Kehadapan kekasih,
Maaf atas keterlanjuran saya memanggil tuan dengan gelaran 'kekasih' memandangkan saudara sendiri pun mungkin bena tak bena terhadap saya.
Tujuan utama saya mengarang surat ini adalah ingin mengucapkan selamat ulang tahun buat saudara. Saya tahu ucapan ini sudah terlewat tiga hari, tetapi bukanlah kerana saya terlupa. Tarikh kelahiran saudara sememangnya saya nanti-nantikan. Telah saya tunggu tarikh itu untuk memberi ucap selamat kepada saudara, tetapi sekadar terluah dalam hati saya saja. Saya tidak mampu meluahkan kata-kata tersebut terus kepada saudara. Saya tak mampu, tapi saya gembira membaca ucap selamat yang banyak daripada kenalan-kenalan saudara di laman media sosial. Ada yang buat saya tersenyum lucu. Saya juga suka membaca komen-komen balas saudara. Penuh sopan dan adakalanya juga lucu, sama seperti ucapan-ucapannya.
Saudara yang terkasih,
Tahniah saya ucapkan atas ulang tahun kelahiran saudara. Untuk kelahiran tahun ini, saya taburkan doa-doa yang lebih banyak daripada biasa buat saudara. Tahun lepas saya tidak berkesempatan berbuat begitu memandangkan saya tidak tahu tarikh lahir saudara.
Saya doakan semoga saudara sentiasa dalam lindungan dan rahmat-Nya.
Semoga rasa gusar, gundah dan apa jua kesedihan saudara hadapi yang mungkin ada ketika ini digantikan dengan rasa-rasa yang penuh ketenangan, syukur dan kegembiraan.
Semoga saudara sentiasa didampingi oleh orang-orang yang baik dan menyenangkan.
Semoga apa yang saudara impikan, cari dan usahakan akhirnya dapat saudara perolehi dengan izin Tuhan tentunya. Jika tidak pun, pasti ada yang lebih baik sedang menanti.
Akhir kalam, saya kirimkan salam rindu saya buat saudara.
13 Mei 2015.
11.29 PM
Shah Alam
No comments:
Post a Comment