-terangan. Maka, bermulalah komplot untuk membunuh Abba Ji.
Aku tak tahu nak ulas apa tentang filem ini, tetapi yang pasti aku sangat menyukai filem ini. Bukan kerana ada Irrfan Khan dan Tabu semata-mata (mereka berdua memang hebat!), tetapi jalan cerita dan watak-watak yang dimainkan baik watak utama atau sampingan, semuanya hebat!
Aku suka watak Nimmi yang cuba menggoda Maqbool secara halus walaupun cuba tidak diendahkan oleh Maqbool. Tabu berjaya membawa watak Nimmi sebagai seorang wanita yang naif walaupun dia sebenarnya dalang utama yang membuatkan Maqbool membunuh Abba Ji.
Selain itu, riak wajah Maqbool apabila Nimmi memberitahunya yang dia mengandung juga benar-benar membuat aku ternganga sendiri. Wajah sinis yang tak tergambarkan. Maqbool bertanya sama ada kandungan itu benar-benar anaknya atau anak Abba Ji.
Dua orang polis korup lakonan Om Puri dan Naseeruddin Shah juga amat baik sekali aku rasakan. Selain sebagai dua orang yang bertanggungjawab membantu melicinkan perjalanan jenayah Abba Ji, mereka juga (terutama Om Puri) adalah peramal masa depan Maqbool apabila salah seorang daripadanya pandai meramal masa depan Maqbool dan Abba Ji.
Aku tidak pernah menonton mana-mana naskhah adaptasi Macbeth ini. Filem ini adalah yang pertama dan aku menyukainya. Tidak hairanlah filem ini sampai masuk ke dalam mimpiku!
No comments:
Post a Comment